
KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Cabaran fasa pemulihan krisis
COVID-19 meninggalkan kesan negatif kepada ekonomi global dan pasaran buruh khasnya. Majoriti negara melaporkan peningkatan kadar pengangguran keseluruhan yang dramatik, tidak terkecuali kadar pengangguran belia. Isu pengangguran belia bukanlah suatu fenomena baharu di Malaysia. Selepas berada di bawah paras 10 peratus sejak tahun 2011, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kembali melebihi 10 peratus sejak tahun 2015. Manakala kadar pengangguran belia berumur 25 hingga 29 tahun untuk pertama kali melebihi kadar pengangguran nasional pada tahun 2013. Malah, belia berumur 15 hingga 29 tahun ini merangkumi hampir 80 peratus dari keseluruhan penganggur. Dari segi pencapaian pendidikan pula, lebih 80 peratus penganggur mempunyai tahap pendidikan peringkat tertiari.
Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, baru-baru ini mengumumkan kadar kebolehpasaran belia yang diperoleh melalui Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2020 telah menurun kepada 84.4 peratus, berbanding 86.2 peratus pada tahun 2019. Ini bermaksud, 2 daripada 10 orang graduan masih gagal mendapatkan pekerjaan ketika kajian dilaksanakan pada tahun 2020. Walaupun dinyatakan penurunan ini tidaklah begitu signifikan dalam keadaan ekonomi dan kekangan peluang pekerjaan di tengah-tengah krisis COVID-19, isu kebolehpasaran belia tidak wajar dipandang ringan. Mengikut rekod, kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia berada pada kadar melebihi 80 peratus dicatatkan sejak tahun 2018 sebanyak 80.2 peratus (2017: 79.1%).
Meningkatkan kebolehpasaran graduan
Kebolehpasaran dalam kalangan graduan baharu mencerminkan isu ekonomi dan pasaran pekerjaan yang lebih luas. Ketika di universiti, mereka terhindar daripada sebarang krisis yang berlaku dalam ekonomi. Namun saiz graduan baharu yang memasuki pasaran buruh kali pertama berkait rapat dengan keadaan ekonomi semasa, seterusnya mempengaruhi kebolehpasaran mereka. Untuk rekod, jumlah graduan yang dihasilkan meningkat setiap tahun, dan pada tahun 2019, jumlahnya sebanyak 298 ribu graduan. Namun, krisis COVID-19 ini amat memberi kesan kepada pasaran buruh terutamanya pekerjaan berkemahiran untuk graduan baharu. Industri di kebanyakan sektor pula dilihat terus menangguhkan pengambilan pekerja, terutamanya bagi jawatan yang memerlukan kemahiran yang boleh diisi oleh graduan (pekerjaan berkemahiran).
Bagaimana kebolehpasaran graduan boleh ditingkatkan? Persoalan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijawab memandangkan isu kebolehpasaran graduan ini merupakan isu struktural dan telah wujud sejak sebelum krisis COVID-19 lagi. Program-program kebolehpasaran graduan yang berstruktur dan pelaksanaan dalam jangka masa sederhana panjang amat diperlukan. Kenyataan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini turut menjelaskan, melalui pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan, KPT komited untuk memberi fokus kepada isu kebolehpasaran belia melalui program Penjana KPTCAP (Career Advancement Programme) yang memfokuskan kepada program latihan dan perantisan, padanan pekerjaan berpandukan kelayakan graduan dan pembangunan bakat keusahawanan. Tidak dinafikan bahawa ketiga-tiga strategi ini sangat membantu dan dilihat bertepatan pada masanya dengan fokus secara langsung kepada golongan graduan baharu.
Kesinambungan dan kelestarian program peningkatan kebolehpasaran graduan haruslah memenuhi kehendak dan keperluan semasa. Program ini tidak seharusnya terhenti setakat setahun dua. Pasaran buruh memerlukan masa untuk kembali pulih, setidak-tidaknya ke paras sebelum krisis. Program KPT-CAP ini seharusnya diteruskan pada masa akan datang dan perlu dipastikan bahawa program ini tidak terus bergantung kepada peruntukan pihak kerajaan semata-mata. Jangkauan program juga perlu lebih besar dengan menyasarkan penyertaan lebih ramai graduan, selari dengan peningkatan jumlah penyertaan graduan ke pasaran buruh setiap tahun.
Program KPT-CAP ini merupakan kerjasama strategik KPT dan industri. Secara tidak langsung, dapat memastikan industri terlibat menawarkan pekerjaan yang setimpal dan sepadan dengan kelayakan graduan. Perlu ditekankan bahawa dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar dengan peluang pekerjaan yang terhad, jaminan pekerjaan adalah sangat penting kepada graduan baharu. Namun, memastikan pekerjaan yang sepadan kepada graduan adalah penting. Isu ketidak padanan pekerjaan dan kelayakan belia bukanlah perkara baharu di Malaysia. Kajian The School-to-Work Transition of Young Malaysian (SWTS) oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada 2018 juga menunjukkan 95 peratus belia yang bekerja di dalam pekerjaan tidak berkemahiran dan 50 peratus pekerja bukan manual berkemahiran rendah terlebih kelayakan— menggambarkan bahawa isu ketidakpadanan pekerjaan ini telah serius walaupun sebelum krisis COVID-19 lagi.
Malah, rencana oleh Siti Aiysyah Tumin dari KRI baru-baru ini berdasarkan data Laporan Tenaga Buruh pada Disember 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga merungkai jurang dalam pasaran buruh tidak hanya merujuk kepada isu pengangguran semata-mata. Selain kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia, kadar guna tenaga tidak penuh (underemployment) juga meningkat. Guna tenaga tidak penuh ini berlaku dalam keadaan pekerjaan ataupun kerja yang tidak mencukupi menyebabkan jumlah jam bekerja kurang daripada 30 jam seminggu. Dalam konteks COVID-19, perkara ini dapat dijelaskan melalui kesan daripada sekatan dan kekangan waktu operasi perniagaan. Guna tenaga tidak penuh berkaitan masa (time-related underemployment) dalam kalangan belia juga didapati meningkat pada tahun 2020. Malah, artikel tersebut juga mengenalpasti isu guna tenaga berkaitan kemahiran (skill-related underemployment) yang bermaksud ketidakpadanan antara kemahiran dan taraf pendidikan pekerja juga meningkat. Peratusan ketidakpadanan ini telah meningkat kepada 8 hingga 12 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh pada akhir tahun 2020.
Inisiatif program pembangunan bakat keusahawanan melalui inisiatif KPT-CAP ini juga harus diteliti dengan lebih terperinci dari segi sasaran penyertaan dan minat graduan. Kajian SWTS mendapati bahawa keusahawanan bukanlah sesuatu yang dilihat sebagai peluang untuk diceburi dalam proses peralihan ke alam pekerjaan, walaupun keusahawanan sering dianggap sebagai satu penyelesaian kepada isu pengangguran. SWTS juga mendapati graduan lebih cenderung untuk bekerja di sektor awam dan syarikat-syarikat multinasional dan swasta.
Sekiranya bidang keusahawanan ingin dijadikan sebagai salah satu jalan penyelesaian, kesedaran terhadap, kesedaran terhadap potensi bidang keusahawanan perlu dipupuk sejak awal lagi agar ia tidak dilihat sebagai suatu pilihan kepada pengangguran. Latihan pembangunan bakat keusahawanan sahaja tidak mencukupi. Sistem sokongan yang efektif dan konsisten terhadap keusahawanan yang lestari (sustainable). Jalinan kerjasama, bimbingan (mentorship) dan sokongan (advocacy) adalah perlu untuk menambahbaik ekosistem keusahawanan kepada golongan belia dan graduan baharu. Malah, sistem jaminan keselamatan sosial (social safety net) sering menjadi isu dalam menarik minat ke bidang keusahawanan kerana kepentingannya untuk menjamin perlindungan dalam menghadapi situasi yang tidak diingini kelak.
