KRI PRESS  |
Aug 20, 2025

Belanjawan 2024 memacu ke arah membina kemakmuran dan daya tahan melalui prinsip-prinsip MADANI

## Siaran Media Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Belanjawan 2024 memperkukuh prinsip-prinsip serta objektif Malaysia MADANI melalui penyusunan semula struktur ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. KRI yakin bahawa tumpuan kerajaan melalui keutamaan kepada reformasi struktural, terutamanya kepada penekanan langkah-langkah tanggungjawab fiskal dan pertumbuhan yang inklusif, adalah tepat pada masanya dan merupakan instrumen penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia dalam jangka panjang.

Komitmen kerajaan melalui pelaksanaan reformasi fiskal adalah dialu-alukan. Langkah-langkah rasionalisasi subsidi serta perluasan dasar cukai membolehkan kedudukan fiskal negara kekal kukuh dalam menghadapi ketidakstabilan dan kompleksiti dalam arena antarabangsa pada masa kini. KRI juga mengalu-alukan pembaharuan ke atas rangka kerja SST sedia ada. Peningkatan SST dari 6 peratus kepada 8 peratus akan memperkukuh kedudukan fiskal negara disamping mengurangkan kesan kepada isi rumah. Kami menantikan pengumuman kerajaan mengenai mekanisma terperinci terhadap penyusunan subsidi.

KRI menyambut baik langkah-langkah menggerakkan agenda transformasi industri negara yang selari dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang baru dilancarkan. Peralihan ke arah insentif berperingkat adalah tepat dan mampu menempatkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mencipta kluster ekonomi baharu, memperluas hubungan domestik dan memastikan kelestarian alam sekitar. Program-program dan peruntukan untuk penubuhan firma baharu, serta menaiktaraf dan meningkatkan daya saing PKS, akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti dan peluang penjanaan pendapatan. Komitmen kerajaan terhadap transformasi digital sektor awam dalam bentuk rekod kesihatan digital, GovTech dan pengenalan digital kebangsaan juga tepat pada masanya.

Peningkatan sumbangan kerajaan kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO dan had sumbangan padanan untuk skim i-Saraan dan i-Suri KWSP menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial negara. Peningkatan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta perluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga adalah bersesuaian.

KRI mengalu-alukan sifat reformis Belanjawan 2024 yang sejajar dengan strategi pembangunan negara. Kami yakin bahawa Belanjawan 2024 akan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan yang melindungi kesejahteraan rakyat, pada masa yang sama memperkukuh agenda transformasi ekonomi dan industri negara.

**TAMAT**

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Najyah Johar Salim melalui e-mel (najyah.johar@krinstitute.org) atau melalui: 03 2705 6103.
related to this event

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials