Views
Jul 19, 2021
6
Minutes read

Tangani Risiko Buta Huruf dengan Program Intensif 3M

Author
Hawati Abdul Hamid
Former Researcher
Hawati Abdul Hamid
Former Researcher
Co - Author
No items found.
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview
Secara amnya terdapat dua cabaran utama yang dihadapi pelajar-pelajar “generasi Covid-19” lantaran krisis semasa yang dihadapi negara. Pertamanya, kekangan yang dihadapi murid yang masih belajar, dan keduanya, cabaran memperoleh pekerjaan bagi mereka yang telah dan akan menamatkan pengajian. Satu isu yang membimbangkan ialah masalah buta huruf ataupun murid yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat umur yang sepatutnya. Penutupan pusat tadika dan prasekolah mengheret masalah ini ke sekolah apabila di peringkat tersebut murid sepatutnya dipersiapkan dengan kemahiran 3M sebelum melangkah ke darjah satu. Masalah ini berlanjutan apabila sekolah juga ditutup dan murid tidak dapat menyertai sesi PdPR dengan berkesan. Sistem naik darjah secara automatik boleh memburukkan lagi keadaan apabila mereka perlu melangkah ke tahap selanjutnya sebelum dapat menguasai kemahiran asas. Lebih malang jika mereka patah semangat dan hilang terus dari sekolah. Sementara itu, kadar pengangguran dalam kalangan graduan kekal tinggi akibat keadaan pasaran kerja yang lembab. Daripada sejumlah 300 ribu graduan lulusan 2020, 75 ribu atau 25% daripadanya dianggar menganggur, satu lonjakan daripada kadar pengangguran graduan lulusan 2019 yang mencatat kadar 12.5%. Kesan jangka panjang terhadap graduan generasi krisis sebenarnya lebih teruk berbanding graduan yang memasuki alam pekerjaan semasa ekonomi stabil. Antara kesan-kesan negatif tersebut termasuklah keberangkalian yang lebih tinggi untuk mereka menganggur lebih lama mahupun memulakan pekerjaan dalam pekerjaan bergaji rendah. Lantas ini mengakibatkan tahap gaji yang lebih rendah dalam jangka masa panjang serta kemajuan kerjaya yang lebih perlahan. Kerajaan boleh menangani sebahagian daripada kedua-dua cabaran yang disebutkan secara serentak dengan melancarkan program celik huruf secara intensif bagi murid-murid yang belum menguasai 3M dengan melibatkan graduan yang masih mencari pekerjaan. Matlamatnya: menggembleng bakat graduan muda bagi mengelakkan kesan buruk Covid-19 ke atas pendidikan anak-anak di bangku sekolah, sandaran masa depan negara.
tangani-risiko-buta-huruf-dengan-program-intensif-3m
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Kesan berpanjangan buta huruf

Satu isu yang membimbangkan ialah masalah buta huruf ataupun murid yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat umur yang sepatutnya. Penutupan pusat tadika dan prasekolah mengheret masalah ini ke sekolah apabila di peringkat tersebut murid sepatutnya dipersiapkan dengan kemahiran 3M sebelum melangkah ke darjah satu. Masalah ini berlanjutan apabila sekolah juga ditutup dan murid tidak dapat menyertai sesi PdPR dengan berkesan.

Masalah 3M sememangnya wujud sebelum Covid-19 dan penutupan sekolah yang berlarutan akan menjadikannya lebih serius. Pada tahun 2019 sahaja seramai 5,039 (1.2%) calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) belum mencapai tahap penguasaan minimum bagi semua pelajaran dan 123,032 (28.4%) bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Bagi lebih kurang 3,800 murid berkeperluan khas yang menduduki peperiksaan Peperiksaan Alternatif Sekolah Rendah (PASR) pula, sekitar 20.0% belum mahir membaca. Bagi kemahiran asas matematik serta sains pula, sekitar 8.0% pelajar tidak kompeten bagi setiap bidang.

Tinjauan tahun ini terhadap kira-kira 30 guru prasekolah dan tadika swasta di kawasan Lembah Klang mendedahkan hampir 70% murid bagi guru tersebut masih belum menguasai kemahiran 3M. Kebarangkalian murid-murid yang tertinggal dari awal ini untuk terus tersisih dalam arus pendidikan adalah sangat tinggi. Sistem naik darjah secara automatik boleh memburukkan lagi keadaan apabila mereka perlu melangkah ke tahap selanjutnya sebelum dapat menguasai kemahiran asas. Lebih malang jika mereka patah semangat dan hilang terus dari sekolah.

Menurut Institut Statistik UNESCO (UIS), jumlah kanak-kanak tidak boleh membaca di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 100 juta kepada 584 juta akibat penutupan sekolah kerana Covid-19. 29 juta daripada jumlah pertambahan tersebut adalah dari Asia Timur dan Asia Tenggara. Kenaikan ini dilihat akan melenyapkan hasil usaha dua dekad meningkatkan kualiti pendidikan.

Masalah pengangguran graduan

Sementara itu, kadar pengangguran dalam kalangan graduan kekal tinggi akibat keadaan pasaran kerja yang lembab. Daripada sejumlah 300 ribu graduan lulusan 2020, 75 ribu atau 25% daripadanya dianggar menganggur, satu lonjakan daripada kadar pengangguran graduan lulusan 2019 yang mencatat kadar 12.5%. Dalam kalangan lulusan bidang pendidikan, setakat Januari 2020 dianggarkan seramai 10 ribu sedang menganggur tanpa penempatan sekolah. Keputusan kerajaan pada Jun 2021 untuk mengambil guru baru gred DG41 seramai 18,702 untuk mengatasi isu kekurangan guru diharap sedikit sebanyak dapat meredakan masalah ini.

Kesan jangka panjang terhadap graduan generasi krisis sebenarnya lebih teruk berbanding graduan yang memasuki alam pekerjaan semasa ekonomi stabil. Kajian di luar negara ke atas graduan yang memasuki alam pekerjaan selepas Krisis Kewangan Global 2008-09 mendapati antara kesan-kesan negatif tersebut termasuklah keberangkalian yang lebih tinggi untuk mereka menganggur lebih lama mahupun memulakan pekerjaan dalam pekerjaan bergaji rendah. Lantas ini mengakibatkan tahap gaji yang lebih rendah dalam jangka masa panjang serta kemajuan kerjaya yang lebih perlahan.

Walaupun tidak ada kajian yang serupa di Malaysia, trend mobiliti sosial semasa agak jelas. Kajian Khazanah Research Institute yang membandingkan kedudukan sosial generasi yang memasuki pasaran buruh selepas krisis kewangan Asia 1997 dengan ibu bapa mereka yang hidup dalam era pertumbuhan ekonomi pesat sebelum krisis mendapati bahawa: walaupun generasi anak-anak tersebut mempunyai taraf hidup yang lebih baik, peningkatan mobiliti sosial mereka lebih perlahan kerana pertumbuhan ekonomi yang tidak memberangsangkan ditambah pula dengan pulangan pendidikan tinggi yang lebih rendah. Krisis yang disebabkan oleh wabak Covid-19 sekarang berkebarangkalian tinggi akan menjadikan prospek mobiliti sosial untuk generasi muda lebih mencabar.

Program intensif 3M

Masalah pendidikan akan semakin membarah jika tiada proaktif dirangka. Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempunyai peluang besar untuk menangani sebahagian daripada kedua-dua cabaran yang disebutkan secara serentak dengan melancarkan program celik huruf secara intensif bagi murid-murid yang belum menguasai 3M dengan melibatkan graduan yang masih mencari pekerjaan.

Sebagai permulaan, program ini boleh dilaksanakan untuk tempoh satu tahun di bawah pelan fasa pemulihan bagi menebus semula tempoh pembelajaran yang hilang akibat penutupan sekolah. Dicadangkan agar ianya dikendalikan di luar waktu persekolahan bagi membolehkan guru sekolah terus memberi fokus kepada kurikulum semasa dan mengelakkan beban tambahan. Banyak kajian mendapati bahawa tutorial harian, secara “one-to-one” atau dalam kumpulan kecil mampu meningkatkan prestasi akademik pelajaran yang ketinggalan.

Program ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan bagi graduan menganggur dan memastikan mereka aktif dalam pasaran buruh malah dapat mengelakkan kemahiran mereka daripada terhakis, mengembangkan kemahiran interpersonal serta meluaskan jaringan sosial. Inisiatif ini dilihat boleh mengatasi dua masalah sekaligus: (1) pembelajaran murid cicir dan (2) pengangguran graduan.

Memandangkan ramai graduan terserak di seluruh negara, program ini boleh dilaksanakan secara “in-situ” di setiap lokaliti. Ketidaksepadanan jumlah graduan dan murid di sesuatu lokaliti boleh diatasi dengan membuka peluang kepada lepasan sekolah mahupun tenaga kerja lain yang telah hilang pekerjaan. Tenaga guru sedia ada dan yang sudah bersara boleh digembleng secara bersepadu untuk melatih graduan tutor ini (“training for trainers”). Kos latihan boleh diminimakan dengan mengadakan latihan secara “online”, menggunakan sumber sedia ada yang terbukti berkesan seperti modul daripada Program Saringan, Literasi dan Numerasi (LINUS) atau Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN), ataupun modul yang dibangunkan universiti tempatan seperti Universiti Malaya dan badan bukan kerajaan seperti MyReaders.

Kesimpulan

Kerajaan mempunyai peluang besar dalam memenuhi tanggungjawab terhadap anak-anak dan menghalang tragedi “generasi yang hilang” kerana tercicir dalam pendidikan mahupun pekerjaan bahana Covid-19. Program intensif 3M ini mampu direalisasikan melalui kerjasama erat antara KPM dan KPT dan akan menjadi “strategi pasti menang” yang bermanfaat sekarang dan pada masa hadapan. Matlamatnya: menggembleng bakat graduan muda bagi mengelakkan kesan buruk Covid-19 ke atas pendidikan anak-anak di bangku sekolah, sandaran masa depan negara.

Read Full Publication
featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
["Ander, Roseanna, Jonathan Guryan, and Jens Ludwig. 2016. “Improving Academic Outcomes for Disadvantaged Students: Scaling up Individualized Tutorials.” Report Prepared for the Brookings Institute. Washington DC: Brookings Institute.","Choudhry, Misbah, Enrico Marelli, and Marcello Signorelli. 2010. “The Impact of Financial Crises on Youth Unemployment Rate.” Quaderni Del Dipartimento Di Economia, Finanza e Statistica 79. Università di Perugia, Dipartimento Economia:1–18.","Clarke, Stephen. 2019. “Growing Pains: The Impact of Leaving Education during a Recession on Earnings and Employment. May 2019.” Resolution Foundation.","Hawati Abdul Hamid et al. 2019. “A Rising Tide Lifts All Boats? Intergenerational Social Mobility in Malaysia.” 2019. http://www.krinstitute.org/Discussion_Papers-@-A_Rising_Tide_Lifts_All_Boats%5E_Intergenerational_Social_Mobility_in_Malaysia.aspx.","Junankar, P. N. 2014. “The Impact of the Global Financial Crisis on Youth Labour Markets.” IZA Discussion Paper.","MOE. 2019. “Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR 2019).” https://www.moe.gov.my/en/muat-turun/laporan-dan-statistik/lp/3056-pelaporanpentaksiran-sekolah-rendah-2019/file.","Nickow, Andre, Philip Oreopoulos, and Vincent Quan. 2020. “The Impressive Effects of Tutoring on Prek-12 Learning: A Systematic Review and Meta-Analysis of the Experimental Evidence.” National Bureau of Economic Research.","Sironi, Maria. 2018. “Economic Conditions of Young Adults before and after the Great Recession.” Journal of Family and Economic Issues 39 (1). Springer:103–16.","The Star. 2020. “Tough Times for Fresh Graduates | The Star.” 2020. https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2020/10/19/tough-times-for-freshgraduates.","UIS. 2021. “Pandemic-Related Disruptions to Schooling and Impacts on Learning Proficiency Indicators: A Focus on the Early Grades | Unesco IIEP Learning Portal.” UNESCO Institute for Statistics. https://learningportal.iiep.unesco.org/en/library/pandemic-relateddisruptions-to-schooling-and-impacts-on-learning-proficiency-indicators-a.","Utusan. 2021a. “70 peratus dikhuatiri jadi generasi buta huruf.” Utusan (blog). 2021. https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/06/70-peratus-dikhuatiri-jadigenerasi-buta-huruf/. 2021b. “Lambakan graduan pendidikan makin kritikal.” Utusan Digital (blog). 2021. https://www.utusan.com.my/nasional/2021/01/lambakan-graduan-pendidikanmakin-kritikal/. 2021c. “Pengambilan 18,702 guru secara one off bermula Julai.” Utusan Digital (blog). 2021. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/pengambilan-18702-guru-secaraone-off-bermula-julai/.","Whitehurst, Grover J., and Matthew M. Chingos. 2011. “Class Size: What Research Says and What It Means for State Policy.” Brookings Institution. ERIC."]
Photography Credit

Related to this Publication

No results found for this selection
You can  try another search to see more

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials