
Kerangka konsep hak digital
Salah satu cabaran utama dalam memperjuangkan hak digital adalah kekurangan persetujuan tentang konsep hak digital itu sendiri. Pada tahun 2019, saya telah menjalankan satu kajian dengan menemubual 24 aktivis dan pejuang hak digital dari Malaysia, Filipina dan Thailand. Seterusnya, saya telah membangunkan kerangka konsep yang merangkumi empat aspek utama hak digital.
Empat aspek hak digital adalah seperti berikut: 1) hak konvensional manusia dalam konteks ruangan digital, 2) hak berpaksikan data, 3) hak untuk mengakses ruang dan perkhidmatan digital, dan 4) hak untuk mengambil bahagian dalam tadbir urus digital.
Kajian tersebut mendapati bahawa perjuangan hak digital di rantau Asia Tenggara kebanyakannya berfokus kepada dimensi hak konvensional manusia dalam ruangan digital, terutamanya isu kebebasan bersuara dan keganasan berasaskan gender dalam talian. Aktivis di Asia Tenggara didapati kurang memberi fokus kepada akses digital, mungkin disebabkan oleh keutamaan yang diberikan kerajaan terhadap pendigitalan dan capaian internet. Malah, penglibatan dalam tadbir urus digital yang mempengaruhi dasar-dasar kerajaan mengenai ICT tertumpu kepada peringkat nasional atau subnasional, dengan akses yang terhad kepada forum penetapan piawaian antarabangsa.
Hak berpaksikan data
Hak berpaksikan data sedang menjadi sebahagian daripada perbincangan hak digital ketika kajian tersebut dijalankan, dengan hanya sebilangan kecil organisasi dan masyarakat awam berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan privasi dan sekuriti data. Sukar untuk menerangkan bagaimana satu set titik data mampu membentuk "kembar digital" seseorang, di mana ia boleh digunakan untuk membuat keputusan yang mampu menentang atau memihak kepada hak atau cara kehidupan individu.
Pada satu sudut, kembar digital kita seolah-olah menjadi perwakilan diri kita yang lebih komprehensif. Hal ini disebabkan oleh pengkelasan data (datafikasi) kehidupan kita yang tanpa henti, seperti aktiviti yang dilakukan dalam talian, data biometrik tubuh badan, data kesihatan mahupun data kewangan. Dengan kemunculan "metaverse", pergerakan dan pernafasan kita juga sudah mula didatafikasikan. Dari sudut lain pula, sistem kecerdasan buatan berdasarkan data ("data‐driven artificial intelligence") seperti perisian pembelajaran mesin ("machine learning software") semakin kerap digunakan untuk mendapatkan pemahaman yang boleh digunakan untuk mengautomasi proses membuat keputusan dalam pelbagai bidang.
Walaupun risiko dan ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan harian kita semakin hari semakin serius, hak digital berkaitan isu ini masih kurang diperkembangkan dalam rantauan kita. Sebagai contoh, sistem penyelesaian cadangan ("recommendation systems") kini menjadi pengantara interaksi dalam talian kita, melalui syor/cadangan kandungan dalam talian, sama ada untuk membeli-belah dalam talian ataupun suapan media sosial. Di dunia nyata pula, pergerakan kita semakin dipantau dan didigitalkan oleh syarikat swasta dan badan kerajaan.
Kini, kita boleh melihat penggunaan teknologi yang dinyatakan di atas bagi perkhidmatan awam di Malaysia. Misalnya, kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan teknologi pengecaman wajah dalam pengawasan Kamera Litar Tertutup (CCTV) untuk membendung jenayah. Selain itu, sistem mahkamah di Sabah dan Sarawak telah mula menggunakan analisis statistik ramalan ("predictive statistical analysis") dalam proses membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman bagi jenayah dadah dan rogol.
