
KRI Menyeru Pengiktirafan Terhadap Suri Rumah dan Penjaga Tidak Berbayar

10 September 2025
Kuala Lumpur – Selama beberapa dekad, dasar berkaitan wanita telah diberi tumpuan dan dilihat pencapaian pendidikan wanita turut bertambah baik. Namun, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia hanya mencatat peningkatan yang sederhana. Strategi dasar sedia ada lebih menekankan peningkatan kadar penyertaan tetapi kurang memberi perhatian kepada faktor struktur yang lebih mendalam, termasuk tanggungjawab penjagaan, kekangan pasaran buruh dan norma sosio budaya.
Kertas perbincangan KRI yang terbaru, Interwoven Pathways: The Care and Career Conundrum in Women’s Empowerment, meneliti pilihan yang diambil wanita dan faktor-faktor yang diambil kira apabila mereka membuat keputusan mengenai kerja dan penjagaan, dengan tumpuan khusus kepada suri rumah. Meskipun jarang diiktiraf sebagai kerja “produktif”, kerja-kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar yang mereka lakukan adalah penting kerana ia menjamin kesejahteraan anak-anak dan tanggungan, mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan awam, dan mengupayakan ahli keluarga lain untuk bekerja.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan, kajian KRI menekankan bahawa kebanyakan suri rumah menyatakan tanggungjawab penjagaan sebagai sebab utama mereka menjadi suri rumah serta meninggalkan atau tidak menyertai dunia pekerjaan. Antara mereka yang berpengalaman bekerja, ramai yang memperoleh pendapatan yang rendah, dengan 27% menerima kurang daripada RM1,500 dalam pekerjaan terakhir mereka. Keadaan ini mencerminkan kelemahan pasaran buruh yang tidak menarik untuk menggalakkan penglibatan yang berterusan. Selain itu, majoriti merasakan situasi kewangan mereka tidak kukuh, dengan hanya 29% mempunyai pendapatan keluarga cukup untuk menampung gaya hidup, simpanan kecemasan dan persaraan. Hampir 9 daripada 10 suri rumah (88.9%) bergantung sepenuhnya kepada suami sebagai sumber pendapatan, sekaligus mendedahkan mereka kepada risiko ekonomi, mengehadkan kuasa untuk berunding serta menjejaskan kedudukan dan kestablilan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.
Walaupun sumbangan mereka amat penting, mereka turut berdepan dengan pelbagai persepsi negatif. Seramai 60% suri rumah menghadapi tanggapan bahawa mereka mempunyai banyak ‘masa lapang’ walaupun hakikatnya kerja penjagaan yang tidak berbayar ini sangat memakan masa. Sementara itu, 45.5% melaporkan mereka dianggap tidak menyumbang kepada keluarga. Sistem sokongan yang rapuh turut menambah lagi cabaran ini. Wujudnya kebimbangan terhadap kos dan kualiti perkhidmatan penjagaan formal, manakala inisiatif kerajaan untuk memperluas penyediaan perkhidmatan penjagaan atau membantu wanita kembali ke pasaran kerja masih terbatas dari segi capaian dan keberkesanan.
Kertas perbincangan ini menggariskan beberapa implikasi utama untuk pembuat dasar dan pihak berkepentingan:
- Mengiktiraf suri rumah dan menghargai kerja penjagaan tidak berbayar dalam dasar negara dengan memperbaiki pengumpulan data mengenai kerja penjagaan melalui tinjauan penggunaan masa serta mengintegrasikannya dalam perancangan ekonomi.
- Merangka mekanisme perlindungan pendapatan yang inklusif untuk suri rumah dan penjaga tidak berbayar melalui penambahbaikan skim sedia ada dan memperkenalkan elaun penjagaan bagi penjaga tidak berbayar atau penjaga tidak formal.
- Menyokong akses kepada pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran untuk suri rumah dan penjaga tidak berbayar melalui program berasaskan komuniti dan fleksibel.
- Memperluas dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan yang mampu milik dan berkualiti melalui bantuan khusus kepada keluarga, subsidi kepada pusat penjagaan, peluasan penyediaan awam, serta memperkukuh kemampuan dan standard dalam sektor penjagaan.
- Menggalakkan perkongsian tanggungjawab penjagaan bersama dengan mengamalkan dasar buruh yang responsif kepada gender, termasuk peruntukan cuti bapa yang lebih kukuh dan insentif bagi waktu kerja fleksibel.
- Memperkukuh rangkaian sokongan berasaskan komuniti untuk penjaga tidak berbayar dengan membina infrastruktur sokongan dan menyediakan sumber praktikal kepada mereka.
- Mengintegrasikan gender dan kerja penjagaan dalam data statistik negara bagi menambahbaik penggubalan dasar, pemantauan dan penilaian.
Kertas perbincangan ini merupakan sebahagian daripada penyelidikan KRI yang lebih luas mengenai Gender dan Kerja Penjagaan, dan ditulis oleh Puteri Marjan Megat Muzafar, Adam Manaf Mohamed Firouz, Ilyana Syafiqa Mukhriz Mudaris, dan Nur Alya Sarah Abd Hamid. Data utama diperoleh daripada tinjauan hasil kerjasama di antara KRI dan Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR). Kertas penyelidikan ini boleh dimuat turun di www.KRInstitute.org.
Want more stories like these in your inbox?
