Views
Mar 20, 2024
6
Minutes read

Peluang Kerja Mahir Terhad

Author
Hafiz Hafizi Suhaimi
Research Associate
Hafiz Hafizi Suhaimi
Research Associate
Co - Author
Hawati Abdul Hamid
Hawati Abdul Hamid
Loading the Text to Speech AudioNative Player...
Key Takeaway
Data Overview
Isu ketidaksepadanan kerja dan gaji permulaan yang rendah adalah antara cabaran utama siswazah dalam pasaran buruh, selain semakin ramai berada dalam pekerjaan tidak formal. Di sebalik wujudnya jurang kemahiran siswazah dalam memenuhi keperluan industri, peluang kerja mahir yang terhad juga turut menyumbang kepada permasalahan tersebut. Rencana ini mendapati bahawa: Kerajaan telah menetapkan sasaran penciptaan kerja mahir dalam beberapa pelan pembangunan utama sedia ada, namun sering kali tidak tercapai. Peratus kerja mahir berbanding jumlah kerja keseluruhan kekal rendah, malah penciptaan kerja mahir baharu kian merosot terutamanya antara 2015 hingga 2022. Penciptaan kerja sebenarnya didorong dengan kerja separa mahir. Jumlah kerja mahir yang rendah tidak dapat menampung jumlah siswazah yang semakin bertambah. Di samping itu, kesukaran untuk mengisi kekosongan bagi kerja-kerja mahir tertentu kerana kekurangan bakat berkemahiran yang memenuhi kehendak pasaran menjadikan cabaran pasaran buruh semakin sukar ditangani. Cabaran pasaran buruh perlu diteliti dari kedua-dua aspek pengeluaran dan permintaan tenaga kerja bagi membolehkan intervensi dasar yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan.
peluang-kerja-mahir-terhad
Views
Individual perspectives on current issues help people understand the issue better and raise awareness through informed opinions and reflections.

Pengenalan

Melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi mungkin bukan lagi menjadi pilihan utama anak muda untuk membina kehidupan yang lebih baik. Fenomena ini semakin ketara pasca-Covid-19 apabila statistik menunjukkan peningkatan mendadak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kumpulan ini sebahagian besarnya telah mengambil keputusan untuk menyertai pasaran buruh tanpa sebarang sijil kelayakan atau kemahiran khusus.

Tindakan ini berkemungkinan didorong oleh pelbagai faktor, sama ada pilihan sendiri mahupun keadaan yang memaksa, termasuklah persepsi terhadap keadaan semasa pasaran buruh yang mencabar. Anak muda beranggapan bahawa pendidikan tinggi tidak lagi memberi nilai tambah kepada mereka untuk mendapatkan kerja yang baik serta gaji yang setimpal pada masa akan datang.

Telahan mereka ada kebenarannya. Statistik guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada 2023 menunjukkan hampir empat bagi setiap 10 siswazah yang bekerja berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. Ini bermakna gaji yang diterima juga rendah kerana kemahiran yang diperlukan adalah separa mahir atau tidak mahir. Selain itu, jumlah siswazah yang berada dalam pekerjaan tidak formal juga meningkat iaitu daripada 8.6% pada 2013 kepada 15.8% pada 2021. Ekonomi gig dan menjadi pempengaruh adalah antara daya penarik kepada sektor ini.

Jurang dalam sasaran penciptaan kerja mahir

Kerajaan telah mengenalpasti sasaran yang khusus untuk mewujudkan pekerjaan mahir di Malaysia melalui pelbagai pelan pembangunan sedia ada. Namun, dapatan daripada laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk “Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysian Skilled Talents” mendapati sasaran tersebut sering kali tidak tercapai.

Sejak 2010, melalui inisiatif Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme, ETP), sebanyak 3.3 juta pekerjaan disasar akan diwujudkan dengan 57% daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi dan sederhana. Melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan ke-11 (RMK-11), sasaran berkaitan pekerjaan mahir telah ditetapkan masing-masing sebanyak 33% dan 35%.

Secara keseluruhan, penciptaan kerja baharu merentas semua tahap kemahiran telah melepasi sasaran yang ditetapkan dalam pelan-pelan pembangunan tersebut, kecuali RMK-11 yang hanya mencapai 85% daripada sasaran. Namun begitu, jumlah kerja mahir yang telah diwujudkan masih jauh daripada sasaran dan kekal di bawah paras 25%.

Trend kerja mahir menyusut

Statistik menunjukkan peratus kerja mahir berbanding jumlah kerja keseluruhan kekal berada di bawah 25% antara 2015 hingga 2022. Manakala, kerja separa mahir pula mendominasi pasaran apabila melebihi 61% daripada keseluruhan jumlah kerja yang ada bagi tempoh yang sama.

Namun, yang lebih membimbangkan, dari segi penciptaan kerja, taburan kerja mahir baharu dilihat menurun daripada 49.8% pada 2016 kepada hanya 29.5% pada 2022. Kekurangan penciptaan kerja mahir ini telah ditampung dengan kerja separa mahir yang menyaksikan peningkatan daripada 43.2% kepada 60.8% dalam tempoh yang sama.

Data penciptaan kerja mahir ini seakan tidak selari dengan sasaran yang ditetapkan Kerajaan melalui pelan-pelan pembangunan sedia ada. Walaupun pencapaian penciptaan kerja melebihi sasaran, namun kerja yang diwujudkan tersebut adalah bersifat separa mahir.

Kerja mahir tidak sepadan jumlah siswazah

Isu pokok yang timbul adalah ketidakcukupan kerja mahir untuk menampung keluaran siswazah yang bertambah. Di samping itu, kesukaran untuk mengisi kekosongan bagi kerja-kerja mahir tertentu kerana kekurangan bakat berkemahiran yang memenuhi kehendak pasaran menjadikan cabaran pasaran buruh semakin sukar ditangani.

Sementara itu, pertambahan pekerja berpendidikan tinggi dalam pasaran buruh semakin signifikan apabila keluaran graduan secara purata mencecah 300,000 setahun antara 2015 hingga 2022. Manakala penciptaan kerja mahir baharu pula hanya sekitar 55,000 setahun dalam tempoh yang sama. Inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang setara dengan kelayakan, selain menawarkan gaji yang setimpal mestilah juga selari dengan usaha untuk membangunkan lebih ramai tenaga kerja berpendidikan tinggi.

Kesimpulan

Kesimpulannya, cabaran pasaran buruh perlu diteliti dari kedua-dua aspek pengeluaran dan permintaan tenaga kerja. Penumpuan terhadap mewujudkan lebih banyak kerja mahir perlu dipertingkatkan melalui pelbagai inisiatif pelaburan dan pembangunan yang lebih bernilai tinggi.

Read Full Publication

Article highlight

Despite more graduates, the creation of skilled jobs remains insufficient; Malaysia must invest in high-value sectors to match the aspirations and qualifications of its workforce.

featured report

Conclusion

Download Resources
Files uploaded
Footnotes
Attributes
References
["DOSM. 2018. “Employment Statistics, Second Quarter 2018.”","EPU. 2010. “Rancangan Malaysia Ke-10.”","KRI. 2024. “Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents.”","MOHE. 2021. “Higher Education Statistics 2021.”","PEMANDU. 2010a. “Economic Transformation Programme - Executive Summary.”","Sinar Harian. 2023. “300,000 Lepasan SPM Tidak Mahu Sambung Belajar,” 2023."]
Photography Credit

Related to this Publication

No results found for this selection
You can  try another search to see more

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials