
Pada 27 Oktober 2021, KRI menganjurkan webinar kedua dalam siri webinar yang mengetengahkan penemuan dan saranan laporan ‘Menongkah Badai: Ke Arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia’. Webinar ini khususnya membicarakan perlindungan sosial untuk penduduk dalam umur bekerja di Malaysia.
Dunia pekerjaan merangkumi lebih daripada separuh hidup seseorang insan dan perlindungan sosial merupakan tunjang penting dalam agenda decent work. Malaysia mempunyai skim insurans sosial untuk beberapa risiko semasa umur bekerja, namun liputannya masih terhad kepada pekerja sektor formal. Lebih membimbangkan, perkembangan pesat teknologi akan menyebabkan lebih banyak pekerjaan menjadi tidak formal dan tidak standard. Apabila kejutan ekonomi seperti pandemik Covid-19 berlaku, bantuan dan perlindungan tidak dapat disalurkan dengan berkesan kerana jurang sedia ada dalam perlindungan sosial.
Webinar ini membincangkan beberapa cadangan polisi untuk memperkasa asas perlindungan sosial bagi semua individu dalam usia bekerja. Ahli panel terdiri daripada Adam Firouz dan Siti Aiysyah Tumin, penulis laporan; Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO; dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi KRI.
Malaysia perlu beralih kepada perlindungan sosial yang lebih inklusif
Malaysia akan menghadapi beberapa cabaran pada masa hadapan, termasuklah perubahan teknologi (technological disruption), penuaan penduduk serta kadar jangka hayat yang semakin panjang tetapi tidak semestinya lebih sihat. Namun begitu, terdapat jurang yang ketara dalam perlindungan sosial dan Malaysia perlu beralih kepada sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif untuk semua individu.
Hal ini dapat dilakukan dengan menjamin asas perlindungan sosial untuk semua menjangkaui sasaran kemiskinan, berdasarkan pendekatan kitaran hidup. Berdasarkan konvensyen antarabangsa, laporan menyatakan beberapa cadangan polisi untuk menyediakan jaminan pendapatan asas melalui perlindungan sosial.
Golongan dewasa menghadapi pelbagai risiko yang boleh menjejaskan pendapatan mereka
Antara badai yang perlu ditempuhi oleh golongan dalam umur bekerja adalah kecederaan, pengangguran, bersalin dan pekerjaan tidak formal. COVID-19 telah menyebabkan peningkatan kadar pengangguran terutamanya untuk golongan belia, manakala purata gaji telah menurun daripada tahun sebelumnya. Selain itu, perkembangan pesat teknologi akan menyebabkan lebih banyak pekerjaan menjadi tidak formal dan tidak standard.
Masih ramai yang tercicir daripada skim insurans sosial atau perlindungan undang-undang sedia ada untuk penduduk dalam usia bekerja. Golongan ini terdiri daripada mereka di tengah yang mempunyai status pekerjaan yang tidak formal atau bekerja sendiri, serta mereka di luar tenaga buruh.
Untuk memperluas perlindungan sosial kepada mereka yang tercicir, laporan KRI mencadangkan empat polisi. Pertama, memperluas liputan mandatori untuk skim insurans sosial. Kedua, pihak kerajaan memainkan peranan sebagai tonggak ketiga dalam ekosistem insurans sosial. Ketiga, memperhalusi status pekerjaan dengan lebih jelas dan membentuk kaedah pembiayaan tiga pihak yang inovatif. Keempat, mengeratkan kerjasama pelbagai pihak dan menambahbaik kempen kesedaran.
Pelaksanaan polisi perlindungan sosial untuk pekerja
Dalam sesi ulasan, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato’ Aziz Mohammed berkongsi beberapa program yang dijalankan oleh PERKESO untuk memperkukuh polisi perlindungan sosial di Malaysia. Skim keselamatan sosial sedang diperluaskan kepada pekerja domestik dan penjawat awam berstatus kontrak. Malah, terdapat pertimbangan polisi untuk memberikan elaun bersalin kepada isteri pencarum, disusuli dengan khidmat sokongan untuk membantu mereka mencari kerja selepas tempoh berpantang.
Selain itu, skuad PERKESO Prihatin menyediakan rangkaian penyaluran maklumat untuk menangani isu seperti kemalangan dan pembuangan kerja. Di bawah program Sinergi Sosial PERKESO pula, satu pasukan jaringan keselamatan dengan kerjasama 25 agensi kerajaan, 35 agensi bukan kerajaan, 180 pemimpin masyarakat telah dibina untuk membantu 3841 prospek yang memerlukan bantuan.
Namun, usaha ini masih memerlukan kerjasama pihak majikan, penyedia platform dan agensi-agensi laun seperti KRI untuk membantu proses mekerabentuk polisi.
Want more stories like these in your inbox?
