
Bekerja sendiri: apa, siapa dan di mana?
Bekerja sendiri banyak bentuk dan gelaran. Ada yang dipanggil usahawan, ada pula dipanggil pekerja gig. Walaupun pekerja gig sering dikaitkan dengan teknologi digital, ia boleh merangkumi mana-mana individu yang bekerja secara bebas dan tidak terikat dengan manamana majikan termasuklah freelance konsultan dan jurugambar, pemandu e-hailing mahupun pekebun kecil.
Pada dasarnya, sesiapa sahaja yang mengusahakan sesuatu yang mendatangkan hasil pendapatan tanpa menggaji pekerja lain, serta tidak bekerja untuk majikan tertentu dengan gaji tetap, boleh dikategorikan sebagai bekerja sendiri.
Penggalakan usaha mencipta kerja, bukan mencari kerja, sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pertambahan jumlah individu bekerja sendiri hampir 0.5 juta daripada 2.2 juta pada 2014 kepada 2.7 juta pada 2019.
Lebih tinggi risiko, lebih besar pulangan?
Salah satu kelebihan bekerja sendiri yang sering diperkatakan adalah dari segi fleksibiliti terutamanya kebebasan dalam memilih waktu bekerja serta pilihan kerja yang ingin dilaksanakan. Menariknya, ukuran kasar menggunakan enjin carian Google juga menunjukkan lebih banyak hasil carian berkaitan frasa-frasa positif wujud di alam maya mengenai bekerja sendiri berbanding frasa-frasa negatif. Walaupun jauh dari konklusif, dapatan ini memberi persepsi bahawa perbincangan tentang bekerja sendiri kelihatan lebih tertumpu kepada faedah daripada risiko.
Namun hakikatnya, fleksibiliti yang datang dengan bekerja sendiri tidak semestinya datang dengan kestabilan pendapatan seperti yang dinikmati oleh mereka yang bekerja makan gaji. Pandemik Covid-19 dengan jelas telah mendedahkan jurang risiko yang besar antara mereka yang bekerja sendiri dan makan gaji. Mereka yang bekerja sendiri melaporkan insiden kehilangan kerja, penurunan pendapatan dan kekurangan simpanan yang jauh lebih tinggi berbanding mereka yang makan gaji, mahupun majikan yang mempunyai pekerja sendiri.
Jurang dasar harus dirapatkan
Mereka yang bekerja sendiri, terutamanya pekerja gig, rata-rata tidak mempunyai perlindungan sosial berbanding mereka yang makan gaji, sementara jurang bagi perlindungan undang-undang masih perlu diperbaiki. Perlu diingatkan bahawa angka yang dicatatkan merupakan jumlah yang mendaftar, dan bukan bilangan pencarum aktif. Dalam kes simpanan untuk persaraan, misalnya, terdapat ramai ahli yang berdaftar tetapi tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk hari tua.
Tidak dinafikan isu pemantapan perlindungan sosial khusus telah diketengahkan dalam pelan jangka panjang termasuklah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan diterjemahkan dalam insentif seperti geran padanan caruman di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).