
Pengenalan
“Semakin tinggi kelayakan akademik, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik“ merupakan kenyataan biasa yang didoktrinkan kepada golongan belia apabila membincangkan tentang isu prospek pekerjaan.
Views adalah rencana yang diterbitkan bagi menggalakkan perbincangan dan pertukaran pandangan tentang isu-isu semasa. Ia adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi KRI.
Rencana ini disediakan oleh Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim dan Umi Maisarah binti Kamis, penyelidik dan pelatih di Khazanah Research Institute (KRI). Penulis berterima kasih di atas komen daripada Hawati Abdul Hamid dan Puteri Marjan Megat Muzaffar. Rencana ini juga mendapat manfaat daripada penyelidik KRI semasa sesi perbincangan mingguan pada 13 Februari 2023.
Pendidikan juga secara amnya difahami sebagai tunjang kepada peningkatan mobiliti sosial. Malah, tanggapan ini juga telah ditekankan oleh Teori Modal Insan (Human Capital Theory), di mana keberhasilan (outcome) dalam pasaran buruh bergantung kepada keupayaan modal insan individu. Becker (2002) turut turut mengenalpasti pulangan terhadap pendidikan tinggi yang lebih baik kepada tenaga kerja di Amerika Syarikat (US), iaitu secara puratanya antara 10 hingga 12 % setiap tahun.
Kajian terkini berdasarkan analisis meta lebih daripada 1,000 kajian lepas dari lebih 100 buah negara menunjukkan penemuan yang konsisten, dengan purata pulangan terhadap pendidikan tinggi ke atas pendapatan tenaga kerja sebanyak 10 hingga 15 %.
Bagaimanapun, dalam konteks negara kita, tahap gaji di Malaysia secara umumnya tidak tumbuh selari dengan keperluan ekonomi pada hari ini. Laporan Survei Gaji & Upah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median gaji bagi pekerja berkelulusan tertiari pada tahun 2010 adalah sebanyak RM2,550, dan meningkat kepada RM3,901 pada tahun 2019. Kadar pertumbuhan purata tahunan (CAGR) sebanyak 4.8%, ini adalah lebih rendah berbanding pekerja berkelulusan pendidikan menengah (5.1%) dan pendidikan rendah (6.4%), mahupun pekerja yang tidak mempunyai sebarang kelulusan pendidikan (9.8%).
Analisis oleh KRI menggunakan data yang sama mendapati pertumbuhan gaji dan upah umumnya bercorak menekan dan regresif sekiranya tiada campur tangan kerajaan seperti perlaksanaan dasar gaji minimum. Purata gaji dan upah tahunan hanya meningkat sebanyak RM56 dalam nilai sebenar untuk 50 % pekerja terbawah—ini jelas menunjukkan ketidakberdayaan pertumbuhan gaji dan upah di Malaysia. Selain itu, kajian KRI menggunakan data Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari tahun 2010 hingga 2020 secara konsisten mendapati, sekurang-kurangnya 70 % graduan memperoleh gaji di bawah RM2,000.
Walaupun pendidikan tinggi umumnya dipercayai menyumbang kepada pulangan pendapatan yang lebih tinggi, realiti bagi ramai graduan di Malaysia adalah gaji yang rendah dan peluang kemajuan kerjaya yang terhad. Mereka yang berkelayakan pascasiswazah atau ijazah sarjana muda khususnya terkesan/terjejas dan menghadapi isu ini. Artikel ini akan membincangkan salah tanggap dan peluang pasaran buruh untuk graduan PhD.
PhD: Antara harapan dan kenyataan
Sebuah PhD (Doktor Falsafah - Doctor of Philosophy) adalah ijazah akademik tertinggi yang ditawarkan di hampir semua bidang pengajian yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi. Istilah "falsafah" merujuk kepada makna asal dalam bahasa Greek, yang bermaksud "peminat kebijaksanaan".
Kini, PhD dianugerahkan kepada individu yang telah menyelesaikan penyelidikan asli dalam bidangnya yang diterjemahkan dalam bentuk tesis atau disertasi. Ia adalah sebuah ijazah terminal (terminal degree), bermaksud ia adalah ijazah akademik yang tertinggi yang boleh diperolehi oleh seseorang. Mereka juga dijangka mempunyai kemahiran pemikiran yang kritis, keupayaan menganalisis masalah yang kompleks, dan kapasiti untuk melakukan penyelidikan. PhD pertama dianugerahkan di dunia adalah pada abad ke-12, dari Universiti Bologna di Itali dalam bidang teologi, undang-undang, dan perubatan. Ia hanya diperluaskan ke bidang-bidang lain seperti kemanusiaan dan sains pada abad ke-19. Di Amerika Syarikat, ijazah PhD dianugerahkan pada tahun 1861 oleh Universiti Yale.
Terdapat pelbagai sebab mengapa graduan memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD. Antara sebab utama yang biasa didengari termasuklah keinginan untuk mendalami kepakaran di dalam bidang yang diceburi. Seterusnya, pelanjutan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi berupaya mendorong kemajuan kerjaya. Kelayakan PhD boleh membuka lebih banyak peluang kerjaya terutamanya dalam bidang akademik, penyelidikan dan juga bidang berkemahiran tinggi yang lain. Malah, PhD juga memberi ganjaran pengalaman berharga kepada pelajar untuk menambah baik serta meningkatkan kemahiran-kemahiran yang penting seperti kemahiran berfikiran secara kritis, penyelesaian masalah dan pengurusan projek kajian.
Namun, rencana dan siaran media seringkali membincangkan perihal kebolehpasaran graduan PhD di Malaysia yang mencerminkan ketidakmampuan pasaran pekerjaan untuk menyerap lulusan PhD dan menawarkan kerjaya yang sepadan dengan kelayakan serta perlunya graduan PhD untuk keluar dari perangkap identiti melalui kemahiran yang telah diasah sepanjang tiga hingga empat tahun pengajian. Oleh itu, adalah penting untuk meneliti keberhasilan graduan PhD dalam pasaran pekerjaan, seterusnya menangani salah tanggap dan kekeliruan mengenai nilai PhD, serta memahami peluang yang tersedia untuk mereka.
Sepintas lalu: Statistik dan Keberhasilan Graduan PhD serta cabarannya
Kebanyakan kajian lepas telah membuktikan bahawa keberhasilan pasaran buruh meningkat seiring dengan tahap pendidikan individu. Bahagian ini menjelaskan situasi pasaran buruh berkelulusan PhD, dalam konteks graduan baharu berumur 35 tahun dan ke bawah. Ia bermula dengan gambaran keseluruhan keluaran graduan, status pekerjaan dan kelayakan, seterusnya cabaran bidang penyelidikan di Malaysia.
Keluaran dan keberhasilan graduan PhD di Malaysia
Keluaran graduan belia PhD dari institusi pendidikan tinggi dalam negara meningkat tiga kali ganda dalam tempoh sedekad, dari kira-kira 0.6% (1,247 graduan) pada tahun 2010 kepada 1.4% (4,560 graduan) pada tahun 2020. Peningkatan ini juga lebih tinggi berbanding keseluruhan keluaran graduan pada kedua-dua tahun tersebut. Sementara itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 mensasarkan output sebanyak 60,000 graduan PhD menjelang tahun 2023. Namun, Kajian Pengesanan Graduan KPT mendapati nilai kumulatif keluaran graduan berkelulusan PhD dalam negara dari tahun 2015 sehingga 2021 adalah sebanyak 17,379 orang—suatu pencapaian yang masih jauh dari sasaran asal Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025.
Di samping itu, terdapat peningkatan bilangan graduan PhD dalam kalangan graduan berumur 35 tahun ke bawah (46 % pada 2020 berbanding 34 % pada 2010) dan majoritinya (65 %) adalah perempuan. Umur median semasa graduasi yang direkod adalah di antara 30 hingga 35 tahun.
Kadar pengangguran graduan belia PhD telah meningkat daripada kurang 7 % pada tahun 2010 kepada lebih 16 % pada tahun 2020, walaupun telah menunjukkan tren yang menurun sejak tahun 2018. Dari segi bidang pengajian, peratus pengangguran tertinggi pada tahun 2020 adalah dari bidang (i) kejuruteraan, pembuatan & pembinaan (35.6%) dan (ii) sains sosial, perniagaan & undang-undang (25.7%). Malangnya, berbanding sedekad yang lepas, jumlah graduan PhD yang menganggur semakin meningkat dari kedua-dua bidang ini. Penurunan pengangguran pula dicatatkan bagi bidang sains, matematik & komputer, dari 48 % (2010) kepada 20 % (2020).
Malah, majoriti graduan PhD berada dalam fasa awal kerjaya, di mana mereka baru berada dalam pekerjaan pertama dan kedua, serta mempunyai kadar kebolehpasaran yang lebih rendah berbanding kohort yang lebih berumur.
Umumnya, graduan PhD bekerja dalam pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka (80 %). Walaupun peratusan ini agak tinggi, namun ia menunjukkan penurunan kecil dari tahun ke tahun. Ini menggambarkan semakin ramai graduan muda berkelayakan PhD terdedah kepada isu ketidakpadanan pekerjaan. Kadar pengangguran yang semakin meningkat dan terdedah kepada prospek pekerjaan yang tidak berpadanan dengan kelayakan mungkin menyebabkan semakin ramai graduan muda PhD memilih untuk bekerja sendiri.
Walaupun secara teorinya kelayakan yang lebih tinggi menawarkan pendapatan yang lebih tinggi, data menunjukkan terdapat peningkatan dalam kalangan graduan yang menerima pendapatan kurang RM3,000 berbanding sedekad yang lalu (dari hanya 8.1% pada 2010 kepada 18.4% pada 2020). Isu gaji graduan ini merupakan isu struktural yang memerlukan perhatian khusus oleh pembuat dasar. Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa separuh graduan PhD mempunyai keinginan untuk menukar pekerjaan mereka, selain status pekerjaan yang tidak stabil dan mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.
Cabaran dan Salah Tanggap Graduan PhD – Kebenaran yang Pahit!
Isu pengangguran belia bukanlah satu isu baharu. Bagi graduan PhD, sasaran profesion utama selepas menamatkan pengajian adalah berkhidmat sebagai pensyarah di institusi-institusi pendidikan tinggi. PhD merupakan satu kelayakan akademik tertinggi dan tidak dinafikan kemahiran dan kepakaran yang diperolehi melaluinya sangat berguna dalam bidang akademik. Namun, realitinya, bilangan jawatan akademik yang tersedia di Malaysia adalah terhad dan sangat kompetitif, terutamanya di universiti awam. Ini bermakna persaingan untuk jawatan ini boleh menjadi sengit, dan ramai graduan PhD mungkin mengalami kesulitan untuk mencari pekerjaan dalam bidang akademik.
Merujuk kepada laporan oleh Akademi Sains Malaysia seperti yang dibincangkan sebelumnya, memandangkan fokus kajian di Malaysia banyak tertumpu kepada kajian asas dan gunaan, ini menyebabkan kurang penghasilan produk inovasi yang boleh dipasarkan. Malah, perusahaan di Malaysia yang kebanyakannya merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang lebih tertumpu kepada kemahiran rendah dan separa rendah, juga mengehadkan budaya R&D serta mungkin tidak mempunyai kefahaman yang betul mengenai nilai yang boleh ditawarkan oleh graduan PhD itu sendiri.
Natijahnya, agak sukar untuk graduan PhD mendapatkan pekerjaan yang setimpal, lantas terpaksa bersaing untuk menceburi sektor akademik. Malah, kesukaran perpindahan kemahiran (transferable skills) juga merupakan salah satu isu, memandangkan pengajian PhD yang begitu spesifik terhadap sesuatu bidang dan kemahiran, membuatkan mereka sukar untuk bersaing dalam industri.
Sebab mengapa graduan PhD menghadapi keberhasilan pasaran buruh tidak seperti diingini
Terdapat dua sebab utama graduan PhD di Malaysia menghadapi situasi pasaran buruh tidak seperti yang diingini. Pertama, sebilangan graduan PhD tidak mempunyai perancangan kerjaya dan masa hadapan yang jelas dan kekurangan maklumat mengenai pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan. Manakala sebahagian graduan mempunyai aspirasi dan jangkaan yang tidak realistik dan terlalu percaya bahawa kelayakan tinggi memberi lebih banyak kelebihan dalam pasaran buruh, seperti gaji yang tinggi walaupun kekurangan pengalaman bekerja dan kemahiran. Namun begitu, realitinya tidak seindah yang disangka: biarpun tidak boleh disangkal bahawa pendidikan adalah penting, tetapi tanpa pengalaman kerja, graduan kekal sama seperti graduan yang lain.
Kedua, persepsi negatif majikan terhadap graduan PhD. Majikan lebih terdorong untuk memilih calon dengan kelayakan yang lebih rendah kerana mereka lebih mudah untuk mengadaptasi persekitaran pekerjaan dan gaji yang ditawarkan juga adalah lebih rendah. Bukan itu sahaja, majikan kurang memilih graduan PhD kerana mereka berpendapat bahawa graduan PhD kurang pengalaman bekerja dan tidak sesuai bekerja di dalam bidang yang bukan berkaitan akademik.
Namun, kelayakan PhD adalah berguna kepada majikan dalam beberapa sudut, kerana ia adalah bukti kepakaran dan ilmu dalam bidang tertentu. Seorang graduan PhD kebiasaannya mengambil masa beberapa tahun untuk menjalankan kajian dan sepanjang proses tersebut, mereka menimba kefahaman yang mendalam terhadap bidang kajian tersebut. PhD memerlukan seseorang individu untuk menjalankan penyelidikan asli, menganalisa data dan menyelesaikan masalah yang kompleks. Kemahiran ini boleh dikembangkan dalam pelbagai bidang dan menjadi berharga kepada majikan yang mencari pekerja berfikiran kritis dan mampu membuat keputusan terbaik. PhD juga memerlukan seseorang individu untuk berfikir secara kreatif dan mampu menghasilkan idea baharu, yang boleh memberi manfaat kepada majikan untuk memperolehi perspektif dan inovasi yang baharu kepada perniagaan mereka.
Pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk mobiliti sosial, tetapi kekurangan sistem maklumat pasaran buruh yang efisien di Malaysia menyebabkan graduan tidak mempunyai hala tuju kerjaya yang jelas malah mempunyai jangkaan yang tidak realistik. Oleh itu, Malaysia perlu menambah baik sistem maklumat pasaran buruh. Salah satu sistem maklumat pasaran buruh yang penting di Malaysia adalah portal MYFutureJobs yang menawarkan khidmat kaunseling kerjaya, peluang untuk bekerja sendiri, program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, panduan gaji, perkembangan kerjaya dan khidmat lain kepada pencari kerja, menjadikan proses mencari kerja lebih efisien. Cabarannya adalah memastikan capaiannya yang menyeluruh, terutamanya kepada segment yang begitu memerlukan, termasuk golongan rentan dan dalam kalangan mereka di kawasan luar bandar.
Seterusnya, graduan PhD wajar diberi peluang untuk menimba pengalaman industri serta membuktikan bakat serta kemahiran yang mereka bina di universiti. Graduan pula perlu membuktikan kepada majikan kebolehan mereka menyelesaikan kerja dengan berkualiti, bukan sekadar melepaskan batok di tangga, ataupun, lebih besar pasak daripada tiang. Anjakan sedemikan mampu menangkis tanggapan negatif majikan bahawa graduan memilih kerja, mengharapkan gaji yang tinggi serta tidak mempunyai kemahiran yang diharapkan.
Selain itu, seseorang perlu berhati-hati dalam menggariskan matlamat, minat dan mempertimbangkan keadaan mereka sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan PhD. Dinasihatkan kepada pelajar untuk berbincang dengan penasihat akademik, pelajar-pelajar lain dan profesional yang telah melalui proses pendidikan PhD mereka agar pelajar dapat memahami dengan lebih baik jangkaan yang perlu mereka letakkan. Akhir sekali, amat penting juga untuk pelajar mempertimbangkan pelbagai aspek, terutamanya matlamat kerjaya mereka sebelum membuat keputusan menyambung ke peringkat PhD, bukan sekadar ikut-ikutan dan sebagai salah satu jalan untuk keluar dari pengangguran.