
Pengenalan
Dalam usaha menangani kejatuhan ekonomi rentetan Covid-19, beberapa persatuan perniagaan dan perdagangan telah mengusulkan beberapa langkah untuk mengurangkan kos perniagaan dan mengelakkan pembuangan pekerja. Antara usul-usul tersebut termasuk penangguhan cukai perniagaan dan individu, bantuan tanggungan kos penggajian serta pengecualian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (PSMB).
Rencana ini memberi fokus kepada cadangan pengecualian caruman Perkeso sehinga wabak ini berakhir—suatu langkah yang difikirkan oleh pihak majikan akan dapat membantu masalah aliran tunai terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus menggaji pekerja. Namun, cadangan ini perlu diteliti dengan mengambil kira sejauh mana kesan pengecualian caruman ini bukan sahaja terhadap majikan tetapi juga pekerja dan pihak Perkeso itu sendiri.
Bayaran Perkeso hanyalah peratusan kecil bagi majikan
Jadual 1 menunjukkan pecahan caruman Perkeso bagi syer majikan dan pekerja. Untuk Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerjaan, majikan dan pekerja menyumbang pada kadar yang sama, iaitu sebanyak 0.5% dan 0.2%. Bagi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Perlindungan untuk Pekerja Asing pula, hanya majikan dikehendaki membuat caruman iaitu sebanyak 1.25%.
Secara ringkas, majikan hanya perlu mencarum kurang daripada 2.0% kepada Perkeso dan jumlah caruman dikira berdasarkan gaji pekerja yang terhad kepada jumlah maksimum RM4,000 sebulan. Peratusan kecil ini bermakna caruman kepada Perkeso merupakan sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan kos penggajian. Walaupun nilai caruman akan bergantung kepada jumlah bilangan pekerja, pemansuhan bayaran Perkeso hanya dapat menjimatkan kos di pihak majikan terhad kepada 2.0% sahaja.
Perkeso bergantung kepada sumbangan majikan dan pekerja
Sebaliknya, sumbangan 2.0% ini pula boleh memberi kesan yang besar kepada Perkeso. Hal ini kerana pendapatan caruman merupakan penyumbang terbesar dalam komponen hasil Perkeso. Memandangkan sebahagian besar hasil Perkeso datang daripada wang caruman, pengecualian caruman walaupun hanya dihadkan kepada caruman majikan akan menjejaskan aliran kewangan Perkeso, lebih-lebih lagi apabila caruman majikan adalah lebih tinggi daripada pekerja.
Jika pengecualian caruman oleh kedua-dua pihak dilaksanakan untuk tempoh 6 bulan, adalah dianggarkan pendapatan caruman Perkeso akan terjejas antara RM1.0 bilion hingga RM3.8 bilion, ataupun secara purata RM2.4 bilion. Seterusnya, ini dijangka akan memberi impak kepada kemampanan dana serta mungkin akan menjejaskan penyaluran bantuan yang ampuh kepada penerima faedah.
Peningkatan perbelanjaan dan bayaran faedah
Perkeso juga mempunyai lebihan hasil sebanyak RM1.4 billion pada 2018. Namun begitu, hampir keseluruhan pendapatan caruman Perkeso disalurkan untuk belanja tanggungan kepada penerima faedah dan jumlahnya kian meningkat saban tahun. Justeru, Perkeso perlu terus meningkatkan tahap rizabnya bagi menghadapi komitmen pada hadapan secara lebih bersedia.
Menurut data yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penerima faedah meningkat pada kadar 9% antara tahun 2016 dan 2018, lebih tinggi daripada kadar peningkatan bilangan pencarum 7%. Perkembangan semasa juga menunjukkan peningkatan permohonan daripada pekerja untuk mendapatkan Pencen Ilat Perkeso atas faktor kesihatan serta kekurangan simpanan hari tua.
Majoriti penerima faedah adalah pencen penakat dan pencen ilat
51.8% daripada jumlah penerima faedah ialah penerima pencen penakat, yang terdiri daripada tanggungan atau waris kepada pekerja yang telah meninggal dunia. Kumpulan kedua terbesar pula ialah pekerja yang hilang upaya untuk bekerja atau penerima pencen/bantuan ilat 12.3%.
Kesimpulan
Pengecualian caruman Perkeso sudah semestinya dapat mengurangkan kos penggajian pekerja, terutamanya bagi perniagaan yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai. Namun begitu, memandangkan peratusan caruman adalah kecil—hanya 2.0% daripada gaji pekerja dan terhad pada jumlah maksimum RM4,000—penjimatan kos kepada majikan sebenarnya tidaklah besar. Terdapat kos-kos lain yang, memberi impak lebih besar kepada aliran tunai majikan dan salah satunya tentulah bayaran gaji dan upah kepada pekerja itu sendiri.
Bantuan khas yang telah diumumkan kerajaan untuk perniagaan, terutamanya PKS boleh dimanfaatkan oleh majikan untuk kelangsungan perniagaan dan mengekalkan pekerja. Dalam krisis yang tidak menentu sekarang, peranan Perkeso dijangka akan menjadi lebih kritikal dalam menyediakan keselamatan sosial kepada semua pekerja.