KRI PRESS  |
May 31, 2023

LSE SEAC-KRI Forum Malaysia Futures bincang potensi pembangunan mampan dan menyeluruh untuk Malaysia

## UNTUK SIARAN SEGERA

**Siaran Media** **KUALA LUMPUR, 31 Mei 2023:** Khazanah Research Institute (KRI) dan _Saw Swee Hock Southeast Asia Centre_ dari _London School of Economics and Political Science_ (LSE SEAC) sedang menganjurkan Forum Masa Depan Malaysia bermula hari ini di Kuala Lumpur. Forum selama dua hari ini menampilkan panelis terkemuka, para pembuat dasar, badan dan pemimpin pemikir, sebagai platform perbincangan secara kritikal untuk masa depan Malaysia.

Forum mengenai 'masa depan' ini merupakan kesinambungan dari Forum Asia Tenggara 2023: Masa Depan Asia Tenggara yang telah dianjurkan oleh LSE SEAC pada 9 – 12 Mei 2023 di London.

Forum ini dikendalikan dalam lima sesi merangkumi aspek-aspek berbeza mengenai Masa Depan Ekonomi, Masa Depan Bandar, Masa Depan Institusi, Masa Depan Digital, dan Masa Depan Sosio-Ekonomi. Setiap sesi menampilkan panelis terkemuka dari Asia Tenggara, termasuk dari Malaysia, Thailand, Jepun, Brunei Darussalam, Filipina, Singapura, dan Korea Selatan. Forum ini dihadiri oleh wakil-wakil dari pelbagai organisasi, termasuk dari jabatan kerajaan, akademik, masyarakat awam, industri swasta dan organisasi antarabangsa.

Ucapan pembukaan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi KRI memperincikan transformasi Malaysia yang menakjubkan. Sebagai negara yang sedang mendepani pelbagai cabaran dan peluang baharu merentasi pelbagai domain—Sosial, Ekonomi, Bandar, Institusi, dan Digital, pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan masyarakat, kerajaan, dan sektor swasta harus digerakkan untuk membawa negara ke landasan pertumbuhan yang lebih adil dan mampan.

"Dengan kepelbagaian topik perbincangan dan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan pada forum hari ini, saya yakin bahawa _Forum Masa Depan_ ini akan memberikan sumbangan yang signifikan untuk membentuk perbincangan kebangsaan mengenai pertumbuhan dan pembangunan." menurut Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dalam ucapan pembukaan beliau pada forum tersebut pada pagi ini.

"Kita sedang hidup dalam era Perang Dingin baharu... Kita menghadapi ancaman nyata perang kerana perang bukan lagi disebabkan oleh ketidakmampuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara, tetapi ia disengajakan dengan berulang kali," kata Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram, Felo Kanan KRI.

Beliau turut berkongsi pelbagai perkembangan global yang berpotensi mengancam Malaysia—seperti kesan penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan, penetapan peraturan "satu saiz untuk semua" oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan ketidakseimbangan kuasa dalam penyelesaian dan perundingan perselisihan antarabangsa.

## Tidak lagi _Kilang Asia_ tetapi _Kilang dan Pasaran Asia_

Sesi _Ekonomi Masa Depan_ membincangkan peluang dan cabaran yang diketengahkan oleh Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Rantaian Nilai Global (GVC). Sesi yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI, Nithiyananthan Muthusamy, bersama para panelis, iaitu Dr. Guanie Lim ( _National Graduate Institute for Policy Studies_ (GRIPS), Jepun), Profesor Dr. Pavida Pananond ( _Thammasat Business School_, Thailand), Profesor Emeritus Dr. Tham Siew Yean (Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM), dan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali (UKM _Graduate Business School_), berkongsi pandangan tentang bagaimana pertumbuhan pasaran di Asia Tenggara telah menghasilkan cabaran dan peluang baharu di rantau ini melalui penstrukturan semula aliran perdagangan.

