
Mendepani negara menua
Semakin ramai penduduk Malaysia yang kini hidup lebih lama dan mencapai usia tua. Pada tahun 2024, dianggar seramai 3.8 juta orang yang berumur 60 tahun dan ke atas, merangkumi 11.3% daripada penduduk Malaysia. Angka ini dijangkakan akan meningkat lagi kepada 8.2 juta orang atau 19.8% penduduk dalam 20 tahun akan datang. Seiring dengan penuaan penduduk, salah satu polisi sosial yang memerlukan perhatian penggubal dasar adalah pengurusan perumahan sosial supaya dapat memenuhi keperluan penduduk warga emas. Golongan ini selalunya mendepani pelbagai cabaran khusus seperti mobiliti fizikal, akses kepada kemudahan dan penjagaan kesihatan yang perlu diambil kira.
Berdasarkan kajian KRI berkenaan Program Perumahan Rakyat (PPR), pengendalian dan reka bentuk bangunan tersebut masih boleh ditambah baik supaya lebih mesra warga emas. Artikel ini membincangkan cabaran persekitaran fizikal PPR dalam memenuhi keperluan penghuni warga emas dan apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan.
Penghuni warga emas di PPR
PPR adalah sebuah program perumahan sosial yang dikendalikan kerajaan yang bertujuan menyediakan tempat tinggal untuk rakyat yang berpendapatan rendah atau berasal dari penempatan setinggan. Pada tahun 2016 dan 2017, KRI telah menjalankan sebuah survei ‘kajian kepuasan penduduk’ (residential satisfaction survey) terhadap penduduk yang tinggal di PPR jenis bertingkat di kawasan bandar dan berkepadatan tinggi untuk mengenal pasti aspek-aspek PPR yang perlu diberi perhatian. Projek – projek PPR yang dikenalpasti ini telah dihuni sejak awal 2000 dan berusia sekitar 20 tahun.
Berdasarkan pemerhatian kajian tersebut, didapati sekitar 10% penghuni PPR adalah warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas. Dengan kata lain, 1 daripada 10 penduduk PPR adalah warga emas dan angka ini dijangka meningkat lagi seiring dengan perubahan pola penduduk Malaysia. Turut didapati bahawa ketua isi rumah di PPR juga kebiasaannya adalah mereka yang sudah berusia dan mempunyai umur penengah sekitar 52 tahun sehingga 54 tahun.
Kebarangkalian penduduk kekal menetap di PPR di zaman tua mereka adalah tinggi kerana secara umumnya, orang cenderung untuk menua di tempat asal mereka kerana mereka sudah biasa dengan kawasan tersebut dan mempunyai rangkaian komuniti sosial yang sudah terbina. Hal ini diperkuat lagi dengan hakikat bahawa harga rumah dan kadar sewa di pasaran swasta yang tinggi di sekitar PPR menyebabkan penghuni PPR sukar berpindah keluar daripada PPR. Malah, apabila disoal selidik, sekitar separuh (51%) penduduk PPR memilih untuk kekal menghuni di PPR, terutamanya di kalangan isi rumah yang berpendapatan RM2,500.
Keadaan PPR dan kualiti hidup penduduk
Persekitaran fizikal, iaitu keadaan rumah dan persekitaran sekeliling, adalah antara faktor penting yang menentukan kualiti hidup yang baik. Sebagai contoh, mendiami di rumah yang mempunyai kerosakan (contohnya air bocor, pengaliran udara yang tidak baik, dan ada serangan serangga) berkait rapat dengan tahap kesihatan yang kurang baik (seperti menghidap penyakit asma). Kesesakan di kediaman—iaitu apabila saiz ruang yang tersedia tidak mencukupi untuk bilangan penghuni—juga dikaitkan dengan penyakit fizikal (seperti penyakit berjangkit) dan tekanan psikologi.
Maka, pentingnya pihak pengurusan PPR merancang untuk penduduk yang semakin menua dan memastikan persekitaran kondusif yang memenuhi keperluan penghuninya. Namun begitu, bangunan – bangunan PPR ini didapati tidak semuanya berada dalam kondisi yang baik dan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada kualiti hidup penduduk. Berdasarkan dapatan KRI dan Jabatan Perumahan Negara, terdapat rumah PPR jenis bertingkat yang berada dalam kondisi tidak baik disebabkan standard pembinaan yang rendah dan tiada amalan penyelenggaraan berkala.
Keadaan PPR yang tidak kondusif boleh memberi kesan buruk terhadap kualiti hidup penduduk, dan dalam keadaan tertentu, boleh membahayakan nyawa. Liputan - liputan akhbar melaporkan cerita – cerita pilu seperti lif PPR yang kerap rosak telah menyukarkan pergerakan warga emas dan pengguna kerusi roda terutamanya ketika berlaku kecemasan, lif jatuh terhempas yang mengakibatkan kecederaan dan trauma, kanak-kanak patah kaki kerana tiada pemegang tangga, serta kondisi ruang PPR yang terhad dan sempit yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental penduduk.
Menyesuaikan reka bentuk PPR supaya mesra warga emas
Penting untuk difahami bahawa PPR asalnya direncanakan sebagai tempat penempatan semula bagi golongan setinggan dan yang kurang berkemampuan, maka reka bentuk yang dilakarkan adalah berdasarkan keadaan penduduk ketika itu. Oleh yang demikian, PPR yang mengguna pakai piawaian pembinaan terdahulu mungkin tidak dapat memenuhi keperluan penduduk yang meningkat usia. Perubahan fizikal yang berlaku seiring dengan peningkatan usia boleh menghadkan keupayaan seseorang dan menimbulkan cabaran – cabaran seperti masalah pergerakan, pendengaran dan penglihatan, serta tahap kesihatan yang merosot. Maka, beberapa aspek dalam reka bentuk PPR perlu penelitian lanjut untuk mengambil kira keadaan penghuni warga emas seperti akses kepada fasiliti dalam bangunan, keselamatan dan sekuriti, lokasi dan ketersampaian kepada kemudahan dan perkhidmatan.
Perkara pertama, iaitu akses kepada fasiliti dalam bangunan, merujuk kepada reka bentuk dan pembinaan bangunan yang boleh diakses dan diguna semua penghuni, termasuk mereka yang kurang upaya. Ini meliputi penyediaan kemudahan kepada penghuni untuk bergerak di dalam bangunan PPR dan unit kediaman masing – masing dan bebas daripada rintangan. Sebagai contoh, penyediaan tanjakan (ramp) untuk kerusi roda dan pintu yang lebih lebar, meletakkan kedudukan soket dan suis elektrik yang lebih rendah dan mudah dicapai, serta menggunakan tuil pintu jenis pemegang (handle) berbanding tombol dapat menyumbang dalam menambahbaik akses. Perkara seperti memastikan lif dan tangga dalam keadaan yang baik juga menjadi asas supaya penghuni boleh bergerak selesa di dalam bangunan.
Perkara kedua yang sering diberi penekanan oleh golongan tua adalah aspek keselamatan dan sekuriti. Reka bentuk PPR perlu memastikan tahap keselamatan penghuni terjaga dan bebas daripada mudarat atau bahaya. Beberapa tindakan untuk mencapai objektif ini termasuklah melakukan penyenggaraan dan penyelenggaraan berkala untuk memastikan bangunan kekal dalam keadaan baik. Selain itu, reka bentuk juga perlu mengambil kira keupayaan golongan tua yang terhad dan perlu mengurangkan kebarangkalian kecederaan. Contohnya, memastikan adanya susur tangan di tangga, atau bar genggam (support bar) di tandas untuk mengelakkan daripada terjatuh dan mengecat hujung tangga dengan warna kuning untuk membantu penghuni menjadi lebih peka ketika melangkah anak tangga. Tahap sekuriti PPR juga perlu ditekankan supaya penduduk terlindung daripada jenayah seperti pencurian, vandalisme dan ancaman lain. Ini boleh dilakukan dengan memastikan adanya kawalan keselamatan, mengguna pakai sistem kamera litar tertutup (closed circuit television, CCTV) dan memperkasakan komuniti rukun tetangga di PPR.
Perkara ketiga dan terakhir sekali yang perlu diberi perhatian adalah lokasi dan tahap ketersampaian PPR. Perancangan pembangunan perumahan sosial mesti mempertimbangkan akses kepada pengangkutan, pekerjaan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kedai, kemudahan rekreasi, hubungan sosial dan kemudahan lain. Maka, pemilihan lokasi PPR adalah penting kerana ia membolehkan penghuni menjalankan aktiviti sosio-ekonomi dan sosial tanpa bebanan, dan pada masa yang sama mempromosikan penuaan yang sihat. Sebagai contoh, PPR Taman Wahyu II dan PPR Gombak Setia mempunyai Pusat Aktiviti Warga Emas yang dibina dalam kawasan kompaun tersebut bantu menyumbang kepada kesejahteraan penghuni. Reka bentuk bangunan dan persekitaran PPR perlu menekankan kebolehcapaian kepada kemudahan rekreasi dan tempat bersosial. Kajian menunjukkan bahawa ini dapat menghasilkan hasil yang positif untuk kesihatan fizikal dan psikologi, serta memberikan peluang untuk aktiviti komuniti yang mengukuhkan ikatan sosial.
Agenda perumahan mesra warga emas
Fenomena masyarakat menua di Malaysia sudah tidak dapat dinafikan lagi apabila jangka hayat penduduk meningkat, manakala kadar kelahiran yang rendah, menjadikan populasi warga emas semakin ramai. Oleh itu, penggubal dasar dan pihak pengurusan perumahan sosial seperti PPR perlu mengambil langkah proaktif dalam merangka pelan pembangunan dan reka bentuk yang bersesuaian dengan kumpulan ini, antaranya akses bangunan, keselamatan dan sekuriti, lokasi dan kebolehcapaian kepada kemudahan dan perkhidmatan.
Dasar Warga Emas Negara turut menekankan kepentingan penyediaan persekitaran yang kondusif untuk penuaan, seperti kemudahan yang menyokong ketidakupayaan individu serta suasana yang menggalakkan penglibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan. Walaupun perbincangan artikel ini khusus kepada PPR dan perumahan sosial, agenda perumahan bagi warga emas adalah penting untuk dihayati keseluruhan sektor perumahan dan merangkumi stok perumahan semasa dan akan datang. Maka, penting untuk Malaysia melaksanakan agenda perumahan mesra warga emas dengan meluas supaya mereka dapat menjalani hidup kehidupan tua dalam keadaan yang baik dan sejahtera.