Pada 10 November 2021, KRI menganjurkan webinar ketiga dalam siri webinar yang mengetengahkan penemuan dan saranan laporan ‘Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia’. Webinar ini khususnya membicarakan perlindungan sosial untuk warga tua.

Ketidakcukupan tabungan penduduk Malaysia untuk mendepani hari tua bukanlah isu baru malah telah sering diutarakan pelbagai pihak. Situasi semakin meruncing apabila tahap simpanan kecemasan yang rendah menyebabkan ramai yang terpaksa menggunakan simpanan hari tua apabila punca pendapatan hilang atau terjejas. Lebih membimbangkan apabila peningkatan jangka hayat dan kadar pantas penuaan penduduk dihadapi Malaysia boleh menjejaskan kesejahteraan warga emas apabila ruang fiskal kerajaan juga masih terbatas dalam menghadapi fenomena ini.

Webinar ini membincangkan pelbagai cadangan dasar untuk memperkasa kelestarian hidup pada usia tua. Ahli panel terdiri daripada Hawati Abdul Hamid dan Nur Thuraya Sazali, penulis laporan; Balqais Yusoff, Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP; dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi KRI.

Isu struktural semasa

Malaysia menghadapi perubahan demografi yang pesat dengan kadar jangka hayat yang lebih panjang dan kadar kesuburan yang menurun. Malaysia dijangka menjadi ‘masyarakat sangat tua’ ( _super-ageing nation_) menjelang 2060 iaitu kurang daripada 40 tahun dari sekarang. Di samping proses penuaan yang pantas, perubahan struktur kekeluargaan, kekangan sokongan kewangan keluarga serta keupayaan bekerja yang merosot berikutan peningkatan usia menjadikan warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan.

Lebih membimbangkan apabila didapati hanya sekitar 20% warga emas berumur 60 tahun dan ke atas menikmati jaminan pendapatan yang dibiayai daripada sumber cukai. Ini bermakna taraf hidup minimum ataupun _the pension floor_ hanya dijamin kepada kumpulan minoriti iaitu warga emas rentan dan miskin melalui bantuan kebajikan di bawah skim Bantuan Warga Emas dan pesara kerajaan di bawah skim persaraan perkhidmatan awam.

Warga emas selebihnya perlu bergantung kepada simpanan persaraan masing-masing melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ataupun tabungan peribadi. Malangnya, anggaran mendapati hampir 60% populasi bekerja tidak menyimpan secara formal untuk usia tua. Ini mewujudkan suatu lompong yang besar dalam aspek perlindungan usia tua melibatkan mereka yang tidak menyimpan secara formal dan pada yang sama tidak layak untuk mendapat Bantuan Warga Emas.

Mereka yang mencarum dengan KWSP pula mempunyai simpanan persaraan yang rendah. Isu ini telah sering diutarakan apabila data menunjukkan hampir 80% tidak akan mencapai sasaran Simpanan Asas KWSP yang ditetapkan mengikut usia mereka. Pandemik Covid-19 membuatkan situasi bertambah teruk melalui kemudahan pengeluaran sementara KWSP.

Saranan dasar yang diketengahkan

Untuk memperkasa jaminan pendapatan asas ataupun keupayaan memenuhi keperluan asas semasa usia tua, beberapa saranan dasar telah dibincangkan. Analisis stimulasi KRI mendapati beberapa saranan perubahan parametrik bagi skim KWSP adalah tidak mencukupi untuk menjamin pendapatan asas di usia tua untuk semua ahli mereka. Perubahan parametrik ini merujuk kepada saranan seperti meningkatkan caruman majikan untuk pekerja bergaji rendah, memberi kadar dividen berbeza mengikut tahap simpanan dan melanjutkan tempoh carumaPendapatan asas di usia tua sudah semestinya boleh dicapai dengan pelaksanaan Pencen Sosial Sejagat yang dibiayai cukai. Melalui Pencen Sosial, semua warga tua yang mencapai umur kelayakan akan menerima pencen bulanan dengan kadar yang tidak terlalu tinggi sepanjang usia tua. Ini bukanlah saranan yang baru dan cabaran pembiayaan sering dilihat sebagai halangan utama pelaksanaan. Hal ini dirumitkan dengan unjuran penerima pencen yang semakin meningkat dan bilangan prospek pembayar cukai yang semakin menurun disebabkan proses penuaan penduduk.

Oleh itu, cadangan melaksanakan Pencen Insurans Sosial telah diketengahkan. Insurans Sosial bukanlah benda yang baru dan merupakan bentuk perlindungan sosial yang paling umum di dunia. Pencen Insurans Sosial menggunakan konsep anuiti hayat dalam mengumpul dana untuk menghadapi risiko semasa usia tua. Penyertaan skim ini disarankan wajib untuk kohort umur muda. Bagi individu tanpa pendapatan tetap, caruman mereka disarankan agar dibiayai melalui hasil cukai kerajaan. Ini sekali gus memperkukuh peranan kerajaan sebagai rakan kongsi atau tonggak ketiga untuk perluasan liputan skim dan penjamin kesinambungan dana. Pendekatan ini juga dilihat mampu memupuk nilai solidariti dalam sistem perlindungan sosial negara.

Covid-19 dan hala tuju hadapan

Bagi meringankan beban kewangan pencarum semasa pandemik Covid-19 kemudahan pengeluaran simpanan KWSP telah dibenarkan oleh kerajaan. Walaupun berbentuk sementara, skim-skim pengeluaran tersebut membawa implikasi besar ke atas kecukupan simpanan apatah lagi majoriti ahli hanya mempunyai tahap simpanan yang rendah. KWSP menjangkakan pasca pengeluaran Covid-19, hanya 17% daripada semua ahli mencapai kadar simpanan asas mengikut umur yang disarankan.

Untuk jangka masa terdekat, rancangan KWSP untuk menangani isu ini termasuk mempergiatkan usaha untuk memperluaskan liputan caruman, meningkatkan kecukupan persaraan dan penawaran produk baru, meningkatkan kadar celik kewangan dan meneruskan advokasi mengurangkan jurang perlindungan sosial seperti promosi dasar untuk menjamin pendapatan kepada warga emas dan kanak-kanak. Cabaran-cabaran struktur sedia ada seperti kekurangan peluang pekerjaan tetap dengan perlindungan yang mampan serta isu gaji yang rendah juga harus ditangani.

Dasar-dasar bagi menangani cabaran yang dihadapi memerlukan perbincangan mendalam bagi mencapai konsensus daripada semua pemegang taruh. Justeru itu, diskusi yang berterusan berkaitan jurang yang wujud dalam sistem perlindungan sosial negara adalah penting bagi mencapai satu jalan penyelesaian yang mapan dan lestari.

Related Experts
No items found.
related to this event
No items found.

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials