
Pengenalan
Berita mengenai kesesakan lalu lintas di Malaysia sering menjadi topik harian dalam kalangan rakyat, terutamanya warga Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Produktiviti rakyat wilayah ini dikatakan terbazir sebanyak RM308 sebulan kerana tersangkut dalam kesesakan lalu-lintas. Walaupun terdapat sentimen beban fiskal negara, pembinaan projek pengangkutan awam di bandar seperti sistem mass rapid transit (MRT) masih mempunyai peranan untuk menjana produktiviti kehidupan.
Rencana ini disediakan oleh Muhammad Nazhan Kamaruzuki dan Shukri Mohamed Khairi, penyelidik dan pelatih penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI). Penulis berterima kasih di atas komen daripada Dr Suraya Ismail dan Theebalakshmi Kunasekaran.
Pengangkutan awam melestarikan kehidupan bandar
Konurbasi Kuala Lumpur atau Lembah Klang merupakan wilayah bandar terbesar di Malaysia yang menempatkan lebih 9 juta penduduk Malaysia. Konurbasi ini merupakan sebuah bentuk perebakan bandar yang merangkumi sekurang-kurangnya tiga buah negeri di Malaysia terutamanya: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Selangor serta mempunyai sekurang-kurangnya 11 pihak berkuasa tempatan.
Konurbasi ini didorong oleh proses urbanisasi yang lazimnya membawa kebaikan kepada kehidupan masyarakat seperti peningkatan dari segi taraf ekonomi yang lebih baik. Sebagai contoh, nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita lebih tinggi di negeri berubanisasi tinggi seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Hal ini telah dan akan menarik ramai penduduk untuk bekerja dan menetap di Lembah Klang kerana akses kepada peluang pekerjaan dan fasiliti/perkhidmatan yang berbagai-bagai.
Namun, jumlah penduduk di Lembah Klang yang boleh dikatakan sudah terlalu ramai banyak mendatangkan keburukan berbanding dengan kebaikan. Kesan buruk ini termasuklah kesesakan jalan raya dan pencemaran alam disebabkan penggunaan kenderaan persendirian serta perebakan bandar itu sendiri. Ini lantas boleh menjejaskan kualiti kehidupan bandar atau secara teorinya merendahkan kadar utiliti penduduk/pekerja di bandar. Tetapi hal ini boleh diatasi dengan penyediaan infrastruktur yang secukupnya termasuklah sistem jaringan pengangkutan awam yang baik yang menampung jumlah penduduk yang ramai daripada hujung ke hujung dan di setiap pelosok Lembah Klang.
Oleh yang demikian, projek pengangkutan awam seperti sistem MRT boleh dianggap relevan dan diperlukan untuk menampung populasi yang sentiasa bertambah di Lembah Klang. Pada asasnya, projek ini merupakan komponen penting dalam ekosistem pengangkutan awam bandar yang boleh mengurangkan kesan penggunaan kereta persendirian. Seperti contoh, dengan adanya perkhidmatan MRT, penduduk tidak lagi perlu berulang alik dari tempat kediaman ke pusat bandar dengan kenderaan persendirian yang boleh memberi kesan bukan sahaja kesesakan tetapi juga kepada pencemaran udara dan kemalangan jalan raya.
Infrastruktur pengangkutan awam Lembah Klang melibatkan perancangan tempatan yang kompleks
Kerajaan Malaysia dilihat komited untuk meningkatkan produktiviti Lembah Klang melalui penyediaan pelbagai infrastruktur termasuklah jaringan pengangkutan awam. Ini terzahir apabila wilayah Lembah Klang diangkat sebagai wilayah penjanaan pertumbuhan ekonomi dan usaha untuk menambah baik jaringan pengangkutan awam seperti penambahbaikan sistem rel light rail transit (LRT) dan penyediaan sistem rel MRT yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan Program Transformasi Ekonomi.
Perancangan pengangkutan awam bandar sememangnya sesuatu yang kompleks dan melibatkan tadbir urus pelbagai agensi kerajaan sama ada persekutuan, negeri, dan tempatan. Dalam konteks Lembah Klang dan pembinaan sistem MRT (MRT I, MRT II dan MRT III), perancangan infrastruktur tersebut merentasi lapan pihak berkuasa tempatan. Hal ini memerlukan tatakelola terperinci bagi hal-hal berkaitan urusan tanah dan perancangan tempatan di luar bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Di samping itu, pengambilalihan tanah bagi pembinaan MRT tidak mudah kerana melibatkan banyak tanah persendirian dan merupakan kos yang sangat signifikan dalam projek ini. Lazimnya, proses dan kesan pengambilalihan tanah daripada individu tidak menyebelahi pemilik individu kerana berlakunya proses penempatan semula dari tanah asal mereka dan menjejaskan gaya hidup mereka yang baharu, serta nilai kompensasi yang diterima adalah rendah atau tidak mencukupi. Pada masa yang sama, pengambilalihan tanah juga terdedah kepada aktiviti spekulasi harga tanah sebelum dan selepas proses bermula, yang boleh melambungkan kos projek.
Walau apa pun cabaran di peringkat tempatan, setiap institusi dan pihak yang terlibat perlu pragmatik dalam usaha memantapkan sistem dan jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang. Ini tidaklah terhad kepada pembinaan sistem itu sendiri – seperti projek MRT – tetapi juga pembinaan infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki dan penyediaan laluan bas ke stesen tren.
Penggunaan pengangkutan awam yang rendah menyekat komitmen fiskal
Selain terdapat kegusaran berkenaan infrastruktur MRT di Lembah Klang yang rumit dari aspek kejuruteraan, projek itu juga menelan komitmen kewangan yang besar. Sebagai rekod, kos keseluruhan pembinaan MRT laluan Kajang dan Putrajaya masing-masing berjumlah RM23.82 bilion dan RM32.44 bilion. Model pembiayaan dalam bentuk Sukuk yang dijamin oleh kerajaan persekutuan bernilai sebanyak RM54.57 bilion telah disediakan oleh DanaInfra bagi pembinaan kedua-dua MRT tersebut. Jika terdapat kegagalan dalam meraih pulangan, maka kerajaan Malaysia sendiri akan menanggung kerugian dan membayar pulangan kepada para pelabur yang membeli Sukuk berkenaan.
Walaupun MRT I dan MRT II disiapkan dalam lingkungan kapasiti kewangan yang ditetapkan, projek-projek ini mengalami masalah sama seperti projek mega yang lain iaitu tahap penggunaan yang rendah daripada yang disasarkan, seterusnya memberi kesan kepada kutipan caj perkhidmatan, kos operasi, dan pulangan pelaburan. Memandangkan kerajaan Malaysia kini lebih komited terhadap disiplin fiskal, masalah pencapaian penggunaan pengangkutan awam seperti MRT boleh membawa implikasi kewangan kerajaan. Ini lantas menyekat perbelanjaan ke arah sektor yang lebih memerlukan. Bilangan pengguna yang tidak menepati sasaran boleh menyebabkan kekurangan janaan hasil tambang perkhidmatan MRT. Jika kutipan tambang tidak lagi dapat menampung kos operasi, ini akan membawa kepada kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sama ada untuk memberi suntikan dana agar perkhidmatan terus beroperasi serta membayar jaminan kepada pelabur.
Kesimpulan
Kehidupan di bandar besar seperti Lembah Klang memerlukan sistem pengangkutan awam yang boleh diharapkan bagi menampung penduduk yang ramai. Walaupun pembinaan sistem pengangkutan awam seperti sistem MRT di Lembah Klang memerlukan dana yang besar, manfaat penggunaannya tidak boleh dinafikan terutama untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya, pencemaran alam, dan mungkin juga sebagai langkah penjimatan petrol selepas penyelarasan subsidi.
Penambahan infrastruktur sokongan seperti perkhidmatan bas dan fasiliti parkir boleh dilihat sebagai usaha yang wajar untuk mengatasi masalah first-and-last-mile connectivity yang wujud dalam perkhidmatan MRT. Namun, yang lebih utama adalah institusi-institusi yang terlibat dalam perancangan fizikal tempatan seperti pemaju, perancang bandar, kerajaan tempatan, dan kerajaan negeri perlu benar-benar membantu merealisasikan penggunaan pengangkutan awam seperti MRT.