Ahli panel turut membahaskan tentang ketegangan geopolitik yang sedang berlaku telah memberi kesan kepada rantau ASEAN dalam GVC, seterusnya membincangkan langkah-langkah ke hadapan untuk bergerak ke arah industri dengan nilai tambah yang tinggi melalui penempatan strategik FDI, memacu inovasi dengan meningkatkan kompleksiti produk, serta memanfaatkan peluang yang muncul dari penyusunan semula rangkaian nilai.

## Memandu arah kerumitan perbandaran untuk masa depan bandar yang inklusif dan mampan

Kepelbagaian sifat bandar dan cabaran yang dihadapi, serta keperluan untuk campur tangan dasar mencerminkan kerumitan ini (dari segi penyertaan pentadbiran hingga perubahan iklim) merupakan asas perbincangan tentang pendekatan pembentukan bandar yang inklusif dan mampan antara empat panelis terkemuka dalam sesi bertajuk _Masa Depan Bandar_, yang terdiri daripada Dr. Koh Sin Yee ( _Institute of Asian Studies_ (IAS)), Yin Shao Loong, Penyelidik Kanan KRI, Profesor Dr. Tim Bunnel ( _National University of Singapore_ (NUS)) dan Dr. Kristian Saguin ( _University of the Philippines_), dan dikendalikan oleh Profesor Hyun Bang Shin, Pengarah LSE _Saw Swee Hock Southeast Asia Centre_ (SEAC)).

Ahli panel turut mengajukan keperluan untuk membina kesedaran mengenai cabaran-cabaran utama dalam bandar menerusi data dan bukti dalam perancangan dasar-dasar supaya diterima oleh masyarakat.

## Peranan kerajaan yang berubah seiring perubahan ekonomi

Dalam sesi _Masa Depan Institusi_, para panelis telah membincangkan peranan kerajaan yang berkembang serta hubungannya dengan pasaran. Perbincangan mengenai peranan institusi ini melibatkan Profesor Dr. Chua Beng Huat ( _Yale-NUS College_), Profesor Dr. Yeah Kim Leng ( _Jeffrey Cheah Institute Southeast Asia_ (JSI)), Dr. Kim Dong Soo ( _Korea Institute for Industrial Economic and Trade_ (KIET)), dan Dr. Sarena Che Omar (Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI), dan dikendalikan oleh Yin Shao Loong. Sesi ini mengisyaratkan bahawa reformasi dan penyesuaian semula peranan kerajaan dalam mengatur pasaran, perlu seimbang dan berpandukan kekuatan serta keupayaan kedua-dua sektor. Jika berkesan, campur tangan kerajaan boleh memanfaatkan kedua-dua masyarakat dan kerajaan, tetapi kegagalan untuk mengadaptasi dalam keadaan ekonomi yang sedang berkembang akan menyebabkan gangguan yang tidak diingini pada pasaran.

## Mengenai LSE SEAC

_Saw Swee Hock Southeast Asia Centre_ (LSE SEAC) adalah sebuah pusat akademik pelbagai disiplin, yang berpangkalan di _London School of Economics and Political Science_ (LSE). LSE SEAC menjalankan penyelidikan, memudahkan perkongsian ilmu, dan mengatur acara diskusi berkaitan Asia Tenggara yang menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik tentang kompleksiti kawasan tersebut.

## Mengenai Institut Penyelidikan Khazanah

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) ialah sebuah badan pemikir dasar awam bebas yang berpangkalan di Malaysia. KRI menjalankan penyelidikan dan analisis mengenai pelbagai aspek ekonomi dan masyarakat, dengan memberi tumpuan untuk menjana pandangan dan cadangan untuk menyokong pembangunan Malaysia yang mampan dan inklusif.

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:

Najyah Johar

Ketua Pegawai Operasi

Khazanah Research Institute

03-2705 6103

najyah.johar@krinstitute.org

**TAMAT**
related to this event

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials