
Covid-19: Peluang mantapkan perlindungan sosial semua pekerja
Penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing di Malaysia telah menimbulkan pelbagai keresahan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan. Walaupun belum dapat dipastikan sejauh mana pandemik ini akan merebak sehingga diluar kawalan, kesannya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat pasti berlarutan biarpun setelah wabak ini dapat dikawal.
Setakat ini, MIER mengganggarkan pertumbuhan benar Keluaran Dalam Negara Kasar 2020 akan menguncup - 2.9% , jumlah kehilangan pekerjaan sekitar 2.4 juta dan pendapatan isi rumah akan meyusut $12 %$ (berjumlah RM95 billion) lantas mengakibatkan penurunan mendadak perbelanjaan pengguna sebanyak $11 % ^ { 1 }$ .
Mengekang pemberhentian pekerja
Sudah semestinya keutamaan bantuan kerajaan ketika ini adalah kepada sektor kesihatan negara dalam menyelamatkan nyawa rakyat dan ini perlu disalurkan tanpa batasan.
Diluar ruang lingkup sektor kesihatan, salah satu strategi paling wajar diberi keutamaan adalah melindungi pekerjaan daripada lenyap akibat perniagaan gulung tikar. Perkara ini perlu ditangani secara bersepadu bagi melindungi sumber pendapatan rakyat sebelum krisis kesihatan ini bertukar menjadi krisis keselamatan yang mengganggu ketentaraman awam.
Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) sebagai satu langkah membantu pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing yang mengalami tekanan kewangan. Sejumlah RM120 juta telah diperuntukkan bagi meringankan masalah golongan terkesan ini dengan bantuan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan.
Keputusan tepat telah diambil kerajaan apabila memutuskan untuk memanfaatkan platform Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Perkeso yang telah diperkenalkan pada 2018 bagi melindungi pekerja yang kehilangan pekerjaan. Ini menjadikan pengoperasian inisiatif ERP ini lebih mudah dan cepat kerana infrastuktur serta pengkalan data telah tersedia di platform tersebut.
Meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji buat sementara waktu mungkin satu langkah yang dirasakan wajar oleh majikan dalam mengurangkan kos tanpa melibatkan pembuangan pekerja. Namun langkah pengurangan kos pekerja oleh majikan juga boleh melibatkan pemotongan jam bekerja dan bayaran gaji/upah. Perlaksanaan ERP boleh dimantapkan lagi dengan menggesa majikan mengutamakan langkah pengurangan gaji/upah agar pekerja kekal produktif, sementara kos pekerja ditanggung secara bersama antara kerajaan dan majikan.
Dalam keadaan ini, suntikan dana yang lebih besar perlu dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan kerana ERP berfungsi membantu majikan bernafas tanpa perlu membuang pekerja dan hubungan majikan-pekerja tidak terputus. Pada masa sama pekerja masih mendapat sejumlah pendapatan bagi memenuhi keperluan harian.
Mekanisme perkongsian kos pekerja antara majikan dan kerajaan ini boleh dianggap lebih mampan daripada membiarkan majikan terkapai-kapai sendirian sehingga terpaksa membuang pekerja, lantas meningkatkan jumlah pengganguran sehingga boleh menimbulkan gejala-gejala sosial yang lain. Apabila wabak Covid-19 berjaya ditangani, kerajaan boleh menghentikan bantuan dan majikan dapat menyambung aktiviti perniagaan secepat mungkin tanpa perlu pening kepala mencari pekerja baru.
Bantu sama rata pekerja makan gaji dan bekerja sendiri
Penetapan syarat bahawa pekerja mesti berdaftar dan mencarum ke dalam SIP bermakna manfaat ERP setakat ini dirangka bagi membantu pekerja “makan gaji” dalam sektor formal. Inisiatif ini tanpa sedar telah meminggirkan golongan yang bekerja sendiri yang kebanyakkannya tidak mencarum ke dalam SIP. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan setakat 2018 terdapat hampir 3.0 juta pekerja yang bekerja sendiri (atau $20 %$ daripada jumlah pekerja)2.
Walaupun Perkeso telah memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), jumlah yang aktif mencarum adalah sangat rendah—hanya sekitar 52,000 setakat 2019. Dengan tidak mencarum ke dalam SKSPS apatah lagi SIP, pekerja-pekerja ini tidak dilindungi baik dari segi kemalangan semasa bekerja mahupun daripada risiko kehilangan pekerjaan. Padahal, boleh dikatakan golongan ini lebih terdedah untuk jatuh miskin apabila berlaku kejutan dalam aktiviti pekerjaan dan mereka sangat rentan kerana bergantung kepada pendapatan yang tidak menentu.
Perluasan ERP oleh kerajaan bagi merangkumi golongan bekerja sendiri amat disarankan terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakakan sekarang sehingga ke suatu tempoh apabila kesan daripada wabak Covid-19 reda. Tawaran bantuan pendapatan ini merupakan masa yang terbaik dalam menggalakkan pekerja-pekerja ini tampil mendaftar dalam skim-skim di bawah Perkeso seperti SKSPS dan SIP. Membawa lebih ramai ke dalam jaringan keselamatan sosial adalah langkah penting agar pekerja Malaysia lebih bersedia menghadapi krisis pada masa hadapan.
Usaha menangani masalah Covid-19 dalam jangka pendek ini sebenarnya mempunyai kesan jangka panjang yang sangat efektif dalam membantu kerajaan mengurangkan pertindihan programprogram bantuan sosial sedia ada seperti bantuan kepada penoreh getah, nelayan, pesawah, pemanadu teksi dan penarik beca. Ini belum mengambilkira pertindihan bagi golongan lain di bawah Program Bantuan Sara Hidup, eKasih dan lain-lain. Menyelaraskan maklumat-maklumat tenaga kerja yang berada dalam pasaran buruh ke dalam satu pengkalan data akan memantapkan sistem perlindungan sosial tenaga kerja negara disamping membolehkan bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.
Dalam setiap krisis terdapat peluang. Wabak Covid-19 ini jelas memberi impak kepada tenaga buruh Malaysia sama ada yang makan gaji dan bekerja sendiri. Maka, peluang ini harus diambil untuk memantapkan lagi skim perlindungan pekerjaan agar mereka yang terkena kejutan ekonomi dapat dibantu sekarang dan juga lebih bersedia pada masa akan datang.