
Pendahuluan
Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) terus mendapat perhatian daripada kerajaan melalui beberapa inisiatif baru yang telah diumumkan di bawah Belanjawan 2023. Semasa membentangkan belanjawan tersebut, Perdana Menteri turut mengetengahkan isu gaji yang tidak setimpal dalam kalangan graduan TVET di sebalik peruntukan besar yang diberikan kerajaan (RM6.7 bilion pada tahun 2023).
Views adalah rencana yang diterbitkan bagi menggalakkan perbincangan dan pertukaran pandangan tentang isu-isu semasa. Ia adalah adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi KRI.
Rencana ini ditulis oleh Hawati Abdul Hamid, penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI). Penulis berterima kasih di atas komen daripada Dr Umawathy Lechanamurthy dan Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim.
Versi Bahasa Inggeris bagi rencana ini telah diterbitkan di akhbar The Edge Weekly pada 6 Mei 2023. Kertas kerja penuh bertajuk “Unlocking the Earning Potential of TVET Graduates” boleh dimuat turun di laman sesawang www.KRInstitute.org.
E-mail penulis: hawati.hamid@krinstitute.org
Statistik menunjukkan hanya sekitar 10% graduan TVET memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM2,000 apabila ramai yang terpaksa menerima pekerjaan yang lebih rendah berbanding kelayakan. Lanjutan itu, Timbalan Perdana Menteri seterusnya menyeru majikan menawarkan gaji permulaan RM3,000 kepada graduan TVET.
Sementara itu inisiatif Belanjawan 2023 seperti gaji tambahan sebanyak RM600 kepada majikan sektor swasta yang menggaji graduan baharu serta projek rintis pengambilalihan institusi TVET terpilih oleh syarikat swasta terutamanya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dijangka akan memberi kesan positif kepada graduan-graduan tersebut.
Keberhasilan graduan TVET bertambah baik berbanding sedekad yang lalu
Kajian terbaharu Institute Penyelidikan Khazanah (KRI) menggunakan data Kajian Pengesanan Graduan (GTS) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan bahawa keberhasilan graduan TVET telah meningkat dari tahun ke tahun. Analisis menunjukkan bahawa kadar kebolehpasaran (GE) bagi graduan TVET telah meningkat daripada 65.5% pada 2010, kepada 87.6% pada 2020. Sejak 2012, kadar GE graduan TVET adalah lebih tinggi berbanding graduan lain daripada institusi tempatan. Di samping itu, peratusan graduan TVET yang tidak mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian turut menurun daripada 34.5% pada 2010 kepada 12.4% pada 2020. Malah, sejak 2012, kadar tersebut adalah lebih rendah berbanding graduan bukan TVET (2020: 18.0%).
Perlu ditekankan bahawa indikator “kebolehpasaran” ini tidak hanya merujuk kepada graduan berstatus “telah bekerja” sahaja. Definisi oleh KPT menyatakan bahawa kadar kebolehpasaran diukur dengan merangkumi tiga status graduan iaitu: (i) telah bekerja, (ii) melanjutkan pelajaran dan (iii) menyertai program peningkatan kemahiran.
Namun begitu, dalam kalangan graduan yang dikategorikan dalam statisik kebolehpasaran ini, didapati secara purata antara tahun 2010 dan 2020, sebanyak 75.6% graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian. Berbanding graduan bukan TVET, hanya 64.0% yang berjaya memperoleh pekerjaan untuk tempoh yang sama. Pencapaian positif bagi graduan TVET ini dapat dikaitkan dengan pendekatan pendidikan TVET yang menekankan kemahiran praktikal yang diperlukan industri, berbanding mereka yang melalui laluan akademik.
Graduan TVET mempunyai potensi pendapatan yang unik
Memandangkan gaji permulaan graduan yang rendah dan pertumbuhan gaji yang lembab bukanlah isu baharu, kajian KRI tersebut telah menganalisa potensi pendapatan graduan TVET dengan melihat kepada senario graduan yang menerima pendapatan melebihi RM2,000 sebulan.
Hasil kajian mendapati pendapatan graduan TVET berkait rapat dengan tahap kelayakan— graduan TVET berkelulusan ijazah memperoleh pendapatan yang lebih baik berbanding lulusan diploma. Ini menunjukkan bahawa peluasan peluang untuk graduan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dapat melonjakkan tahap pendapatan mereka.
Memandangkan graduan TVET dilengkapi dengan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang tertentu, adalah lebih mudah bagi mereka untuk memulakan perusahaan sendiri. Graduan TVET yang memilih untuk bekerja sendiri dilihat berpotensi memperoleh pendapatan yang lebih tinggi apabila peratusan mereka yang berpendapatan melebihi RM5,000 adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja makan gaji. Lebih memberangsangkan, sebilangan besar graduan TVET ini adalah lulusan diploma.
Kajian ini juga mendapati bahawa lebih ramai graduan TVET yang bekerja sendiri terlibat dalam aktiviti pembuatan dan pembinaan, berbanding dengan graduan bukan TVET yang lebih terlibat dalam aktiviti penjualan dan perkhidmatan. Ini menunjukkan bahawa pendidikan berasaskan kemahiran juga boleh memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya aktiviti berasaskan industri.
Strategi untuk membantu graduan memperoleh pendapatan tinggi adalah penting
Di sebalik cabaran semasa yang masih membelenggu graduan TVET dalam pasaran buruh, dapatan kajian KRI menunjukkan keberhasilan pendidikan TVET adalah lebih baik berbanding sedekad yang lalu. Pencapaian positif ini boleh dikaitkan dengan usaha menangani beberapa cabaran yang dihadapi oleh sektor tersebut seperti dari segi jaminan kualiti, tadbir urus dan persepsi negatif terhadap TVET.
Tidak dinafikan bahawa isu gaji rendah terus menjadi cabaran utama graduan TVET dan masih ada ruang untuk penambahbaikan untuk sistem TVET di Malaysia. Namun isu gaji rendah ini tidak terhad bagi kumpulan ini sahaja memandangkan perkara sama juga dihadapi graduan dari laluan akademik. Dapatan ini membuktikan bahawa memperolehi pendapatan tinggi adalah sesuatu yang tidak mustahil walaupun dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri. Hakikatnya, lanskap pasaran buruh telah banyak berubah dan pandangan bahawa hanya pekerjaan makan gaji sahaja dapat memberikan pendapatan yang tinggi harus diubah.
Strategi yang boleh terus mengembangkan potensi graduan TVET untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi adalah diperlukan, agar pelaburan ke atas laluan pendidikan ini mendapat pulangan yang sewajarnya baik kepada negara mahupun kepada graduan itu sendiri. Strategi ini perlu melibatkan kerjasama yang lebih kukuh dengan pihak industri terutamanya dalam pembentukan kurikulum dan latihan yang disediakan agar graduan yang dihasilkan dapat memenuhi keperluan industri serta mengurangkan kos kepada industri untuk melatih pekerja baharu mereka.
Bagi graduan yang cenderung kepada keusahawanan, adalah penting agar mereka dilengkapi dengan pengetahuan pengurusan perniagaan disamping diberi sokongan dari segi akses kepada pasaran, pembiayaan dan bimbingan perniagaan.
Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 seperti pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta dijangka dapat menyumbang dalam memperkasakan potensi TVET. Usaha yang lebih bersepadu antara semua pemegang taruh akan menjadikan TVET Malaysia mencapai potensi sebenarnya.