Views
Nov 13, 2024
6
Minutes read

Bayaran Balik Pendidikan Tinggi: Antara Tanggungjawab Moral Peminjam dan Realiti Pasaran Buruh

Author
Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim
Senior Research Associate
Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim
Senior Research Associate
Co - Author
No items found.
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview
Artikel ini membincangkan isu hutang pendidikan tinggi di Malaysia. Bagi memastikan kelestarian sistem pembiayaan pendidikan tinggi negara, artikel ini meneliti cabaran dalam pembayaran balik pinjaman, kesan sosioekonomi yang timbul, serta mencadangkan pilihan dasar untuk memastikan bayaran balik yang lebih berkesan.
bayaran-balik-pendidikan-tinggi-antara-tanggungjawab-moral-peminjam-dan-realiti-pasaran-buruh
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Pengenalan

Pembiayaan pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam memastikan akses yang saksama ke institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Akta Pendidikan 1996, telah ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai langkah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi. Tindakan kerajaan terhadap perkara ini merupakan satu perkembangan terpenting dalam sejarah liberalisasi pendidikan tinggi negara, pada masa yang sama memberi peluang sama rata dan memastikan lebih ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tempatan, terutama selepas Krisis Kewangan Asia 1997.

Sejak itu, institusi pendidikan tinggi swasta telah berkembang pesat, dengan peningkatan daripada 140 institusi pada tahun 1990 kepada 616 pada tahun 2000. Peningkatan ini juga seiring dengan pertumbuhan ketara dalam jumlah pendaftaran pelajar di institusi pengajian tinggi swasta, di mana enrolmen pelajar meningkat daripada 125,000 pada tahun 1990 kepada lebih 1.2 juta pada tahun 2020. Pertumbuhan ini turut didorong oleh kos pendidikan luar negara yang semakin meningkat akibat penurunan nilai mata wang sejak Krisis Kewangan Asia 1997.

Konsep pembiayaan kewangan (financialization), yang menekankan integrasi kewangan dalam kehidupan harian, memberikan gambaran tentang interaksi antara dasar gaji dan pembiayaan pendidikan tinggi. Seperti isu pelan persaraan dan pinjaman perumahan, terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, isu pembiayaan pendidikan tinggi juga membawa cabaran tersendiri dalam pengurusan kewangan dan pembiayaan kewangan yang kompleks. Isu ini juga selari dengan pandangan Shiller (2013) yang menekankan peranan pembiayaan kewangan dalam masyarakat, serta implikasi yang lebih besar seperti peningkatan hutang isi rumah akibat pinjaman pendidikan. Jika isu ini tidak ditangani dengan berhati-hati, beban hutang pendidikan berpotensi menjadi cabaran masyarakat yang lebih serius.

Hutang yang pada asalnya bertujuan untuk memperkasakan graduan kini sering kali menjadi beban kewangan yang tidak dijangka. Implikasi ini melangkaui kewangan individu, berpotensi menambah beban hutang keseluruhan masyarakat. Hasil kemakmuran masa depan melalui pendidikan tinggi mungkin secara tidak sengaja menyumbang kepada kitaran beban kewangan yang berterusan. Kajian oleh AKPK pada tahun 2018 mendapati hampir satu perlima daripada pekerja menghadapi kesukaran untuk menabung, dengan komitmen hutang tinggi menjadi alasan ketiga paling umum. Bagi individu berumur 20 hingga 29 tahun, pinjaman pendidikan menjadi komponen kedua tertinggi dalam komitmen hutang mereka. Walaupun komponen hutang pendidikan beransur-ansur berkurangan dalam kalangan individu yang lebih berusia, hubungan dinamik antara hutang pendidikan, aspirasi, dan tanggungjawab kewangan ketika muda kekal kritikal dan boleh memburukkan cabaran kewangan apabila mereka melalui pelbagai peringkat kehidupan.

