
- Pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, malah kepada ekonomi dan pasaran buruh keseluruhannya. Ia telah menambah beban dan cabaran kepada golongan pekerja, majikan dan kerajaan. Tambahan pula dengan pelaksanaan arahan penjarakan sosial dan perintah kawalan pergerakan, majoriti pekerjaan terutamanya yang berantung kepada interaksi kepada pelanggan secara fizikal turut terkesan.
- Belia berumur 15-29 tahun merangkumi hampir 40% daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia dan peranannya sebagai tunjang kepada kemakmuran ekonomi negara tidak dapat dinafikan. Adalah penting untuk memastikan belia, termasuk graduan baharu bukan sahaja memperolehi pekerjaan, malah memperolehi pekerjaan yang berkualiti, dan setara dengan kelayakan mereka. Situasi pasaran buruh pasa masa ini sangat mencabar. Ditambah pula dengan krisis pandemik Covid-19 yang menyekat banyak pergerakan dan aktiviti ekonomi. Namun, ekonomi masih perlu bergerak bagi memastikan kesan negatif semasa dan selepas Covid-19 adalah minimum.
- Melalui data dan maklumat pasaran buruh sedia ada, penulisan ini menghuraikan lima sebab utama mengapa krisis pandemik Covid-19 yang sedang melanda pada hari ini memberi kesan secara langsung kepada belia melalui (i) peningkatan kadar pengangguran; penglibatan belia dalam (ii) sektor paling terkesan dan (iii) aktiviti tidak formal; (iv) kesan kepada graduan baharu dan (v) kesan kepada jurang pendapatan.
- Pelbagai peruntukan dan inisiatif telah diumumkan untuk mengurangkan kesan krisis Covid-19 kepada pasaran buruh. Kebanyakan inisiatif yang diumumkan adalah menyeluruh, namun manfaat kepada belia dan graduan baharu adalah minimum. Meneliti kepada beberapa program dan inisiatif sedia ada, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan seperti penambahbaikan dan fokus kepada pengurusan dan sumber kewangan terhadap program sedia ada kepada satu program yang memberi tumpuan khusus mencipta pengalaman kerja kepada belia, khususnya graduan baharu.