Walaupun keberkesanan dan keselamatan penggunaan teknologi ini jarang dilaporkan di Malaysia, namun di negara lain, pelaksanaannya telahpun menimbulkan kebimbangan. Contohnya, sistem pengecaman wajah dan perisian risiko keresidivisian ("risk recidivism software") di Amerika Syarikat telah mengeruhkan lagi isu perkauman, serta menyisihkan lagi golongan terpinggir. Sistem kredit sosial di China juga merupakan contoh proses membuat keputusan berdasarkan data dan perbadanan digital telah memberi impak yang besar kepada masyarakat.
Tadbir urus penggunaan data dan AI
Terdapat sekurang-kurangnya dua kaedah penyelesaian mengenai isu melindungi hak berpaksikan data. Pertama sekali adalah melalui perlindungan data itu sendiri, dan ini termasuklah dasar yang komprehensif dan prosedur tadbir urus data untuk melindungi privasi dan keselamatan data (kebiasaannya dilaksanakan di peringkat organisasi). Skop data yang dilindungi pula tidak hanya terhad kepada data peribadi yang mewakili individu, tetapi termasuklah data bukan peribadi dan metadata, di mana pelbagai tafsiran boleh dilakukan.
Cara yang kedua ialah melalui tadbir urus penggunaan data. Pada tahun 2021, Kesatuan Eropah (EU) telah mengeluarkan rang undang-undang Akta Kecerdasan Buatan ("Artificial Intelligence Act") yang mungkin akan menetapkan piawaian dunia untuk pengawalseliaan AI, seperti "General Data Protection Regulation", atau GDPR untuk perlindungan data. Akta tersebut mengklasifikasikan dan mengawalselia penggunaan AI mengikut tahap risiko terhadap rakyat EU daripada apa sahaja penggunaan AI.
Penggunaan yang menimbulkan risiko yang tidak boleh diterima (cth., manipulasi dan eksploitasi kumpulan rentan tanpa mereka sedari, penentuan kredit sosial oleh pihak berkuasa, atau sistem identifikasi biometrik dalam masa sebenar di tempat awam) patut dilarang sama sekali. Penggunaan berisiko tinggi (cth., penggunaan untuk mencari pekerja, penilaian kredit pengguna, sistem keselamatan kritikal, dll.) perlu tertakluk kepada pemantauan dan pengawalseliaan yang lebih ketat berbanding penggunaan berisiko minimal atau rendah (cth. chatbot AI, penapis spam, dan kebanyakan sistem AI yang lain).
Kebanyakan inisiatif dasar seperti ini kelihatan agak mudah tetapi pelaksanaannya adalah kompleks dan mungkin akan menimbulkan lebih banyak masalah. Malah banyak pihak juga telah membuat analisa serta kritikan sendiri tentang apa yang dicadangkan. Cadangan ini sekurang-kurangnya langkah yang lebih baik berbanding kawalselia sendiri oleh pemain industri digital dan takrifan etika AI yang sempit serta pelaksanaan yang lemah. Untuk memperkasakan perlindungan hak berpaksikan data, adalah penting untuk teknologi AI digunakan mengikut konteks penggunaan, masyarakat dan tahap risikonya.
Conclusion
Dengan memecahkan kerangka konsep hak digital mengikut aspek, kita boleh melihat bahagian yang bermasalah dengan lebih jelas. Malah, setiap aspek hak digital mempunyai konteks sejarah dan pihak berkepentingan yang tersendiri serta penyelidikan dan isu-isu sedia wujud yang diperjuangkan selama ini. Keluasan skop setiap aspek kemudiannya boleh dipetakan untuk menangani jurang yang wujud di dalam aspek tersebut, serta mewujudkan kerjasama antara institusi kerajaan dan bukan kerajaan.
Walaupun kesemua aspek hak digital penting dan masing-masing mempunyai impak di dalam dunia nyata, hak berpaksikan data adalah aspek yang paling cepat berkembang tetapi paling kurang difahami. Dalam usaha negara untuk mengikuti perkembangan landskap pengawalseliaan AI pada peringkat global (cth., Pelan Hala Tuju Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat), Malaysia perlulah memastikan struktur pengawalseliaan AI dan data mampu melindungi rakyat agar teknologi ini membawa lebih banyak manfaat berbanding kesan buruk.