Cabaran kepada Institusi Pengajian Tinggi
Institusi pengajian tinggi seringkali digembar-gemburkan gagal menyediakan bekalan tenaga buruh yang memenuhi kehendak dan keperluan pasaran. Namun, SWTS juga mendapati majikan sebenarnya mempunyai penilaian yang positif kepada graduan walaupun ada segelintir yang yang berpandangan bahawa graduan kurang bersedia untuk pasaran kerja. Silibus pendidikan juga sering dikaitkan terlalu memberi tumpuan kepada ilmu di dalam kelas tanpa nilai-nilai praktikal yang amat berguna dan diperlukan ketika di alam pekerjaan. Namun, kesemua penilaian ini adalah berkait rapat dengan realiti bahawa belia memerlukan peluang dan masa dalam proses peralihan mereka ke alam pekerjaan. Kurang pengalaman kerja merupakan sebab yang utama. Justeru, majikan perlu membuka ruang kepada graduan baharu menyesuaikan diri dan menimba pengalaman di alam pekerjaan. Mengasah kemahiran memerlukan masa, apatah lagi dalam keadaan mereka perlu bersaing dengan pekerja yang lebih berpengalaman.
Sistem Sokongan kepada graduan
Dengan lebih 300 ribu graduan bakal melangkah ke alam pekerjaan pada tahun ini, mereka perlu bersaing dengan lebih 700 ribu lagi penganggur sedia ada untuk merebut peluang pekerjaan yang terhad. Selain tiga teras utama yang menjadi tumpuan KPT untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, beberapa inisiatif lain boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk melancarkan proses peralihan dari alam pendidikan ke alam pekerjaan.
Pertama, graduan baharu dan belia pertama kali mencari kerja memerlukan sokongan dalam proses mencari kerja. Selain skim latihan dan pembangunan bakat keusahawanan yang ditawarkan. Kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian sokongan kewangan bagi tujuan mencari kerja. Inisiatif ini juga boleh dimanfaatkan oleh graduan yang telah selesai menjalani latihan kebolehpasaran tetapi masih gagal diambil bekerja oleh mana-mana syarkat. Sokongan kewangan ini bukanlah sesuatu yang asing, malah, beberapa negara lain juga telah lama melaksanakannya (seperti UK dan Australia). Sokongan kewangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kewangan belia dan graduan baharu untuk memulakan proses mencari kerja, yang kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar dengan kos kehidupan yang tinggi.
Kedua, belia perlu didedahkan dengan program bimbingan dan kaunseling kerjaya dan mencari kerja sejak di peringkat sekolah lagi. Belia perlu didedahkan dengan aspirasi yang realistik dan maklumat terkini tentang keadaan pasaran buruh dan peluang pekerjaan. Kaunselor bimbingan yang terlatih dan dilengkapi dengan pengetahuan mengenai maklumat pasaran buruh yang tepat mampu membimbing golongan belia pada ketika keputusan berkenaan pemilihan kerjaya perlu dilakukan.
Ketiga, institusi pengajian tinggi tidak wajar dibebankan dengan pelbagai permintaan untuk mengubah struktur silibus yang kononnya mampu memperbaiki kebolehpasaran belia. Tidak dinafikan, struktur silibus perlu disemak dari semasa ke semasa agar kekal relevan, namun, proses ini bukanlah sekelip mata dan memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak, terutamanya industri. Justeru, strategi asas perlu dirangka sebagai sebahagian daripada proses integrasi pendidikan dan kemahiran kepada graduan. Contohnya, melalui lantikan tenaga pengajar yang berpengalaman luas dari industri berkaitan, atau melengkapkan diri mereka dengan keperluan industri yang secara tidak langsung boleh dipraktikkan di dalam sesi pengajaran.
Keempat, pihak kerajaan boleh bertindak sebagai ‘majikan sementara’ dengan mewujudkan lebih peluang pekerjaan jangka pendek di sektor awam. Di samping mendedahkan graduan baharu dengan alam pekerjaan yang sebenar, isu pengangguran dapat diatasi.
Kesimpulan
Tahun 2021 menyaksikan fasa pemulihan krisis COVID-19, dengan program vaksinasi kepada rakyat yang dijangka selesai penghujung 2021. Namun, fasa pemulihan ini tidak menjanjikan pemulihan yang drastik dalam pasaran buruh, sekurang-kurangnya pada tahap sebelum krisis. Justeru, isu pengangguran terutamanya dalam kalangan belia dan graduan baru wajar diberi perhatian khusus agar tidak berlarutan dan memberi kesan jangka panjang kepada prospek kerjaya tenaga kerja sedia ada. Banyak kajian telah membuktikan kohort graduan pertama kali mencari kerja dalam keadaan krisis mengalami pelbagai kesan jangka panjang bukan sahaja kepada pendapatan, malah kepada prospek pembangunan kerjaya dan kepuasan kerja.