KRI PRESS  |
Apr 29, 2019

Institut Penyelidikan Khazanah Merungkai Persepsi Perumahan Mampu Tanggung

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) hari ini telah melancarkan penerbitan terkininya bertajuk “Rethinking Housing: Between State, Market and Society” semasa acara dialog “Housing in Malaysia: Policy Discourse”

Laporan kajian yang diketuai oleh Dr Suraya Ismail, Pengarah Penyelidikan KRI, merupakan laporan kajian kepada formulasi Dasar Perumahan Negara (2018 – 2025) yang memberikan gambaran keseluruhan mengenai sektor perumahan di Malaysia. Isu-isu utama yang diketengahkan dalam laporan tersebut termasuklah a) keperluan untuk membangunkan sebuah piawaian perumahan berkualiti bagi stok perumahan sedia ada dan yang baru dibina, b) keperluan untuk membezakan keperluan perumahan (sektor sosial) dengan permintaan perumahan yang berkesan (sektor pasaran), c) mengambil kira kos pengangkutan bersama kos perumahan ke dalam indikator tahap kemampuan menanggung rumah, dan d) peningkatan produktiviti sektor pembinaan perumahan agar kos perumahan yang lebih murah dapat dinikmati oleh masyarakat.

Hasil kajian utama daripada laporan tersebut adalah:

Tahap kemampuan menanggung rumah tidak bertambah baik secara ketara dari tahun 2002 hingga 2016. Ini berpunca daripada penawaran perumahan yang tidak responsif kepada permintaan berkesan. Agenda perumahan yang komprehensif perlu mengurus sektor perumahan secara keseluruhan, dengan mengakui bahawa rumah merupakan keperluan asas dan tapak permulaan bagi pengumpulan asset. Dasar yang hanya tertumpu sama ada kepada aspek kebajikan atau pengumpulan asset sahaja tidak mencukupi kerana mungkin mengakibatkan ketidakseimbangan dan timbulnya masalah pengurusan sektor perumahan. Pengurusan sektor ini harus menjadikan sektor ini sebagai sebuah sektor yang produktif, yang akan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara dan mengelak berlakunya pembaziran sumber.
Kerajaan mempunyai peranan berbeza di dalam sektor sosial dan sektor pasaran. Peranan kerajaan boleh ditumpukan kepada penyediaan perumahan sektor sosial yang berkualiti dan penyediaan peraturan untuk persekitaran yang kompetitif bagi sektor pasaran. Rumah merupakan keperluan asas bagi manusia. Keperluan perumahan perlu dibezakan dengan permintaan perumahan apabila kerajaan ingin mengenal pasti jumlah rumah yang diperlukan. Ini kerana kedua-duanya memerlukan dasar penyeleasaian yang mungkin sangat berbeza. Isi rumah yang mampu menanggung kos perumahan perlu mendapatkan rumah daripada pasaran swasta. Keperluan perumahan bagi mereka yang tidak mampu pula hanya boleh dipenuhi dengan bantuan daripada kerajaan daripada dana yang terhad. Walau bagaimanapun, jumlah mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan perumahan hampir mencapai 90% daripada jumlah isi rumah di sebahagian negeri.
Pemodenan sektor pembinaan dan hartanah memaikan peranan penting untuk menyediakan perumahan kepada permintaan berkesan di Malaysia. Melalui teknologi dan inovasi, kos pembinaan boleh diturunkan dan harga rumah yang ditawarkan boleh menjadi lebih murah. Walaupun terdapat peningkatan produktiviti melalui indikator produktiviti pekerja, komposisi jenis kemahiran pekerjaan di dalam sektor pembinaan rumah tidak banyak berubah pada tahun 2015 berbanding tahun 2010. Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi pembinaan didapati tidak efektif. Maka, perubahan ekosistem penyediaan rumah diperlukan, dan ini boleh dilaksanakan melalui sebuah kaedah perolehan baharu yang menyatukan raintaian bekalan dan membolehkan teknologi digunapakai. Selain itu, sektor perumahan juga perlu beralih daripada sistem jual-kemudian-bina (yang tidak menggalakkan perubahan teknologi) kepada bina-kemudian-jual yang menggalakkan produktiviti dan inovasi.
Pembangunan piawaian perumahan berkualiti memerlukan proses penglibatan masyarakat. Tanpa maklum balas daripada masyarakat, penggubal dasar mungkin akan menguatkuasakan sebuah piawaian yang tidak selari dengan keperluan sebenar orang ramai. Peraturan sedia ada berkaitan piawaian perumahan di Malaysia hanya mengawal selia pembinaan unit-unit baharu dan tidak bertujuan untuk menyelia kualiti stok perumahan sedia ada. Satu piawaian lain harus dibangunkan sebagai panduan untuk mengenal pasti sama ada sesebuah rumah itu selesa dan sesesuai bagi mereka yang tinggal di dalamnya. Pembangunan piawaian tersebut memerlukan penglibatan masyarakat untuk mengambil kira kriteria sebuah rumah yang menepati dan bersesuaian dengan norma dan budaya mereka. Kaji selidik tentang keadaan dan tahap kepuasan perumahan boleh memberikan input kepada pembentukan piawaian tersebut.
"Perumahan mampu tanggung yang berkualiti merupakan inisiatif jangka masa panjang dan usaha sama oleh semua pihak: kerajaan, firma dan masyarakat. Terdapat kos untuk memenuhi keperluan semua pihak, tetapi kita harus focus kepada objektif jangka masa panjang untuk membina sektor perumahan yang mampan dan kompetitif. Ini hanya akan memberi manfaat kepada firma dan isi rumah pada masa hadapan”, kata Dr Suraya Ismail.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai industri perumahan di Malaysia, sila layari laman sesawang KRI www.krinstitute.org bagi mendapatkan laporan penuh.
related to this event

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials