Views
Nov 25, 2024
6
Minutes read

Dilema Wanita: Bekerja atau Berhenti?

Author
Puteri Marjan Megat Muzafar
Research Associate
Puteri Marjan Megat Muzafar
Research Associate
Co - Author
No items found.
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview
Pada tahun 2023, peratusan tertinggi wanita yang berada dalam pasaran buruh adalah mereka yang berumur 25-29 tahun iaitu sebanyak 77.4%, suatu peningkatan ketara daripada 61.2% pada tahun 2000. Namun begitu, semakin meningkat usia, wanita mula memilih untuk berhenti kerja, menjadikan peratusan mereka dalam pasaran buruh kian menyusut. Sekitar 3.0 juta wanita atau 62.1% daripada wanita yang berada di luar pasaran buruh menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga sebagai sebab mereka tidak bekerja. Isu utama bukanlah wanita tidak mahu menyertai tenaga kerja, tetapi kesukaran untuk kekal bekerja disebabkan pelbagai halangan seperti tanggungjawab keluarga, norma sosial, dan cabaran penjagaan kanak-kanak. Untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam jangka panjang, adalah penting untuk mengatasi isu-isu ini melalui dasar-dasar mesra keluarga.
dilema-wanita-bekerja-atau-berhenti
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Menggalakkan wanita bekerja usaha penting untuk mengukuhkan negara dan keluarga

Pada 27 Julai 2023, YAB Perdana Menteri membentangkan kerangka dasar Ekonomi MADANI yang berteraskan prinsip pemerkasaan rakyat. Sebahagian daripada fokus kerangka tersebut menekankan kepentingan memastikan rakyat mendapat peluang sama rata untuk mencapai kemajuan dan merasai hasil kemakmuran negara.

Ini termasuk menangani ketidakseimbangan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita yang masih ketinggalan pada 56.2%, berbanding lelaki pada 82.3%. Sasaran Ekonomi MADANI untuk meningkatkan KPTB wanita kepada 60% dalam tempoh sedekad tampak boleh dicapai, namun kita perlu melipatgandakan usaha dan menetapkan aspirasi yang lebih tinggi untuk meningkatkan daya saing negara. Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding negara serantau seperti Singapura dan Thailand yang masing-masing mempunyai penyertaan wanita setinggi 72.5% dan 69.5%.

Menggalakkan penglibatan wanita dalam pasaran buruh bukan sahaja dapat menambah baik kesaksamaan gender dalam pasaran buruh, malah akan melonjak pertumbuhan dengan memanfaatkan modal insan sedia ada. Wanita merangkumi 51% daripada penduduk umur bekerja yang berpendidikan tinggi, namun hanya 37.7% daripada kumpulan bekerja adalah wanita.

Apabila wanita bekerja, mereka mengukuhkan kewangan mereka sendiri dan keluarga. Isi rumah yang mempunyai dua penerima pendapatan lebih mampu untuk menyara dan meningkatkan taraf hidup keluarga. Sebaliknya apabila wanita tidak bekerja, kebergantungan mereka kepada pasangan atau ahli isi rumah yang bekerja adalah lebih tinggi dan kedudukan kewangan mereka lebih rapuh. Statistik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan hanya 45.5% ahli mereka adalah wanita, ekoran daripada kadar bekerja wanita yang lebih rendah berbanding lelaki. Simpanan persaraan mereka juga masih berada pada tahap yang tidak memberangsangkan, dengan simpanan median ahli wanita hanya mencapai RM122,890, separuh daripada nilai saranan RM240,000 untuk menampung hidup ketika persaraan secara bermaruah.

Wanita masuk bekerja ketika usia muda, kemudian beransur keluar

Peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh adalah perlahan dalam tempoh 10 tahun terakhir ini. Jika dibandingkan mengikut kumpulan umur, tenaga buruh wanita didominasi oleh golongan berusia 25-54 tahun, dengan KPTB wanita dalam usia perdana (prime-age) ini mencecah hampir 70%. Sebaliknya, KPTB wanita berusia 55-64 tahun adalah jauh lebih rendah, hanya 29%, sekali gus menarik turun kadar keseluruhan kepada 56%.

Usia 25-54 tahun adalah fasa paling produktif dalam kerjaya, dengan potensi tinggi untuk menjana pendapatan. Memilih untuk tidak bekerja ataupun berhenti kerja boleh membantutkan perkembangan kerjaya. Perbandingan antara jantina dalam usia tersebut menunjukkan KPTB lelaki lebih tinggi dan lebih stabil daripada wanita dalam tempoh dua dekad yang lalu. Namun, perbezaan tersebut makin mengecil dengan mencatatkan penurunan jurang daripada 46.8 mata peratusan pada 2000 kepada 26.1 pada 2023.

Tanggungjawab keluarga sebab utama wanita tidak bekerja, terutamanya kalangan wanita lebih berusia

Pada tahun 2023, seramai 4.8 juta wanita berada di luar tenaga buruh, berbanding 2.2 juta lelaki. Daripada jumlah tersebut, sekitar 3.0 juta wanita atau 62.1% menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga sebagai sebab mereka tidak bekerja, berbanding hanya 85,200 lelaki yang memberikan sebab yang sama. Pendidikan menjadi sebab kedua tertinggi untuk wanita tidak bekerja, meliputi seramai 1.51 juta wanita atau 31.4%. Apabila angka ini dikupas mengikut umur, adalah jelas bahawa wanita lebih muda—24 tahun ke bawah—berada di luar tenaga buruh kerana melanjutkan pelajaran, manakala wanita yang lebih berumur memilih untuk tidak bekerja kerana menjalankan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga.

Faktor tanggungjawab terhadap keluarga dalam mencorak keputusan wanita bekerja diteliti dengan lebih mendalam dengan melihat tahap pendidikan mereka. Wanita yang tidak bekerja ramainya terdiri daripada mereka yang berpendidikan lebih rendah iaitu 84%, dan peratus ini lebih tinggi lagi di kalangan wanita yang berusia 45 sehingga 64 tahun. Wanita yang berpendidikan tinggi merangkumi jumlah yang lebih rendah, iaitu 16% daripada keseluruhan wanita yang tidak bekerja kerana faktor keluarga. Ini mencerminkan bahawa pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Keputusan untuk berkeluarga lebih mempengaruhi pilihan wanita untuk bekerja berbanding lelaki. KPTB lelaki paling tinggi adalah apabila mereka berkahwin iaitu 91.8%. Sebaliknya, kadar bagi wanita yang berkahwin adalah jauh lebih rendah pada 59.7%. Jurang sebanyak 32.1 mata peratusan ini merupakan perbezaan terbesar antara semua status perkahwinan. Perbezaan ini mencerminkan beban tanggungjawab keluarga yang tidak seimbang yang lebih banyak ditanggung oleh wanita dan menjejaskan keupayaan mereka untuk terus bekerja.

Menyokong wanita yang tidak bekerja tetapi ingin bekerja

Dapatan daripada kajian KPWKM (2013) menunjukkan ramai wanita yang tidak bekerja mempunyai hasrat untuk bekerja. Daripada 1,265 responden yang tidak bekerja, 52.8% menyatakan mereka mempunyai keinginan untuk bekerja dan 71% daripada jumlah tersebut adalah wanita yang pernah bekerja. Ini menunjukkan bahawa wanita yang berpengalaman bekerja lebih terbuka untuk kembali ke alam pekerjaan.

Kesimpulan

Kajian menunjukkan bahawa walaupun terdapat pelbagai faktor yang mengekang wanita untuk bekerja, faktor keluarga dan norma sosial yang tertanam masih memainkan peranan yang penting. Penjagaan anak dan tanggungjawab rumahtangga kekal menjadi faktor penting dan memerlukan perhatian segera dan kajian mendalam untuk mencari penyelesaian yang praktikal. Untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam jangka panjang, adalah penting untuk mengatasi isu-isu ini melalui dasar-dasar mesra keluarga. Hanya dengan mengurangkan halangan ini, wanita dapat diberikan peluang sebenar untuk kekal dalam tenaga kerja, sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Read Full Publication
featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
["DOSM. 2024. Permintaan data berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh.” Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.","Hawati Abdul Hamid, dan Puteri Marjan Megat Muzafar. 2024. “Individual Attributes, Values and Gender Employment Gap.” Working Paper. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. https://www.krinstitute.org/Working_Paper-@-Individual_Attributes,_Values_and_the_Gender_Employment_Gap.aspx","Ilyana Syafiqa Mukhriz Mudaris, Hafiz Hafizi Suhaimi dan Hawati Abdul Hamid. 2024. “Care in Malaysia: Emerging Trends, Challenges and Opportunities.” Working Paper. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. https://www.krinstitute.org/Working_Paper-@-Care_in_Malaysia-;_Emerging_Trends,_Challenges_and_Opportunities.aspx","KPWKM. 2013. “Study to Support the Development of National Policies and Programmes to Increase and Retain the Participation of Women in the Malaysian Labour Force: Key Findings and Recommendations.” Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan United Nations Development Programme. https://www.undp.org/sites/g/files/zskgke326/files/migration/my/WomenInMalaysian-Labour-Force-Study-with-UNDP-2013.pdf.","KWSP. 2024. Integrated Annual Report 2023. Selangor: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.","PMO. 2023. “Speech Text Madani Economy: Empowering The People.” Putrajaya: Pejabat Perdana Menteri. https://www.pmo.gov.my/2023/07/teks-ucapan-ekonomi-madanimemperkasarakyat/","Puteri Marjan Megat Muzafar, dan Hawati Abdul Hamid. 2024. “Gender Equality in the World of Work: Status and Progress.” Working Paper. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. https://www.krinstitute.org/Working_Paper-@-Gender_Gap_in_the_World_of_Work;_Status_and_Progress.aspx"]
Photography Credit

Related to this Publication

No results found for this selection
You can  try another search to see more

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials