KRI PRESS  |
Oct 18, 2024

Belanjawan 2025 menyeimbangkan kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan reformasi fiskal

## Siaran Media

**18 Oktober 2024, Kuala Lumpur** – Belanjawan 2025 menyeimbangkan kemajuan Malaysia dan menjaga kesejahteraan rakyat, disokong oleh komitmen terhadap reformasi fiskal dan pertumbuhan yang inklusif.

### Reformasi fiskal menyokong aliran pendapatan kerajaan yang lebih efisien

Fokus pada rasionalisasi subsidi dan memperluas asas cukai mencerminkan langkah fiskal yang berhemah, sekaligus meningkatkan lagi daya tahan negara menghadapi ketidaktentuan global. KRI menyambut baik hasrat kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi RON95 dan menyalurkan penjimatan tersebut untuk memperkukuh sektor-sektor penting termasuk kesihatan, pendidikan, dan kesejahteraan sosial.

Pengenalan cukai karbon ke atas tenaga pada tahun 2026 dilihat lebih berkesan berbanding pasaran karbon. Namun, kesan pengenalan cukai ini terhadap kos sara hidup dan daya saing industri adalah bergantung kepada kadar cukai yang dikenakan.

### Meningkatkan siling menerusi inovasi dan pengukuhan modal insan

Belanjawan 2025 juga memanfaatkan pelaburan domestik melalui GEAR-uP yang diterajui oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menyokong aspirasi perindustrian Malaysia.

Fokus berterusan terhadap inisiatif latihan, terutamanya penekanan terhadap TVET dilihat telah berkembang meliputi pelbagai sektor penting seperti semikonduktor, robotik, dan AI. Selain itu, tumpuan kepada golongan miskin bandar, komuniti luar bandar, dan belia pribumi akan mempersiapkan golongan rentan ini untuk berjaya dalam ekonomi yang giat berkembang.

KRI juga menyambut baik peningkatan had gaji minimum dan penerbitan garis panduan gaji untuk semua sektor. Inisiatif ini, bersekali dengan pelaburan besar dalam ekosistem perniagaan, merupakan langkah penting ke arah meningkatkan taraf hidup individu serta daya saing perniagaan, sekaligus memastikan kemajuan yang mampan dan saksama untuk Malaysia.

Usaha kerajaan dalam meneraju penggunaan dan menambah baik tadbir urus AI turut disambut baik, termasuk penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang baharu dan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN. Penekanan Belanjawan 2025 terhadap keselamatan dalam talian dan keselamatan siber perlu didukung melalui pengukuhan tadbir urus data.

### Kemajuan ekonomi tanpa mengabaikan kesejahteraan sosial

Peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM13 bilion, bersama dengan bantuan bersasar lain, adalah langkah yang baik untuk membantu rakyat menghadapi kesan rasionalisasi subsidi. Usaha berterusan untuk menambah baik perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri, suri rumah, dan golongan warga emas melalui peningkatan sumbangan kerajaan kepada PERKESO dan KWSP berupaya membantu memastikan kesejahteraan mereka.

Usaha-usaha ke arah memperkukuh kesihatan awam juga dihargai, terutama dalam menaik taraf penjagaan kesihatan; reformasi proses perolehan dan penyampaian penjagaan; serta mempromosikan gaya hidup sihat melalui peningkatan kadar duti eksais bagi minuman bergula.

Secara keseluruhan, KRI melihat Belanjawan 2025 sebagai langkah tepat ke arah pembangunan Malaysia, dengan mencapai keseimbangan antara meningkatkan kedudukan ekonomi negara di peringkat global dan kesejahteraan rakyat.

**TAMAT**

* * *

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Najyah Johar Salim melalui e-mel ( [najyah.johar@krinstitute.org](mailto:najyah.johar@krinstitute.org)) atau melalui: 03 2705 6103.

[**MEDIA STATEMENT (MALAY)**](https://www.krinstitute.org/assets/contentMS/img/template/editor/Siaran%20Media_Bajet%202025_KRI_BM.pdf)
related to this event

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials