
Perumahan sosial mesti dilihat sebagai tanggungjawab pengurusan dalam objektif pemulihan kebajikan ‘social improvements’ oleh kerajaan (iaitu pengurusan kesejahteraan isi rumah dan kualiti stok kediaman); dan bukan penyelesaian ‘pembinaan’ iaitu berdasarkan bilangan unit rumah yang dibina sahaja. Selaras dengan Dasar Perumahan Negara 2.0 (2018 – 2025) (DRN 2.0), rangka kerja dasar yang mampan membolehkan isi rumah miskin beralih daripada penyewaan sosial kepada menyewa di pasaran bebas dan akhirnya memiliki rumah sendiri. Mengikut rangka kerja ini, perumahan sosial diklasifikasikan sebagai perumahan transit dengan laluan formal dan jelas bagi isi rumah yang berkemampuan untuk ‘graduasi’ ke dalam sektor pasaran.
Dasar perumahan tidak boleh hanya tertumpu untuk mengurus kediaman golongan miskin tanpa mengambil kira transaksi perumahan di pasaran bebas. Penemuan kajian menunjukkan terdapat fenomena ‘universal housing queue’ yang menyukarkan golongan miskin untuk menduduki perumahan yang baik, manakala mereka yang berada di julat terdekat dengan golongan miskin akan kekal dengan perumahan berkualiti rendah di pasaran bebas. Kajian ini juga menunjukkan pilihan kediaman yang sangat terhad bagi isi rumah untuk beralih dari sektor sosial (PPR) kepada pasaran bebas.
KRI mencadangkan pendekatan holistik baru dalam merangka dasar perumahan sosial melalui 3 teras dasar dengan 9 cadangan dasar. Tiga teras dasar tersebut merangkumi perubahan dalam dasar perumahan sosial daripada hanya dilihat sebagai penyelesaian pembinaan (unit dibina) ke tanggungjawab pengurusan. Ini termasuk:
- Pengurusan isi rumah PPR: untuk mewujudkan senarai daftar isi rumah berdasarkan keperluan perumahan dengan kriteria kelayakan yang melangkaui tahap pendapatan seperti saiz isi rumah, kurang upaya usia tua dan kecacatan fizikal.
- Pengurusan unit perumahan PPR: untuk menambah baik piawaian perumahan PPR sedia ada dan akan datang, dengan pelbagai GFA untuk menampung saiz isi rumah yang berbeza.
- Pengurusan unit perumahan sektor swasta: untuk mengelakkan isi rumah yang beralih/ ‘graduasi’ dari perumahan sosial daripada tinggal dalam keadaan perumahan yang lebih memudaratkan di pasaran bebas.