
Pengenalan
Pengumuman tarif sempena “Liberation Day” oleh Amerika Syarikat telah mencetuskan semula perdebatan mengenai peranan perdagangan dalam pembangunan global. Walau bagaimanapun, perbincangan dan analisis yang melibatkan perspektif gender sering diketepikan disebabkan oleh fokus pada hal makroekonomi berkaitan pengeluaran, penggunaan, harga, pasaran kewangan serta dasar fiskal dan keuntungan. Hal ini lebih membimbangkan kerana pertimbangan terhadap isu ini hanya dilakukan secara tersirat, dimana pekerja digambarkan berada dalam keadaan yang tidak bernasib baik walaupun kesannya lebih mendalam.
Dimensi Gender dalam Perdagangan Global
Secara keseluruhan, impak tarif tidak bersifat neutral dari sudut gender. Penasihat ekonomi utama kepada Donald Trump, Stephen Miran telah menyuarakan pendapat melalui penulisannya tentang bagaimana “tarif adalah sebahagian besar daripada penyelesaian” untuk melanjutkan Akta Potongan Cukai dan Pekerjaan 2017 (dijadualkan tamat pada 2026). Namun, pendekatan Miran berkaitan lanjutan pemotongan cukai ini berpotensi mengehadkan ruang fiskal untuk pelaburan awam dalam infrastruktur dan perkhidmatan penjagaan. Hal ini amat membimbangkan bagi mereka yang memperjuangkan pengiktirafan terhadap beban penjagaan, terutamanya dalam konteks menghidupkan semula pakej penjagaan yang lebih komprehensif, yang sebelum ini telah ditangguhkan oleh pentadbiran Biden akibat kebimbangan mengenai kenaikan cukai. Daripada perspektif ini, kita dapat lihat bahawa penjagaan anak-anak dan orang dewasa serta kerja domestik sering dianggap remeh sedangkan ia memerlukan komitmen masa dan tenaga yang besar. Perubahan dalam halatuju dasar ini boleh mencetuskan impak gender yang ketara kerana wanita adalah golongan yang paling terkesan daripada dasar-dasar yang mengabaikan keperluan penjagaan.
Aspek gender juga merupakan dimensi penting dalam memahami kesan perdagangan antarabangsa. Daripada menyanjung sistem perdagangan global terkini sebagai satu kejayaan mutlak, pengalaman wanita dalam ruang perdagangan menawarkan gambaran yang lebih kompleks dan mendalam. Di Malaysia, penubuhan Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zone) sejak tahun 1970-an telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkilangan kepada wanita, terutamanya dalam industri berorientasikan eksport. Namun, kebanyakan pekerjaan ini bergaji rendah, tidak stabil, dan menuntut waktu kerja yang panjang. Ini sekali gus meletakkan lebih banyak tekanan ke atas ahli keluarga, terutamanya dalam kalangan wanita dewasa dan anak perempuan, yang terpaksa menggalas tanggungjawab penjagaan dan domestik di rumah.
Sejak tahun 2010, peluasan sektor perkhidmatan telah mendorong peningkatan pekerjaan yang tidak stabil, dengan trend yang jelas menunjukkan ketidakseimbangan gender. Bilangan wanita yang bekerja sendiri meningkat lebih dua kali ganda, daripada 484,000 pada tahun 2010 kepada 1,039,900 pada tahun 2019, merangkumi 33.1% daripada pertambahan jumlah pekerjaan wanita sebelum pandemik COVID-19. Tambahan lagi, pekerja wanita yang bekerja daripada rumah (home-based) pula—lebih dua kali ganda berbanding lelaki—meningkat daripada 226,700 pada tahun 2011 kepada 352,300 pada tahun 2019, menyumbang 72.3% daripada peningkatan pekerjaan dalam sektor tidak formal bagi wanita. Malaysia, selaku pengerusi ASEAN (Association of Southeast Asian Nations), telah mengumumkan peluasan liberalisasi perkhidmatan kewangan di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sektor perkhidmatan sememangnya menawarkan fleksibiliti kepada wanita seperti waktu bekerja anjal. Namun, ia disertai dengan pertukaran yang tidak adil seperti kadar upah yang rendah, ketidakjaminan pekerjaan dan ketiadaan perlindungan sosial. Keadaan ini menunjukkan bahawa liberalisasi perdagangan tidak semestinya membawa kepada pekerjaan yang formal dan stabil bagi golongan wanita. Lebih-lebih lagi, perdagangan perkhidmatan sering kali tidak diambil kira dalam pengiraan rasmi imbangan perdagangan, termasuk dalam pendekatan tarif timbal balik (reciprocal tariffs) yang diketengahkan oleh Donald Trump. Pengiraan ini lebih memberi tumpuan kepada barangan ketara seperti komoditi. Akibatnya, sumbangan sektor perkhidmatan—terutamanya yang melibatkan penyertaan wanita—sering tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam dasar perdagangan.
Penyertaan wanita dalam perdagangan antarabangsa sering kali tidak seimbang dan membawa kesan negatif. Hal ini juga menunjukkan bahawa wanita dan lelaki mempunyai pengalaman dan pandangan yang berbeza dari segi manfaat atau kerugian yang diperoleh daripada perdagangan global. Pengalaman wanita ini juga mencabar pandangan lama bahawa “perdagangan bebas” sentiasa membawa kebaikan kepada semua. Kebanyakan perjanjian perdagangan bebas mengutamakan akses pasaran dan tenaga kerja murah, yang akhirnya menyebabkan persaingan melampau antara negara sekaligus menekan pekerja, terutamanya golongan wanita. Malah, seawal tahun 1980-an, golongan feminis di Kanada sudah memberi amaran bahawa perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Kanada-Amerika Syarikat (CUSFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) boleh menyebabkan negara kehilangan kuasa dalam membuat keputusan sendiri dan semakin bergantung kepada Amerika Syarikat, dari segi ekonomi dan budaya.
Namun begitu, dasar perlindungan yang dibawa oleh Trump juga bukanlah penyelesaian sebenar. Di sebalik retorik untuk mengembalikan pekerjaan kepada golongan pekerja di Amerika Syarikat, dasar ini secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada jutaan pekerja wanita di seluruh dunia. Di negara-negara Global South seperti Bangladesh, Kemboja dan Sri Lanka, ramai wanita yang bekerja dalam sektor pakaian kini terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat ancaman tarif dari Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat sendiri, dasar perdagangan memberi keutamaan kepada industri berat yang didominasi oleh lelaki seperti besi, aluminium dan automotif tanpa mengambil kira kehilangan pekerjaan dalam sektor tekstil yang melibatkan ramai pekerja wanita. Ini menggambarkan bahawa pendekatan perdagangan Trump lebih menumpukan kepada pemuliharaan ‘pekerjaan maskulin’.
Kerja Penjagaan dan Domestik dalam Perjanjian Perdagangan
Oleh itu, penyelesaian kepada kemelut perdagangan global masa kini bukanlah dengan kembali kepada perdagangan bebas sepenuhnya mahupun berundur kepada dasar perlindungan. Kerjasama serantau amat penting dalam menangani tarif unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Namun, gerakan/inisiatif ini masih belum mencukupi tanpa pertimbangan yang lebih menyeluruh terhadap isu gender. Pelbagai pihak telah menggesa agar Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) diperkukuhkan. RCEP yang dilancarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2012 merangkumi satu pertiga daripada keluaran ekonomi dunia, nilai perdagangan, jumlah penduduk dan pelaburan asing. Perjanjian ini juga sering dianggap sebagai antara kerangka kerjasama “ASEAN yang paling berpotensi” dalam menangani kesan langsung tarif Amerika Syarikat serta menyelaras tindak balas serantau terhadap kesan tidak langsung seperti pengalihan perdagangan dari China.
Namun begitu, Asia Pacific Forum on Women, Law and Development (APWLD) telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi gender dalam kerangka RCEP daripada beberapa aspek. Pertama, APWLD menekankan bahawa perjanjian ini memperluas kuasa syarikat agribisnes berskala besar, yang boleh menjejaskan kelangsungan hidup petani kecil—terutamanya wanita—serta menghakis pengetahuan tradisional berkaitan benih dan amalan perkongsian komuniti. Kedua, dalam sektor kesihatan pula, perlindungan harta intelek yang berlebihan kepada syarikat farmaseutikal besar juga mengehadkan akses kepada ubat-ubatan, mengakibatkan wanita terpaksa mengurangkan penggunaan ubat sendiri demi keperluan keluarga. Ketiga, mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara dikenali sebagai Investor State Dispute Settlement (ISDS) yang digariskan dalam RCEP turut berpotensi menyukarkan pelaksanaan dasar afirmatif yang penting untuk menangani ketidaksamarataan terhadap golongan wanita—seperti yang diiktiraf dalam Convention on the Elimination of Discrimination Against Women (CEDAW).
Inisiatif Gender dan Perdagangan Peringkat Global dan Nasional
Terdapat beberapa inisiatif global untuk mengukuhkan kaitan antara gender dan perdagangan, antaranya Deklarasi Buenos Aires mengenai Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi Wanita oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2017. Di bawah deklarasi ini, usaha yang digariskan termasuk pengenalan bab khusus berkaitan gender dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA), integrasi program keusahawanan wanita ke dalam kerangka perdagangan, serta pelaksanaan penilaian impak dasar perdagangan berasaskan gender. Namun, kebanyakan inisiatif ini lebih tertumpu kepada penyertaan wanita dalam sektor formal perdagangan dan pengeluaran, tanpa mengambil kira secara menyeluruh beban kerja penjagaan dan kerja domestik tidak berbayar.
Malaysia menyokong Deklarasi Buenos Aires yang dibawa oleh WTO, dimana ia bertujuan untuk menjadikan dasar perdagangan lebih peka terhadap isu gender melalui perkongsian data, amalan terbaik dan sokongan bersasar. Sokongan ini merupakan langkah yang positif. Namun, sifat deklarasi yang tidak mengikat menunjukkan keterbatasannya. Contohnya, kesemua perjanjian perdagangan bebas dua hala (FTA) yang telah ditandatangani oleh Malaysia tidak mengandungi bab khusus atau peruntukan berkaitan gender manakala perjanjian perdagangan serantau pula hanya mengulangi komitmen umum terhadap kerangka global seperti CEDAW yang dianggap hanya niat komitmen tanpa mekanisme penguatkuasaan yang jelas. Walau bagaimanapun, pendekatan yang positif dapat dilihat daripada penyertaan bab gender dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Kanada-Chile (CCFTA). Ia boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh amalan perdagangan yang responsif gender — walaupun aspek berkaitan kerja penjagaan wanita masih belum diberi perhatian sewajarnya.
Di peringkat nasional, Program Pembangunan Pengeksport Wanita di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memberi sokongan kepada wanita dalam pelbagai sektor eksport. Walau bagaimanapun, program ini lebih tertumpu kepada perniagaan formal, dan penilaian impaknya tidak merangkumi aspek tanggungjawab penjagaan serta kerja domestik. Dalam hal ini, Trade and Gender Toolbox yang dibangunkan oleh Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) boleh dijadikan rujukan yang berguna, kerana ia mengambil kira aspek penjagaan kanak-kanak dan kerja penjagaan tidak dibayar dalam penilaian kesan gender terhadap pembaharuan perdagangan.
Kesimpulan
Wanita sering memikul beban kerja penjagaan dan domestik yang tidak berbayar untuk mengurangkan kesan kejutan ekonomi global, seperti yang terlihat semasa pandemik COVID-19 dan kemungkinan besar akan berlaku akibat perang dagang yang berterusan. Beijing Declaration and Platform for Action 1955 telah menekankan pentingnya “memastikan dasar-dasar nasional yang berkaitan dengan perjanjian perdagangan antarabangsa dan serantau tidak memberi kesan buruk kepada aktiviti ekonomi wanita, baik yang baru mahupun yang tradisional.” Dalam konteks ini, kerja penjagaan dan domestik dianggap sebagai sebahagian daripada aktiviti ekonomi tersebut. Oleh itu, untuk memastikan keseimbangan yang lebih adil, kita perlu merangka agenda perdagangan dan kerjasama serantau yang mengetengahkan keseimbangan gender, dengan memberi perhatian utama kepada kerja penjagaan dan domestik yang dilakukan oleh wanita.