
Pengenalan
Sistem pengangkutan awam bandar seperti mass rapid transit (MRT) penting bagi mengatasi masalah kesesakan di Metropolitan Lembah Klang. Namun begitu, kos pembangunan dan operasi infrastruktur pengangkutan awam di Lembah Klang yang besar memerlukan komitmen kewangan kerajaan persekutuan sehingga wujudnya sentimen mengenai aspek kemampanan sistem itu sendiri dan kedudukan fiskal negara. Maka, terdapat keperluan bagi mencari sumber dana baharu bagi menampung kemampanan projek pengangkutan awam bandar.
Rencana ini akan membincangkan kewajaran menjadikan konsep land value capture (LVC) sebagai sumber dana alternatif untuk menampung operasi dan kelestarian projek pengangkutan awam bandar dengan melihat MRT sebagai contoh.
Konsep land-value capture (LVC) sebagai sumber pengangkutan untuk pengangkutan bandar
Land-value capture (LVC) merupakan satu konsep di mana kerajaan memanfaatkan penambahan nilai sesebuah harta tanah disebabkan oleh penyediaan infrastruktur daripada kerajaan di sesebuah lokasi. LVC berpremiskan atas prinsip bahawa pemilik tanah tidak 100% berhak mendapat limpahan nilai tanah mereka disebabkan pembinaan infrastruktur dan wujudnya tanggungjawab sosial bagi pemilik tanah untuk menyumbang semula nilai tersebut kepada masyarakat. Atas dasar ini, kerajaan berhak mengambil sebahagian atau kesemua nilai limpahan itu sebagai sumber kewangan untuk menampung kos pembangunan infrastruktur.
Wajarkah LVC menjadi sumber dana bagi MRT Lembah Klang?
Laporan Ketua Audit Negara tahun 2020 pernah memetik soal kedudukan Rapid Rail (Prasarana) yang merupakan pengendali bagi beberapa laluan rel di Lembah Klang. Nilai kerugian terkumpul syarikat itu meningkat daripada RM 573.54 juta pada tahun 2018 kepada RM 690.83 juta pada tahun 2020. Selain itu, hutang terkumpul MRT Corp yang merupakan pemaju projek MRT Lembah Klang bernilai RM57.6 bilion pada tahun 2023 telah mengundang pelbagai pandangan umum. Maklumat prestasi kewangan sebegini menggambarkan wujudnya jurang kewangan bagi projek MRT, dan seolah-olah kerajaan persekutuan akan berterusan menyalurkan dana kepada syarikat-syarikat berkaitan projek tersebut. Lantas, adalah terlihat wajar bagi kerajaan mencari sumber kewangan baharu (seperti LVC) untuk menampung beban ini bagi memastikan sistem MRT dapat terus beroperasi dengan sebaiknya.
Limpahan nilai atau spekulasi harga semata-mata?
Pasaran kediaman Malaysia bukan sahaja merupakan sebuah pasaran yang tidak mampu milik tetapi juga sebuah pasaran yang prestasi jualannya rendah, serta dilanda lambakan unit tidak terjual dan kosong. Ini bakal meningkatkan lambakan unit ‘kosong’ dalam pasaran dan itu bukanlah melambangkan limpahan nilai sebaliknya hanyalah satu pembaziran. Secara logiknya, ‘lambakan’ itu boleh menyumbang kepada penurunan harga atau penjelasan pasaran (market clearance) tetapi hal ini tidak berlaku.
Kesimpulan
Projek pengangkutan awam MRT merupakan sesuatu yang diperlukan bagi menampung kesesakan di metropolitan Lembah Klang. Namun, kos pembinaan dan operasi projek tersebut menuntut komitmen kewangan kerajaan persekutuan sehingga timbulnya kegusaran mengenai kedudukan fiskal negara serta kemampanan sistem pengangkutan awam seperti MRT itu sendiri. Masalah lebih utama dalam hal pengangkutan awam di bandar adalah perancangan bandar kita yang terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian dan tidak menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.