Views
Dec 23, 2020
6
Minutes read

Pastikan Keterangkuman Kesihatan dalam Dasar Pembangunan

Author
Jarud Romadan Khalidi
Research Associate
Jarud Romadan Khalidi
Research Associate
Co - Author
No items found.
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview
Tahap kesihatan rakyat Malaysia telah bertambah baik tetapi cabaran-cabaran kesihatan awam termasuk ketidaksaksamaan kesihatan menunjukkan kelompongan dalam dasar kesihatan negara. Untuk memastikan penambaikan kesihatan yang berterusan dan inklusif, pendekatan ‘whole of government’ harus diambil bagi memastikan faktor-faktor sosial yang mempengaruhi kesihatan ditangani.
pastikan-keterangkuman-kesihatan-dalam-dasar-pembangunan
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Pengenalan

Kesihatan merupakan komponen paling penting dalam kehidupan setiap insan. Tanpa hidup yang sihat, banyak matlamat tidak boleh dicapai. Hanya dengan kesihatan yang baik setiap rakyat boleh menjalani hidup sepenuhnya dan menjadi masyarakat produktif yang membangunkan negara.

Menyedari kepentingan kesihatan, dasar kesihatan telah diutamakan dalam semua rancangan pembangunan Malaysia. Jika dibandingkan dengan dasar-dasar lain yang ada pasang surutnya, kesihatan adalah bidang yang tidak pernah dipinggirkan kerajaan.

Peluasan capaian penjagaan kesihatan

Sebelum merdeka, sistem perkhidmatan kesihatan awam banyak tertumpu di kawasan yang memberi keuntungan ekonomi kepada pemerintah British seperti di kawasan perlombongan bijih timah, dan pusat perniagaan serta pentadbiran bagi memenuhi keperluan kesihatan tenaga kerja dan masyarakat elit setempat. Hasilnya, pembinaan hospital awam tertumpu di kawasan bandar sedangkan majoriti besar rakyat ketika itu berada di kawasan luar bandar.

Menyedari kekangan rakyat untuk menerima penjagaan kesihatan, sebaik sahaja mencapai kemerdekaan kerajaan bertindak memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan lebih banyak pembangunan infrastruktur dilaksanakan di luar bandar bagi memastikan kesaksamaan kesihatan.

Pelaburan tinggi di buat dalam membina infrastruktur dan melatih tenaga kerja kesihatan yang berkemahiran. Jumlah hospital besar telah meningkat daripada 10 buah pada tahun 1957 kepada 154 buah pada tahun 2019. Dari segi tenaga kerja pula, bilangan doktor telah bertambah daripada 0.14 doktor bagi setiap seribu penduduk pada tahun 1960 kepada lebih kurang 1.54 doktor pada tahun 2015.

Secara keseluruhan, usaha kerajaan telah berjaya meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia. Dari segi jangka hayat, petunjuk utama apabila menilai tahap kesihatan sesebuah masyarakat, bayi lelaki dan perempuan yang lahir di Malaysia pada tahun 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, sedekad lebih panjang berbanding bayi yang lahir pada tahun 1970.

Cabaran baru kesihatan awam

Terdapat beberapa cabaran baru yang perlu ditangani dengan segera. Menurut laporan Khazanah Research Institute, Social Inequalities and Health in Malaysia, walaupun kini rakyat Malaysia hidup lebih panjang berbanding 50 tahun lalu, dianggarkan 10 tahun jangka hayat dilalui dalam keadaan tidak sihat. Penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, barah dan masalah kesihatan mental merupakan penyumbang utama kepada fenomena ini.

Masalah kesihatan tidak terhad dalam kalangan dewasa atau yang telah lanjut usia. Pada hari ini, kanak-kanak di Malaysia kekurangan tenaga, kekurangan vitamin dan mineral serta terlebih berat badan. Pada tahun 2019, satu daripada lima kanak-kanak 5 tahun ke bawah terlalu pendek untuk umur mereka atau terbantut. Manakala bagi kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun, satu daripada tiga didapati terlebih berat badan atau obes, lantas meletakkan kanak-kanak Malaysia antara tergemuk di Asia Tenggara.

Laporan tersebut juga menunjukkan jurang kesihatan yang ketara dalam kalangan rakyat Malaysia. Satu penemuan yang penting adalah status kesihatan seseorang berkait rapat dengan status sosioekonomi, di mana golongan berstatus sosioekonomi rendah cenderung hidup lebih singkat dan mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah.

Kadar penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah tertinggi dalam kalangan isi rumah 20% termiskin (B20), manakala kadarnya lebih rendah dalam kalangan isi rumah 20% terkaya (T20). Penyakit kencing manis dan tekanan darah adalah tertinggi dalam kalangan pekerja tanpa gaji atau suri rumah berbanding kumpulan pekerjaan lain. Sementara itu, negeri-negeri berpendapatan tinggi mencatatkan jangka hayat lebih panjang berbanding negeri-negeri berpendapatan rendah. Walaupun kedengaran aneh, tahap kesihatan kita kelihatan berkait rapat dengan di mana kita tinggal. Penemuan-penemuan ini menunjukkan bahawa merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan perlu ditekankan seiring usaha merapatkan jurang kekayaan.

Anjakan dasar kesihatan awam

Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan memuncak apabila dunia diserang wabak Covid-19. Kesan krisis ini tidak terbatas kepada kematian dan kesihatan, tetapi juga ekonomi. Pengajaran penting yang harus diambil ialah jangan sekali-kali mengabaikan kesihatan awam.

Krisis ini telah menzahirkan pelbagai kelompongan dalam sistem kesihatan Malaysia. Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah, sektor kesihatan awam negara menghadapi situasi kekurangan dana, penuh sesak, kekurangan tenaga kerja dengan pekerja yang menerima gaji yang tidak setimpal serta menanggung beban kerja yang berlebihan.

Perbelanjaan tambahan harus disalurkan untuk meningkatkan kapasiti klinik dan hospital, menambah peruntukan untuk perkhidmatan pencegahan bagi meningkatkan daya tahan rakyat dan membendung masalah kesihatan yang semakin berleluasa termasuk masalah mental serta malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Pendekatan ‘whole of government’ harus diambil dalam sebarang inisiatif berkaitan kesihatan. Kesihatan tidak ditentukan oleh akses kepada penjagaan kesihatan semata-mata tetapi juga berkait rapat dengan tahap pendapatan, keadaan rumah, jenis pekerjaan serta tingkah laku. Faktor-faktor ini adalah di luar kawalan Kementerian Kesihatan. Kesepaduan dasar kerajaan di pelbagai peringkat kementerian dan agensi adalah penting untuk merapatkan jurang kesihatan.

Rancangan Makanan Tambahan di bawah Kementerian Pendidikan merupakan satu contoh program yang dapat memberi manfaat menjangkau pendidikan dan kesihatan jika dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak. Program ini diperkenalkan pada tahun 1976 ketika kadar kemiskinan masih tinggi di negara ini, mensasarkan kanak-kanak daripada keluarga miskin dan bertujuan untuk mengatasi kekurangan tenaga dan kelaparan.

Namun program ini memerlukan pendekatan yang lebih universal dalam menangani cabaran baru malnutrisi dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak tidak kira miskin atau kaya. Banyak contoh di negara luar yang menjadikan program makanan sekolah lebih daripada sekadar “aktiviti makan”. Negara Jepun misalnya menggabungkan aktiviti makan dengan pendidikan berkaitan diet dan pemakanan sihat serta menerapkan nilai-nilai murni lain seperti kemahiran bersosial, kerjasama dan tanggungjawab. Hasilnya Jepun mengungguli carta petunjuk kesihatan antarabangsa dengan kadar kekurangan nutrisi kanak-kanak yang sangat rendah. Jepun juga antara negara yang menikmati jangka hayat terpanjang di dunia serta insiden obesiti yang rendah. Pendekatan universal yang mengintegrasikan pendidikan amalan pemakanan sihat tanpa membezakan latar belakang miskin-kaya pelajar adalah satu langkah yang lebih lestari dalam memastikan kesejahteraan semua kanak-kanak Malaysia.

Di samping manfaat kesihatan, pendidikan dan nation building, program tersebut juga berpotensi besar dalam memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat. Dengan dasar perolehan yang terancang, program ini membuka peluang unik untuk memajukan aktiviti pertanian setempat, pengeluaran makanan yang selamat dan melonjak pembangunan keusahawanan.

Untuk menzahirkan matlamat-matlamat program ini, anjakan perlu ada—daripada pendekatan sempit bahawa ianya sekadar program mengisi perut pelajar miskin, kepada kesedaran betapa besar potensinya dalam membina rakyat yang sihat dan kuat dalam jangka masa panjang serta memupuk pertumbuhan industri tempatan. Matlamat-matlamat ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat antara kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kesimpulan

Tahun 2021 hampir tiba dan Rancangan Malaysia Ke-12 akan mula mendasari pembangunan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang. Pendekatan pembangunan negara harus menjangkaui kemajuan ekonomi dan kekayaan material. Kesejahteraan dalam erti kata sebenar merangkumi kebebasan setiap insan menjalani hidup yang bermakna melebihi petunjuk material. Memastikan kesihatan fizikal dan mental yang baik bagi segenap lapisan masyarakat harus menjadi salah satu agenda berpanjangan pembangunan negara.

Read Full Publication
featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
["CEIC. n.d. Ceic Database.","Chee, Heng Leng et al. 2007. \"The Transformation of Health Care in Malaysia.\" In Health Care in Malaysia: The Dynamics of Provision, Financing and Access, edited by Heng Leng Chee, et al.","DOS. 2020. Abridged Life Tables, Malaysia, 2020. Putrajaya: Department of Statistics.","IPH. 2020. National Health and Morbidity Survey 2019: Non-Communicable Diseases: Risk Factors and Other Health Problems. Shah Alam: Institute for Public Health, Ministry of Health.","Jaafar S, Noh KM, Muttalib K, Othman NH, Healy J, Maskon K, et al. . 2013. Malaysia Health System Review. Vol.3 No.1. New Delhi: World Health Organization, Regional Office for the Western Pacific.","Noor Hisham Abdullah. 2019. \"We Are Currently Underfunded, Understaff, Underpaid, Overworked, Overstretched and with Overcrowded Patients.\" Facebook. Accessed 22 December. https://www.facebook.com/DGHisham/photos/we-are-currentlyunderfunded-understaff-underpaid-overworked-overstretched-andw/2608702769153595/.","Wan Manan Wan Muda et al. 2019. Addressing Malnutrition in Malaysia. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute."]
Photography Credit

Related to this Publication

No results found for this selection
You can  try another search to see more

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials