
Pengenalan
Pekerja asing, terutama yang tidak mempunyai dokumen yang sah, antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti koronavirus (Covid-19). Kebanyakan mereka terpaksa tinggal sebumbung dalam keadaan sempit dan kekurangan sanitasi asas termasuk air bersih dan sabun. Mengawal Covid-19 dalam kumpulan ini adalah penting untuk membendung penularan penyakit tersebut di Malaysia. Oleh itu, kerajaan harus terus memberi saringan Covid-19 secara percuma kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, demi kesihatan awam.
Pekerja asing di Malaysia
Laporan Survei Tenaga Buruh 2018 mencatatkan sebanyak 2.2 juta pekerja asing yang merangkumi hampir 15% daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia. Walaubagaimanapun, angka ini berkemungkinan lebih besar memandangkan survei itu tidak mengambil kira individu yang tinggal di dalam rumah komunal. Sumber lain menganggarkan jumlahnya adalah antara 4 juta hingga 7 juta dengan kebanyakannya merupakan pekerja asing tanpa dokumen. Bilangan pekerja asing agak besar, justeru itu mengabaikan kebajikan golongan ini bermaksud mengabaikan sebahagian besar penduduk Malaysia.
Halangan kepada penjagaan kesihatan
Kos seringkali merupakan halangan kepada akses penjagaan kesihatan. Laporan kajian tingkahlaku kesihatan pekerja asing dari Bangladesh menunjukkan bahawa tiada insurans perubatan dan kos perubatan yang mahal adalah antara sebab-sebab utama pekerja asing mengelak daripada mendapatkan rawatan perubatan. Untuk mengatasi kebimbangan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 29 Januari telah mengumumkan bahawa warga asing yang disyaki dijangkiti dengan Covid-19 atau merupakan kontak pesakit Covid-19 dikecualikan daripada fi pesakit luar yang berkaitan termasuk pendaftaran, pemeriksaan, rawatan dan wad di hospital KKM.
Sebaliknya, Perdana Menteri pada 23 Mac mengumumkan bahawa warga asing akan dikenakan fi untuk rawatan Covid-19, bertentangan dengan dasar KKM yang diumumkan sebelumnya. Walaupun kenyataan ini telah disangkal oleh Ketua Pengarah Kesihatan yang menekankan (sekali lagi) bahawa tiada bayaran dikenakan, kenyataan-kenyataan yang bercanggah ini boleh mengelirukan pekerja asing dan menyebabkan mereka terus mengelak daripada mendapat penjagaan kesihatan, khususnya berkaitan Covid-19.
Satu lagi halangan adalah kebimbangan dalam kalangan pekerja asing bahawa mereka akan didakwa jika didapati tidak mempunyai dokumen yang sah. Kebimbangan ini dilihat berasas mengikut dasar sebelum pandemik ini; menurut satu laporan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa lawatannya ke Malaysia pada tahun 2014, terdapat kaunter imigresen di hospital awam yang membawa warga asing tanpa dokumen kepada pihak polis semasa mendapatkan rawatan perubatan.
Dari perspektif kesihatan awam, dasar ini membahayakan kerana akan menyebabkan pekerja asing mengelak daripada mendapatkan rawatan, seterusnya berpotensi untuk menyebarkan penyakit berjangkit kepada individu lain.
Bagi menangani masalah ini, Menteri Pertahanan telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menangkap mana-mana pekerja asing tanpa dokumen yang hadir mendapatkan rawatan. Walaubagaimanapun, mesej tersebut mungkin tidak jelas kerana 4,000 jemaah tabligh yang terdiri daripada warga asing masih belum mendapatkan ujian saringan Covid-19. Berdasarkan sejarah layanan terhadap pekerja asing tanpa dokumen, reaksi ini mungkin tidak mengejutkan.
Halangan lain adalah masalah bahasa termasuk kesukaran untuk berkomunikasi antara pekerja asing dengan pegawai perubatan. Pekerja asing juga menghadapi cabaran dalam mengakses maklumat terkini mengenai pandemik ini dalam bahasa yang boleh mereka fahami. Justeru itu, capaian kepada maklumat penting yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah sukar.
Memandangkan ramai pekerja asing yang bergantung kepada upah harian, ramai yang akan terus bekerja berbanding mengambil cuti untuk membuat pemeriksaan dan rawatan. Secara amnya, gaji dan upah pekerja asing adalah rendah. Laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa sebahagian besar pekerja asing bekerja di sektor pekerjaan berkemahiran rendah, contohnya 45.4% daripada pekerja pekerjaan asas adalah warga asing. Pekerjaan asas adalah merupakan pekerjaan yang memberi gaji dan upah yang paling rendah mengikut Laporan Survei Gaji dan Upah 2018 dengan pekerja menerima, secara purata, RM1,648 sebulan. Bagi pekerja asing, penting untuk mereka terus bekerja kerana mereka merupakan sumber pendapatan utama bagi keluarga di negara asal mereka.
Langkah yang boleh diambil
Usaha terkini oleh kerajaan menunjukkan inisiatif untuk membantu pekerja asing. Namun begitu, lebih banyak harus dilakukan. Kerajaan perlu melibatkan majikan, kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyebarkan mesej-mesej penting berkenaan Covid-19 bagi memastikan pekerja asing tahu langkah-langkah untuk melindungi diri mereka dan orang awam. Sebagai contoh, Akademi Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Awam di New York, satu organisasi kesihatan yang membantu warga asing memenuhi keperluan kesihatan, menghubungi pelanggan mereka melalui WeChat. Untuk memastikan maklumat yang dihantar jelas, organisasi ini menterjemah semua mesej dalam bahasa yang difahami.
Ini hanya beberapa faktor yang penting dalam menangani isu akses kepada penjagaan kesihatan. Terdapat faktor-faktor lain yang harus diambil kira dalam isu kesihatan. Pekerja asing sering tinggal dalam keadaan sempit dan kekurangan sanitasi asas. Dalam erti kata lain, mereka tidak dapat memenuhi keperluan asas untuk melindungi diri mereka dari Covid-19 termasuk batasan fizikal (physical distancing) dan membasuh tangan dengan air dan sabun.
Selain itu, impak kepada ekonomi juga akan menjejaskan pekerjaan dan kebajikan pekerja asing, terutamanya yang tidak mempunyai dokumen yang sah, kerana mereka tidak mempunyai cuti sakit berbayar dan tidak dilindungi oleh mana-mana skim perlindungan keselamatan sosial. Pertubuhan Buruh Antarabangsa juga menyatakan bahawa sekatan perjalanan akan menghalang pekerja asing untuk pergi bekerja, lalu menjejaskan sumber pendapatan mereka. Akses kepada penjagaan kesihatan adalah penting, tetapi cabaran-cabaran lain ini juga harus ditangani.
Penutup
Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa untuk menentang Covid-19, kita perlu memastikan bahawa semua orang mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan. Halangan kepada rawatan yang dihadapi oleh pekerja asing bukan sahaja membahayakan golongan tersebut, tetapi berkemungkinan besar memudaratkan rakyat dan negara keseluruhannya. Penganiayaan pekerja asing di Malaysia menunjukkan bahawa kita tidak menghargai sumbangan golongan tersebut kepada ekonomi dan masyarakat. Menjaga Malaysia adalah untuk menjaga semua penduduknya. Wabak tidak mendiskriminasi, jadi mengapa harus kita?