Landskap Pasaran Buruh Graduan

Kini, sekitar 80% graduan di universiti tempatan berasal daripada keluarga B40, dan 40% daripada pelajar ini bergantung kepada pinjaman PTPTN. Lebih separuh daripada peminjam PTPTN juga terdiri daripada isi rumah B40, menunjukkan betapa pentingnya PTPTN dalam memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah. Walaupun peranan PTPTN jelas dapat mengurangkan beban kewangan pelajar, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah, PTPTN juga membawa risiko bebanan hutang selepas tamat pengajian. Bagi graduan daripada keluarga berpendapatan tinggi, PTPTN merupakan alat kewangan tambahan, tetapi bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, terutamanya golongan B40, inisiatif ini merupakan instrumen terpenting untuk melanjutkan pelajaran. Cabaran sebenar bagi graduan B40 ini muncul selepas mereka tamat pengajian, apabila mereka perlu membayar balik hutang pendidikan dalam keadaan pendapatan yang rendah dan peluang pekerjaan yang terhad.

Landskap kebolehpasaran graduan dan pendapatan yang diterima memerlukan perhatian yang lebih mendalam. Walaupun terdapat korelasi antara tahap kelayakan dan pendapatan graduan, pelbagai faktor seperti bidang pengajian, permintaan industri, perbezaan wilayah, dan perubahan trend pasaran menyumbang kepada kerumitan dalam pendapatan yang diterima. Lebih membimbangkan, isu pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment) di mana individu memegang pekerjaan di bawah kelayakan yang dimiliki, menambahkan lagi kerumitan situasi ini. Graduan yang terpaksa bekerja dalam sektor atau jawatan yang tidak sepadan dengan kemahiran mereka bukan sahaja menghadapi gaji yang rendah, tetapi juga berisiko kehilangan peluang perkembangan kerjaya masa hadapan yang lebih baik.

Dapatan terkini KRI yang mengkaji perkembangan kerjaya graduan dalam kohort dekad terdahulu mendapati realiti pasaran kerja bagi graduan universiti di Malaysia kekal suram. Gaji permulaan graduan baharu hampir tidak berubah dalam dekad yang lalu. Pada tahun 2021, sebanyak 60% graduan baharu menerima gaji bawah RM2,000 bagi pekerjaan pertama mereka, berbanding 61% pada tahun 2010. Walaupun jumlah individu berpendidikan tinggi terus meningkat, pertumbuhan pekerjaan mahir tetap tidak berkembang sejak tahun 2002. Ini menjadikan isu terlebih kelayakan (overqualification) sebagai kebimbangan utama. Hal ini penting untuk diakui kerana mendapatkan pekerjaan yang berkualiti adalah langkah awal yang bakal mencorakkan perkembangan kerjaya graduan. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa memulakan kerjaya dengan status pekerjaan yang tidak memuaskan, di mana graduan bermula dengan pekerjaan di bawah kelayakan dan gaji permulaan yang rendah, akan memberi kesan negatif kepada laluan kerjaya graduan dalam jangka panjang, walaupun selepas lebih sedekad berada dalam pasaran pekerjaan.

Kutipan pinjaman pendidikan tinggi perlu melangkaui pendekatan penguatkuasaan secara menghukum

Meskipun bayaran balik pinjaman pendidikan ini dianggap sebagai tanggungjawab moral peminjam dan penting untuk memastikan kesinambungan dana bagi generasi akan datang, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti serta gaji yang bermaruah kepada graduan. Walaupun pelbagai inisiatif seperti diskaun dan penstrukturan semula bayaran telah diperkenalkan, hakikatnya ramai graduan masih bergelut untuk melunaskan hutang pinjaman pendidikan mereka. Ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pasaran buruh dalam menyediakan pulangan yang setimpal bagi pelaburan pendidikan tinggi. Graduan sepatutnya mendapat pekerjaan yang stabil dan gaji yang mencukupi untuk membolehkan mereka membayar balik pinjaman.

Penguatkuasaan bersifat menghukum (punitif) boleh meningkatkan kesedaran peminjam untuk membayar pinjaman mereka, kerana terdapat individu yang sengaja mengelak membayar balik pinjaman walaupun berkemampuan. Namun, kesan penguatkuasaan secara punitif ini adalah terhad, kerana kebanyakan graduan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman mereka. Menyedari bahawa penguatkuasaan punitif sahaja tidak mencukupi dalam mengurangkan kadar peminjam ingkar bermakna alternatif lain yang lebih berkesan perlu dilaksanakan untuk mengani masalah ini.

Memahami siapa mereka

Justeru, penyelesaian masalah ini memerlukan pemahaman mendalam tentang punca peminjam terus ingkar. Bagi peminjam daripada latar belakang berpendapatan rendah, kesan hutang pelajar lebih ketara apabila terdapat jurang hasil bayaran balik berbanding berpendapatan tinggi. Malah, agak membimbangkan sejak penubuhannya pada tahun 1997, PTPTN yang telah memberi pinjaman kepada lebih 3.6 juta peminjam mempunyai kadar peminjam ingkar sebanyak hampir 10%.

Peminjam B40 bukan sahaja menanggung beban hutang yang tidak setara dengan pendapatan, tetapi juga menghadapi risiko ingkar yang jauh lebih tinggi. Malahan, peminjam daripada golongan ini merangkumi 97% daripada mereka yang gagal membayar balik hutang. Ini menunjukkan bahawa latar belakang sosioekonomi memainkan peranan penting dalam menentukan kebolehan mereka untuk melunaskan pinjaman, walaupun syarat pembayaran balik telah dilonggarkan serendah RM50 sebulan. Sebagai pemberi pinjaman, PTPTN perlu menggunakan maklumat profil peminjam bagi 430,000 individu yang gagal membayar balik ini bagi memahami mengapa golongan ini masih tidak mampu memenuhi kewajipan mereka.

Menggalakkan Simpanan Pendidikan Jangka Panjang

Salah satu cara jangka panjang yang boleh mengurangkan beban hutang graduan adalah dengan menggalakkan tabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ibu bapa (terutamanya dalam kalangan berpendapatan rendah) boleh mengumpul dana untuk tujuan pendidikan masa hadapan anak di platform yang kukuh dan menawarkan pulangan yang lebih baik berbanding simpanan biasa. Namun, langkah ini tidak semudah seperti meningkatkan kesedaran tentang kewujudan program ini. Ramai keluarga berpendapatan rendah menghadapi kesukaran menyimpan dana walaupun dengan jumlah yang kecil, kerana mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan kewangan jangka pendek selain realiti simpanan yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun strategi ini merupakan strategi jangka panjang, rangka kerja SSPN sekurangkurangnya boleh ditambah baik. Menjadikan tabungan sebagai pilihan yang berdaya maju untuk keluarga berpendapatan rendah berpotensi mengurangkan beban hutang pelajar kerana sebahagian kos belajar di universiti dapat ditanggung dengan simpanan terkumpul. Inisiatif seperti memberi subsidi meningkatkan pulangan akaun dan memadankan jumlah deposit ke dalam akaun memberi galakkan kepada keluarga berpendapatan rendah untuk menggunakan simpanan dana dalam perancangan pendidikan masa hadapan hadapan anak-anak mereka. Malah, kaedah ini terbukti menunjukkan bahawa simpanan memberi kesan positif yang signifikan terhadap keberhasilan pendidikan anak-anak. Morris (2010) mendapati bahawa tambahan sebanyak $1,000 dalam simpanan mampu mengurangkan kemungkinan kanak-kanak tidak menerima pendidikan sebanyak 4% hingga 7%.

Bayaran Balik Pinjaman Berdasarkan Pendapatan

Antara kaedah lain yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan kadar bayaran balik pinjaman adalah dengan menawarkan pinjaman berdasarkan pendapatan (Income Contigency Loan - ICL). ICL mampu mengurangkan beban kewangan pinjaman pelajar kerana pembayaran balik hutang berdasarkan ambang pendapatan yang sesuai. Walau bagaimanapun, menetapkan ambang pendapatan yang adil amat penting dalam memastikan dasar ini mendapat sokongan sewajarnya. Kegagalan berbuat demikian akan membawa risiko bantahan tinggi daripada peminjam kerana meletakkan ambang bayaran balik yang terlalu rendah. Strategi ini adalah penting kerana hutang pendidikan merangkumi beban hutang kedua terbesar bagi golongan dewasa muda. Kaedah ICL, sekiranya dilaksanakan dengan berhati-hati dengan peningkatan ambang pendapatan terhadap bayaran balik yang lebih kecil bagi setiap peringkat pendapatan, mampu memastikan bayaran balik yang konsisten dan tidak membebankan peminjam.

Strategi lain

Strategi lain yang boleh dipertimbangkan termasuk meningkatkan kesedaran tentang pilihan pembayaran balik alternatif seperti kemudahan pembayaran melalui pengeluaran KWSP, potongan gaji tetap, serta penstrukturan semula pinjaman yang disediakan. Paling penting, mempermudah proses pembayaran balik perlu diutamakan untuk memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan peminjam untuk membayar balik pinjaman, walaupun serendah RM30 sebulan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, keberkesanan strategi pembayaran balik PTPTN memerlukan pendekatan yang lebih holistik dan inklusif, melangkaui penguatkuasaan hukuman semata-mata. Langkah-langkah seperti penstrukturan semula pinjaman, pilihan pembayaran berasaskan pendapatan, serta kemudahan lain seperti pengeluaran KWSP dan potongan gaji perlu diperluaskan. Usaha meningkatkan kesedaran dan mempermudah proses pembayaran balik adalah penting untuk memupuk tanggungjawab peminjam, memastikan kelestarian dana, dan mengurangkan beban kewangan graduan dalam jangka masa panjang.

Read Full Publication

Article highlight

Student loan repayment must balance moral responsibility with economic realities. Sustainable solutions require quality jobs and fair, flexible repayment options.

featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
["AKPK. 2018. “Financial Behaviour and State of Financial Well-Bring of Malaysian Working Adults: AKPK Financial Behaviour Survey 2018.” Credit Counselling and Debt Management Agency.","CEIC. 2024. “Malaysia Non Performing Loans Ratio.” https://www.ceicdata.com/en/indicator/malaysia/non-performing-loans-ratio.","FEN. 2019. “Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023.” Kuala Lumpur: Financial Education Network. https://fenetwork.my/wp-content/uploads/2020/07/NationalStrategy-BM.pdf.","Fry, Richard. 2014. “Young Adults, Student Debt and Economic Well-Being.” Pew Research Center’s Social & Demographic Trends Project (blog). May 14, 2014. https://www.pewresearch.org/social-trends/2014/05/14/young-adults-student-debtand-economic-well-being/.","GOM. 2012. “Education Act 1996 (Act 550).” Government of Malaysia. https://tcclaw.com.my/wp-content/uploads/2020/12/Education-Act-1996.pdf.","GOM. 2013. “National Higher Education Fund Corporation Act 1997 (Act 566).” Government of Malaysia. https://www.ptptn.gov.my/wp-content/uploads/2024/01/Akta-566-AktaPerbadanan-Tabung-Pendidikan-Tinggi-Nasional-1997.pdf.","Hawati Abdul Hamid. 2022. “Malaysian Higher Education and Economic Growth: A Causality Analysis.” Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.","KRI. 2024a. “Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents.” Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. 2024b. “The Financialization of Our Lives: Vales and Trade-Offs.” Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.","Morris, Michael DS. 2010. “Education Savings Accounts, Parent Contributions, and Education Attainment.” In Maximum Simulated Likelihood Methods and Applications, 165–98. Emerald Group Publishing Limited.","PTPTN. 2023. “PTPTN Annual Report 2021.” Annual Report. Kuala Lumpur: National Higher Education Fund Corporations.","Shamsul Kamal Amarudin. 2024. “430,000 Peminjam Tidak Pernah Bayar Hutang PTPTN Berjumlah RM6 Bilion.” Utusan, September 21, 2024. https://www.utusan.com.my/nasional/2024/09/430000-peminjam-tidak-pernahbayar-hutang-ptptn-berjumlah-rm6-bilion/.","Shiller, Robert J. 2013. Finance and the Good Society. Princeton: Princeton University Press. https://doi.org/10.1515/9781400846177.","Wan Saiful Wan Jan. 2020. Malaysia’s Student Loan Company: Tackling the PTPTN Time Bomb. ISEAS-Yusof Ishak Institute. https://rb.gy/s9nxmr."]
Photography Credit
Cover photo from vecteezy

Related to this Publication

No results found for this selection
You can  try another search to see more

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials