Views
Oct 16, 2024
6
Minutes read

Mendalami Kesan Covid-19 Terhadap Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah

Author
Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim
Senior Research Associate
Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim
Senior Research Associate
Co - Author
Nik Syafiah Anis Nik Sharifulden
Nik Syafiah Anis Nik Sharifulden
Shazrul Ariff Suhaimi
Shazrul Ariff Suhaimi
Theebalakshmi Kunasekaran
Theebalakshmi Kunasekaran
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview

Tidak dapat dinafikan bahawa Covid-19 telah memberi kesan terhadap tahap sosio-ekonomi rakyat Malaysia. Ramai yang mengalami kehilangan atau pengurangan sumber pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan aktiviti ekonomi tempatan secara mendadak. Melalui beberapa  fasa pengawalan dan pemulihan antara tahun 2020 - 2021, PKP telah memberi kesan yang sangat ketara, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah serta perniagaan kecil dan sederhana.

Akibatnya, banyak isi rumah di Malaysia mengalami ketidakstabilan kewangan, yang secara langsung menjejas keupayaan mereka untuk berbelanja seperti biasa. Meskipun cabaran ini di luar jangkaan, terdapat banyak aspek yang boleh kita nilai dan pelajari untuk memahami kesannya, khususnya dari perspektif golongan isi rumah yang paling terdedah. Berdasarkan laporan terkini oleh KRI bertajuk “The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022", yang memberi tumpuan kepada analisis kesan pasca pandemik sehingga tahun 2022, rencana ini akan membincangkan dengan lebih mendalam dua isu utama, iaitu kesan Covid-19 kepada pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.

mendalami-kesan-covid-19-terhadap-pendapatan-dan-perbelanjaan-isi-rumah
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Pengenalan

Tidak dapat dinafikan bahawa Covid-19 telah memberi kesan terhadap tahap sosio-ekonomi rakyat Malaysia. Ramai yang telah mengalami kehilangan atau pengurangan sumber pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan aktiviti ekonomi tempatan secara mendadak. Bermula pada 18 Mac 2020 dan berlanjutan melalui beberapa fasa pengawalan dan pemulihan sehingga 31 Disember 2021, PKP telah memberi kesan yang sangat ketara, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah serta perniagaan kecil dan sederhana. Akibatnya, banyak isi rumah di Malaysia mengalami ketidakstabilan kewangan, yang secara langsung menjejaskan keupayaan mereka untuk berbelanja seperti biasa. Meskipun cabaran ini di luar jangkaan, terdapat banyak aspek yang boleh kita nilai dan pelajari untuk memahami kesannya, khususnya dari perspektif golongan isi rumah yang paling terdedah.

Berdasarkan laporan terkini oleh KRI bertajuk "The State of Households 2024", yang memberi tumpuan kepada analisis kesan pasca pandemik sehingga tahun 2022, rencana ini akan membincangkan dengan lebih mendalam dua isu utama, iaitu kesan Covid-19 terhadap pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.

Pertumbuhan Pendapatan Isi Rumah Perlahan Pasca-Pandemik dan masih di bawah Potensi Pra-Pandemik

Secara keseluruhannya, pendapatan isi rumah purata dan penengah di Malaysia menunjukkan peningkatan dari tahun 2009 hingga 2022. Antara tahun 2009 hingga 2022, pendapatan purata dan median (nominal) isi rumah meningkat sebanyak lebih dua kali ganda. Pendapatan median (nominal) pada tahun 2022 adalah sebanyak RM6,338 berbanding RM2,841 pada 2009. Manakala pendapatan purata (nominal) pada tahun 2022 adalah sebanyak RM8,479 berbanding RM4,025 pada tahun 2009.

Namun, berdasarkan harga 2015, terdapat variasi dalam kadar pertumbuhan sebenar pendapatan isi rumah, di mana dari tahun 2009 hingga 2019, pendapatan purata dan penengah masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 4.7% dan 5.3%. Namun, kadar pertumbuhan didapati lebih perlahan dari tahun 2019-2022, kepada 0.8% dan 1.0% sahaja. Walaupun ia mencerminkan satu keadaan yang positif kepada pendapatan isi rumah di Malaysia berbanding negara-negara serantau², pertumbuhan ini masih jauh daripada potensi sebenar yang boleh dicapai. Covid-19 telah menjejaskan potensi pertumbuhan pendapatan isi rumah, di mana pendapatan purata dan penengah berada di sekitar 11.1% dan 12.6% di bawah potensi sebenar yang sepatutnya dicapai tanpa krisis tersebut (Rajah 1).

Kemerosotan pendapatan isi rumah turut memberi kesan kepada pendapatan boleh guna isi rumah. Pendapatan boleh guna merujuk kepada jumlah pendapatan selepas ditolak potongan-potongan wajib, antaranya seperti cukai, zakat, sumbangan kepada skim perlindungan sosial, serta terimaan pindahan semasa dalam bentuk mata benda (in-kind). Maklumat mengenai pendapatan boleh guna adalah penting kerana ia mencerminkan kemampuan sebenar sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan perbelanjaan bulanan dan harian, serta keupayaan mereka untuk menabung dan merancang kewangan jangka panjang. Covid-19 turut memberi kesan yang signifikan terhadap kemerosotan pendapatan boleh guna isi rumah, dengan kadar pertumbuhan purata dan penengah pada tahun 2019 hingga 2022 hanya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.1% dan 0.3%. Malah, angka ini adalah jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan pada tahun 2012 hingga 2019, iaitu masing-masing sebanyak 4.6% dan 4.8% (Rajah 2). Akibatnya, pertumbuhan perlahan pendapatan isi rumah dan pendapatan boleh guna ini menjadi faktor kepada peningkatan tekanan kewangan, di mana isi rumah berdepan dengan kesukaran untuk memenuhi perbelanjaan keperluan asas, menabung, dan mengekalkan kesejahteraan ekonomi. Ini juga memburukkan lagi ketidakstabilan kewangan terutama bagi golongan berpendapatan rendah, sekaligus mengurangkan daya tahan mereka terhadap kejutan ekonomi.

Sumber Pendapatan Isi Rumah

Rajah 3 menunjukkan peratusan sumber pendapatan isi rumah bagi ketua isi rumah dari tahun 2009 hingga 2022. Sepanjang tempoh ini, pekerjaan bergaji adalah kekal sebagai sumber pendapatan utama, walaupun trend peratusan menunjukkan penurunan. Pendapatan daripada bekerja sendiri menunjukkan trend yang agak stabil, iaitu sebanyak 14.4% pada 2009 dan 15.2% pada 2022. Pendapatan daripada hartanah dan pelaburan menunjukkan variasi, di mana ia meningkat daripada 11.1% pada 2009 kepada 12.3% pada 2022. Pindahan semasa pula meningkat secara beransur-ansur, bermula daripada 6.2% pada tahun 2009 kepada 9.7% pada 2022.

Rajah 4 menunjukkan komposisi pendapatan daripada pemindahan semasa bagi tahun 2016 hingga 2022. Bahagian pendapatan daripada kiriman wang kekal agak stabil, sekitar 48.4% hingga 49.0%. Sumbangan pencen meningkat daripada 29.0% pada 2016 kepada 35.9% pada 2019, tetapi menurun semula kepada 29.1% pada 2022. Bantuan kerajaan menurun sedikit daripada 18.3% pada 2016 kepada 15.4% pada 2022, manakala sumber pendapatan lain masih rendah namun stabil, sekitar 3.3% hingga 6.5%.

Walau bagaimanapun, berdasarkan takrifan oleh Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) bagi kategori pindahan semasa, pendapatan daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah bukan sebahagian daripada pendapatan boleh guna.

Walaupun bantuan kerajaan meningkat sedikit sekitar 2% pada 2022 berbanding 2019, pendapatan daripada pemindahan semasa bagi isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 meningkat dengan ketara daripada 38.1% pada 2019 kepada 49.2% pada 2022. Peningkatan ini menunjukkan pergantungan yang tinggi terhadap pemindahan semasa bagi tempoh 2019 hingga 2022. Selain itu, pindahan semasa juga signifikan bagi isi rumah dengan pendapatan antara RM2,000 dan RM3,999 (27.9%) dan antara RM4,000 dan RM5,999 (16.9%). Sebaliknya, peratusan pemindahan semasa yang diterima menurun dalam kumpulan pendapatan yang lebih tinggi, menunjukkan kurangnya pergantungan terhadap pemindahan ini dalam kalangan kumpulan berpendapatan tinggi, mencerminkan ketahanan kewangan yang lebih kukuh dan kurangnya pergantungan terhadap bantuan ini.

Ketidakseimbangan Antara Kadar Pertumbuhan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah

Kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lebih perlahan pada 2022, ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup telah memberikan tekanan kepada isi rumah. Apabila kadar pertumbuhan pendapatan tidak seiring dengan peningkatan harga barangan, isi rumah berpendapatan rendah terpaksa memperuntukkan sebahagian besar pendapatan mereka untuk menampung keperluan harian, sekali gus mengurangkan keupayaan mereka untuk menabung atau berbelanja bagi keperluan lain. Situasi ini memberi kesan kepada kemampuan isi rumah terhadap simpanan, pelaburan, atau perbelanjaan lain yang lebih produktif, sekaligus meningkatkan risiko kewangan dalam jangka panjang.

Perbelanjaan isi rumah makin meningkat

Antara tahun 1993 hingga 2022, perbelanjaan nominal isi rumah meningkat sebanyak 4.4 kali ganda, daripada RM1,160 kepada RM5,150 (Rajah 5). Berdasarkan tahun 1993 sebagai tahun asas, Indeks Harga Pengguna (IHP) didapati telah meningkat secara signifikan kepada 189.2 pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, dalam tempoh pasca-pandemik, ia telah menyusut kepada 179.0. Walaupun kadar inflasi secara keseluruhan telah menurun pada tahun 2022, perbelanjaan isi rumah secara umumnya tetap meningkat. Trend ini mencerminkan perubahan perbelanjaan dan gaya hidup masyarakat, seiring dengan peningkatan pendapatan isi rumah.

Peratusan perbelanjaan isi rumah ke atas pendapatan purata dan median didapati semakin meningkat iaitu daripada 54.4% dan 63.3% pada tahun 2009 kepada 77.6% dan 67.6% menjelang akhir tahun 2022 (Rajah 6). Trend ini mungkin membawa implikasi jangka panjang, kerana keupayaan isi rumah untuk meningkatkan simpanan dan mengumpul kekayaan akan terjejas apabila sebahagian besar pendapatan mereka terus diperuntukkan kepada perbelanjaan bulanan. Simpanan dan pengumpulan kekayaan adalah penting bagi kestabilan kewangan jangka panjang. Tambahan pula, sebahagian besar rakyat tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi³.

Semasa tempoh pra-pandemik (2016/2019), kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) di kalangan isi rumah berpendapatan rendah (30% terbawah) sebenarnya lebih tinggi berbanding isi rumah berpendapatan sederhana (Rajah 7). Sepanjang tempoh tersebut, perbelanjaan isi rumah pada desil 1 (D1) telah meningkat sebanyak 4.5% berbanding isi rumah pada desil 4 (D4) yang meningkat, sebanyak 3.3%. Bagi kategori isi rumah desil 5 (D5) dan ke atas, kadar pertumbuhan perbelanjaan mencatatkan peningkatan, dengan isi rumah 10% teratas (D10) mencatatkan CAGR sebanyak 6.5%.

Sebaliknya, tempoh pandemik (2019/2022) menunjukkan trend yang berbeza. Isi rumah pada desil terendah (D1) masih mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 5.9%. Namun, kadar pertumbuhan perbelanjaan isi rumah kemudian berkurang secara beransur-ansur dengan penurunan mendadak (sharp decline) pada isi rumah D7 hingga D10. Situasi sebegini boleh dikaitkan dengan peningkatan kos keperluan asas seperti makanan dan utiliti, serta barangan yang sebelum ini dikategorikan sebagai bukan keperluan asas seperti komputer, yang menjadi keperluan dasar bekerja dari rumah (BDR) dan pembelajaran atas talian. Sebaliknya, perbelanjaan di kalangan isi rumah berpendapatan tinggi (20% isi rumah teratas) berkembang pada kadar terendah, dengan D9 mencatatkan CAGR sebanyak 2.4% manakala isi rumah D10 mencatatkan CAGR sebanyak 1.5%. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan dalam perbelanjaan mewah dan sosial seperti pelancongan yang boleh menyumbang kepada kadar pertumbuhan peratusan yang lebih rendah di kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.

Perubahan dalam corak perbelanjaan isi rumah

Isi rumah di Malaysia telah melalui beberapa perubahan dalam corak perbelanjaan mereka dalam dekad terakhir ini. Secara umum, isi rumah di negara ini memperuntukkan sebahagian besar daripada perbelanjaan bulanan mereka kepada tiga kategori keperluan asas: perumahan dan utiliti, makanan (termasuk makanan di rumah dan luar rumah), serta pengangkutan (Rajah 8). Pada tahun 1990-an hingga awal 2000-an, isi rumah membelanjakan bahagian terbesar perbelanjaan bulanan mereka untuk makanan di rumah, sebanyak 22%-24%. Namun, mulai tahun 2004, perbelanjaan untuk perumahan dan utiliti telah mengatasi perbelanjaan makanan di rumah dan terus menjadi kategori terbesar dalam perbelanjaan isi rumah. Kini, perbelanjaan perumahan dan utiliti merangkumi 23% daripada perbelanjaan bulanan isi rumah.

Satu trend menarik dalam corak perbelanjaan dalam kalangan isi rumah Malaysia adalah perubahan yang ketara dalam pembahagiaan perbelanjaan antara makanan di rumah dan di luar rumah. Pada tahun 2022, perbelanjaan untuk makanan di luar rumah telah hampir menyamai perbelanjaan makanan di rumah. Peratusan perbelanjaan makanan di rumah menurun sebanyak 7.5 mata peratus kepada 16.3%, manakala bahagian makanan di luar rumah meningkat kepada 15.3% pada tahun yang sama. Perbelanjaan pengangkutan, yang dahulunya merupakan salah satu komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah telah menurun daripada 14.5% pada tahun 1993 kepada 11.3% pada tahun 2022. Manakala, perbelanjaan komunikasi menunjukkan pertumbuhan paling ketara, meningkat sebanyak 4.5 mata peratus kepada 6.6% pada tahun 2022. Selain itu, isi rumah juga didapati meningkatkan perbelanjaan untuk kesihatan di mana peratus perbelanjaan meningkat kepada 2.8% pada tahun 2022.

Trend-trend ini menunjukkan kepelbagaian dalam corak perbelanjaan isi rumah seiring dengan peningkatan pendapatan serta perubahan dalam gaya hidup dan keperluan. Misalnya, trend perbelanjaan makanan menunjukkan perubahan dalam gaya hidup apabila lebih ramai isi rumah memilih untuk makan di luar atau menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan. Selain itu, peningkatan perbelanjaan komunikasi, yang kini menjadi satu keperluan turut dipengaruhi oleh penggunaan teknologi digital dalam kehidupan harian termasuk pembelajaran dalam talian dan kerja dari rumah. Sementara itu, peningkatan dalam perbelanjaan kesihatan mencerminkan peningkatan kesedaran yang lebih tinggi terhadap aspek penjagaan kesihatan, terutamanya selepas tempoh pandemik.

Kesimpulan

Artikel ini adalah sebahagian daripada analisis yang lebih mendalam daripada dua bab terawal dalam laporan terkini oleh KRI bertajuk The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022. Laporan ini menyelami dinamik dan cabaran mengenai pendapatan dan perbelanjaan yang dihadapi oleh isi rumah di Malaysia. Penemuan kajian ini menunjukkan bahawa seiring dengan peningkatan pendapatan, didapati perbelanjaan isi rumah turut mencatatkan peningkatan. Jumlah perbelanjaan isi rumah kini merupakan bahagian terbesar daripada pendapatan iaitu melebihi 75%. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan isi rumah bagi tempoh pasca pandemik 2019-2022 adalah lebih perlahan. Trend ini membimbangkan kerana perbelanjaan isi rumah terus meningkat namun tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan, sekaligus akan memberi kesan terhadap pendapatan boleh guna terutamanya untuk tujuan simpanan bagi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Malah, penguncupan terhadap pendapatan boleh guna ini bukan sahaja memberi kesan kepada simpanan isi rumah, tetapi juga merencat usaha pengumpulan kekayaan mereka. Lebih membimbangkan, simpanan KWSP yang dilonggarkan kebenaran untuk pengeluaran pada sepanjang tempoh pandemik bagi meringankan bebanan kewangan isi rumah telah menyebabkan simpanan persaraan merosot dengan mendadak, menjadikan sebahagian besar rakyat tidak bersedia untuk menghadapi persaraan.

Tambahan lagi, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS), jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat 0.7 tahun berbanding sedekad yang lalu, kepada 75.2 tahun berbanding 74.5 tahun di mana jangka hayat wanita adalah 77.5 tahun dan lelaki 72.2 tahun. Walaupun peningkatan jangka hayat ini merupakan perkembangan positif dari segi peningkatan taraf kesihatan rakyat, namun ia membawa cabaran baharu iaitu rakyat Malaysia hidup lebih lama, namun dengan simpanan persaraan yang tidak mencukupi. Ini menimbulkan persoalan penting tentang bagaimana mereka akan menguruskan perbelanjaan mereka pada masa hadapan jika mereka tidak dapat menabung dengan secukupnya mulai dari sekarang?. Langkah segera dan proaktif perlu diambil untuk menangani isu kritikal mengenai pertumbuhan pendapatan yang perlahan serta simpanan yang semakin merosot dalam kalangan isi rumah di Malaysia, terutamanya dalam menghadapi cabaran kewangan jangka panjang.

Read Full Publication
featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
  • DOS. 2011. "Report on Household Expenditure Survey 2009/10." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2013. "Household Income and Basic Amenities Survey Report 2012." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2015. "Report on Household Expenditure Survey 2014." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2017a. "Household Income and Basic Amenities Survey Report 2016." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2017b. "Report on Household Expenditure Survey 2016." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2020. "Household Expenditure Survey Report 2019." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2023a. "Household Expenditure Survey Report Malaysia 2022." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2023b. "Household Income and Basic Amenities Survey Report 2022." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia.
  • ---. 2024. "Abridged Life Tables, Malaysia." Putrajaya: Department of Statistics Malaysia. Khazanah Research Institute.
  • Khazanah Research Institute. 2024. Households and the Pandemic 2019-2022: The State of Households 2024. 2024. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.
  • Sinar Harian. 2021. "Rakyat Malaysia Tak Mampu Bersara." Sinar Harian, 2021. https://premium.sinarharian.com.my/article/153558/sinar360/multimedia/rakyat-malaysia-tak-mampu-bersara.
  • World Bank. 2022. "Global Economic Prospects (January 2022)." A World Bank Group Flagship Report. Washington, DC.: World Bank Group.
  • Photography Credit

    Related to this Publication

    No results found for this selection
    You can  try another search to see more

    Want more stories like these in your inbox?

    Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

    Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

    Oops! Something went wrong while submitting the form.
    Follow Us On Our Socials