
Pendidikan TVET: Pilihan Terakhir Belia Lepasan SPM?
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan pada 14 Mac yang lalu. Sebanyak 2.2 peratus atau 8,436 calon telah mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi sekurangkurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil, berbanding keseluruhan 421,706 calon. Selepas ini, golongan belia lepasan SPM 2018 ini perlu membuat satu pilihan untuk pendidikan peringkat tertiari yang akan menentukan hala tuju mereka di alam pekerjaan kelak. Bergantung kepada keputusan SPM yang diperolehi, melanjutkan pengajian ke peringkat pra-ijazah mungkin merupakan pilihan utama, ada yang memilih untuk menyambung ke peringkat diploma di universiti atau pusat pendidikan tinggi awam dan swasta yang lain. Ada juga mungkin akan lebih cenderung untuk memohon pendidikan aliran teknik dan vokasional serta kemahiran. Saban tahun, jumlah pelajar yang menduduki SPM melebihi angka 400,000 dengan hampir separuh daripadanya ditawarkan ke program pra-ijazah, sijil dan diploma di universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institut kemahiran asas di seluruh negara.
Aliran pendidikan teknik dan vokasional (TVET) bukanlah satu aliran pendidikan yang asing di Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 telah memberikan penekanan yang khusus mengenai keperluan TVET kepada pasaran buruh dan ekonomi negara. Kerajaan melalui pengumuman Bajet 2019 juga memberi perhatian yang khusus terhadap pemerkasaan pendidikan TVET. Peruntukan sebanyak RM30 juta telah diumumkan bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri dan RM20 juta untuk meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET. Di samping itu, bagi memperkukuh industri TVET di Malaysia, Malaysia Board of Technologists (MBOT) telah ditubuhkan pada 2015 yang berperanan menyediakan latihan dan sukatan pengajaran untuk membolehkan seramai 30,000 juruteknik dan mereka yang terlibat dalam industri berkaitan teknologi diiktiraf sebagai profesional. Inisiatif ini dilihat salah satu cara memartabatkan pendidikan TVET melalui pengiktirafan lebih ramai lagi lepasan TVET sebagai profesional di pasaran buruh.
Namun yang demikian, di sebalik pelbagai inisiatif oleh kerajaan bagi mencapai aspirasi TVET sebagai bidang pendidikan pilihan dalam kalangan belia, penyertaan mereka masih lagi rendah. Melalui kajian terkini oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang bertajuk The School-to-Work Transition Survey of Young Malaysians (SWTS) yang telah dilaksanakan pada akhir 2017 sehingga awal 2018, peratusan belia di peringkat sekolah menengah yang berada di dalam bidang TVET ialah hanya sebanyak 13% dan hanya 9% di peringkat tertiari (Politeknik). Peratusan ini mungkin lebih tinggi jika mengambil kira kesemua institusi kemahiran yang terdapat di Malaysia, namun hakikatnya masih jelas bahawa pemilihan TVET sebagai laluan pendidikan masih rendah. Di samping itu, persepsi mereka terhadap pendidikan TVET juga jauh lebih rendah di mana 18% belia di peringkat menengah atas (tingkatan 5 dan 6) menyatakan bidang TVET adalah berguna untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, manakala hanya 12% bagi mereka yang berada di peringkat tertiari. Bagaimanapun, belia yang telah memasuki alam pekerjaan, iaitu yang sedang bekerja (20%) dan sedang mencari kerja (25%) meletakkan TVET sebagai antara bidang pendidikan yang sangat berguna untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa belia yang berada di alam pekerjaan atau pasaran buruh mula menyedari bahawa pendidikan TVET ini berguna untuk mendapatkan pekerjaan.
Jadual 1: Persepsi belia terhadap pendidikan atau latihan yang paling berguna untuk mendapatkan pekerjaan
| | | | | |
| --- | --- | --- | --- | --- |
| Peringkat Pendidikan | Belia di peringkat menengah atas | Belia di peringkat tertiari | Belia sedang mencari kerja | Belia sedang bekerja |
| Latihan teknikal/ vokasional | 18.0 | 12.4 | 20.2 | 25.7 |
| Latihan tempat kerja | 10.7 | 12.2 | 14.1 | 17.0 |
| Kelayakan profesional | 21.2 | 20.8 | 16.7 | 15.2 |
| Perantisan/latihan industri ljazah | 11.1 | 15.2 | 12.7 | 11.8 |
| pengurusan perniagaan | 9.7 | 10.7 | 8.0 | 7.7 |
| Sastera/sains sosial peringkat universiti | 5.6 | ■ | 6.3 | 4.9 |
| ljazah lanjutan/pasca siswazah | 11.4 | 9.4 | 6.5 | 4.9 |
| Sains peringkat Universiti | 5.9 | 6.1 | 5.9 | 4.2 |
| Sastera/sains sosial | | | | |
| peringkat menengah | 1.8 | 4.8 | | 3.6 |
| ljazah sains komputer | 2.8 | 4.7 | | 2.1 |
| Lain-lain | 1.9 | 3.7 | 9.7 | 2.9 |
| Jumlah (%) | 100.0 | 100.0 | 100.0 | 100.0 |
Sumber: KRI (2018)
Isu TVET bukan bidang pendidikan pilihan belia bukanlah satu isu yang baharu. SWTS mendapatkan maklumat belia tentang keputusan yang dibuat mengenai pemilihan bidang pendidikan mereka, sama ada mereka menerima sebarang panduan dan nasihat dalam proses pemilihan bidang pendidikan dan latihan. Rata-rata belia membuat keputusan sendiri, diikuti oleh ibu bapa, kaunselor dan guru/pensyarah. Namun, persoalannya, apakah pertimbangan yanag digunapakai oleh ‘pemberi nasihat’ ini kepada belia? Sebagai contoh, adakah mereka mempunyai maklumat terkini dan realistik mengenai prospek pekerjaan bagi sesuatu bidang pendidikan, dengan merujuk kepada ‘Senarai Pekerjaan Kritikal’ (Critical Occupation List) yang diterbitkan oleh TalentCorp pada setiap tahun? Atau adakah nasihat yang diberikan, terutamanya oleh ibubapa lebih cenderung kepada persepsi yang negatif dan salah tanggap terhadap bidang TVET itu sendiri? Kita sering dikhabarkan bahawa pelajar dan ibu bapa cenderung untuk menganggap TVET sebagai laluan pendidikan yang rendah, pilihan terakhir, dan hanya untuk mereka yang lemah dalam akademik. Persepsi inilah sedikit sebanyak menjejaskan penyertaan belia dalam bidang TVET.
Di samping itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menyebabkan kurangnya penyertaan belia dalam bidang pendidikan TVET. Antara faktor yang dikenalpasti ialah tiada standard dan kerangka kelayakan yang relevan dan bersepadu bagi memberi peluang yang lebih meluas kepada graduan TVET untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Belia yang menyertai TVET mungkin mempunyai keinginan dan aspirasi untuk setanding dengan rakan-rakan mereka di universiti yang menyambung peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti peringkat ijazah dan sarjana. Selain itu, antara alasan penting atas status rendah yang diberikan kepada pendidikan TVET ialah dari segi perbezaan gaji yang diterima dilihat tidak kompetitif jika dibandingkan dengan belia yang mempunyai kelayakan setara tetapi merupakan graduan dari universiti. Berdasarkan maklumbalas daripada pihak majikan yang ditemubual melalui kajian SWTS, gaji minimum yang ditawarkan kepada pekerja baru dengan kelayakan TVET adalah RM500 lebih rendah berbanding graduan universiti, manakala perbezaan untuk gaji maksimum adalah kira-kira RM800.
Jadual 2: Julat gaji dibayar oleh majikan untuk pekerja baru mengikut kelayakan pendidikan
| | | | | | | |
| --- | --- | --- | --- | --- | --- | --- |
| | Lepasan sekolah | Teknikal/kolej Sarjana Muda vokasional | ljazah lanjutan |
| Min RM | Mak Min RM RM | Mak RM | Min RM | Mak | Min Mak |
| Purata | 1,024 | 1,529 | 1,270 2,066 | 1,703 | RM 2,682 | RM RM 1,628 2,809 |
| | | | | | | |
| --- | --- | --- | --- | --- | --- | --- |
| |
| Median 1,000 1,300 | 1,100 1,500 | 1,500 | | 2,200 | 1,300 | 2,000 |
Nota: Min $\mathbf { \Sigma } = \mathbf { \Sigma }$ Minimum; Mak $\mathbf { \tau } = \mathbf { \tau }$ Maksimum
Melalui maklumbalas belia yang sedang bekerja pula, kajian ini mendapati belia dengan kelayakan TVET memperolehi purata gaji sebanyak RM1,800 sebulan berbanding mereka yang mempunyai ijazah universiti dengan gaji RM2,100 sebulan dan mereka yang mempunyai ijazah profesional yang memperolehi pendapatan melebihi RM3,000.
Jadual 3: Julat gaji diterima oleh belia sedang bekerja mengikut kelayakan pendidikan
| | | |
| --- | --- | --- |
| Kelayakan pendidikan | Purata RM | Median RM |
| Tiada pendidikan formal | 1,174 | 935 |
| Pendidikan rendah | 1,363 | 1,000 |
| Pendidikan menengah | 1,453 | 1,200 |
| Pra-universiti | 1,701 | 1,500 |
| Pendidikan teknik/vokasional | 1,818 | 1,400 |
| Universiti | 2,103 | 1,800 |
| ljazah profesional | 3,026 | 2,500 |
| Pasca siswazah/ ijazah lanjutan | 2,697 | 2,400 |
| Keseluruhan | 1,846 | 1,500 |
Justeru itu, pandangan dan persepsi negatif terhadap bidang TVET seharusnya diperbetulkan mengambilkira potensi bidang TVET kepada pasaran buruh dan ekonomi negara keseluruhannya. Pihak majikan juga harus memainkan peranan penting dalam pertimbangan dari sudut bayaran gaji kepada belia lulusan TVET agar lebih kompetitif berbanding graduan lepasan universiti. Kesimpulannya, mengambilkira potensi bidang TVET sebagai memenuhi aspirasi negara menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi, seharusnya bidang pendidikan TVET bukanlah merupakan pilihan akhir bagi golongan belia.